Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
MAHKAMAH

ARKIB : 25/06/2009
Tuntutan Maria ke Mahkamah Tinggi

Tuntutan Maria ke Mahkamah Tinggi

PUTRAJAYA 24 Jun - Mahkamah Persekutuan memerintahkan tuntutan saman RM5.5 juta personaliti TV3, Maria Tunku Sabri terhadap seorang ahli perniagaan yang gagal menunaikan janji untuk menikahinya, dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri S. Augustine Paul memutuskan supaya tuntutan saman itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pengurusan kes setelah membenarkan rayuan Maria dengan kos.

Hakim Paul dalam keputusan ringkasnya hari ini berpendapat, panel itu bersetuju bahawa defendan, Datuk Wan Johani Wan Hussin, 55, wajib mengesahkan secara spesifik bahawa perjanjian itu tidak sah kerana Maria masih berstatus isteri ketika perjanjian itu dibuat.

Beliau turut menyatakan, panel itu tidak perlu menjawab isu pertama sama ada seorang wanita Islam yang masih berkahwin berhasrat menuntut cerai demi memenuhi janjinya untuk menikahi seorang lelaki lain, termasuk di bawah skop Seksyen 14(1) Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Beliau bersidang bersama Hakim-Hakim, Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Wira Mohd. Ghazali Mohd. Yusoff.

Hos program televisyen Jalan-Jalan Cari Makan itu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi bagi menguatkuasakan penyelesaian perjanjian agar Wan Johani membayarnya pampasan RM5.5 juta kerana gagal menunaikan janji menikahinya.

Namun ahli perniagaan itu (defendan) menyatakan, perjanjian tersebut tidak sah kerana personaliti TV3 tersebut tiada kapasiti untuk membuatnya kerana sudah berkahwin pada masa itu.

Wan Johani, dalam kenyataan pembelaannya turut mendakwa bahawa perjanjian itu tidak sah 'kerana terdapat unsur-unsur paksaan dan ugutan daripada Maria.'

Bagaimanapun, pada 22 Februari tahun lalu, Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi menggugurkan saman tersebut selepas berpuas hati bahawa kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah kerana kedua-dua pihak beragama Islam dan isu yang dibangkitkan melibatkan perkahwinan.

Maria, 39, turut gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan apabila panel tiga hakim pada 8 Ogos lalu berpuas hati bahawa tuntutan Maria perlu ditolak kerana tidak wajar bagi seorang wanita yang telah bernikah, mengahwini lelaki lain.

Hakim Datuk James Foong (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) dalam penghakimannya berpuas hati bahawa penyelesaian perjanjian itu dengan sendirinya terbatal seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 24(a) Akta Kontrak kerana pihak yang membuatnya bukan entiti yang sah di sisi undang-undang.

Beliau bersidang bersama Hakim-Hakim Datuk Abdull Hamid Embong dan Datuk Sulaiman Daud.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan pada 24 Mac lalu memberikan Maria kebenaran merayu setelah berpuas hati dengan hujah peguam Karpal Singh yang mewakilinya bahawa dua isu undang-undang yang dibangkitkan merupakan perkara baru dan belum pernah diputuskan sebelum ini.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN