|
SHAH ALAM - Pengasas Seni Silat Lincah Malaysia, Mahaguru Datuk Omar Din Mauju mendahului senarai penerima anugerah khas tertinggi daripada Persekutuan Taekwando Global Malaysia (MGTF) sempena Kejohanan Taekwondo MGTF 2009 di sini, semalam.
Omar Din, 68, menerima penghargaan tertinggi Supreme Grandmaster dari Persatuan Taekwondo Global Malaysia (MGTF) atas sumbangan beliau dalam mengembangkan seni bela diri.
Penganugerahan itu adalah peringkat tertinggi dan pertama kali diterima tokoh seni mempertahankan diri tempatan yang diiktiraf badan tertinggi taekwondo di Korea Selatan.
Turut menerima anugerah ialah Pengerusi Jawatankuasa Jonker Walk, Datuk Wira Gan Boon Leong, Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong, Presiden Majlis Seni Bela Diri Malaysia (Marcil), Datuk Dr. Rahman Ismail dan Presiden Persatuan Seni Silat Kuntau Selendang Merah Malaysia (PSSKSMM), Datuk Baharom Kamari.
Penasihat MGTF, Datuk Dr. Sabree Salleh berkata, kesemua mereka menerima anugerah tali pinggang tahap ke-8 dan yang tertinggi itu diberikan kepada individu yang telah memainkan peranan yang besar dalam seni bela diri.
"Anugerah itu merupakan pengiktirafan pihaknya kepada individu-individu terbabit kerana telah membawa perkembangan kepada seni bela diri dan sukan kepada generasi muda sehingga hari ini," katanya.
Dalam pada itu, Omar Din dalam ucapannya sempena kejohanan tersebut menyifatkan anugerah berkenaan merupakan penghormatan yang besar diberikan kepadanya.
"Tidak ada jalan mustahil yang tidak dapat kita lakukan (untuk berjaya). Seperti kata pepatah, 'di mana ada kemahuan, di situ ada jalan'," ujarnya.
IKLAN@UTUSAN
|