Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
SASTERA

ARKIB : 21/06/2009
Sefemto kandela cahaya

Sefemto kandela cahaya

KEJUTAN. Memang ia suatu kejutan buat Hannah. Malah barangkali buat semua wanita bergelar isteri. Hadiah ulang tahun perkahwinan yang cukup istimewa lagi kreatif - terapung di atmosfera bersama belon udara!

“Wow, Subhanallah!” ujar Hannah, girang. Sambil itu, bibirnya mengulum senyuman manis kepada suami.

Udara panas semakin mendominasi ruang dalam belon. Meningkatkan daya apungan sehingga dapat mengatasi daya berat yang bagaikan masih terpasak di Dataran Bandaraya Johor Bahru. Tiba-tiba bakul besar terangkat. Berolang-aling. Lalu perlahan-lahan naik ke udara. Ratusan orang di hamparan hijau melambai-lambaikan. Kedengaran beberapa ucapan ‘selamat jalan’ dan ‘jumpa lagi’. Belon udara bercorak batik arabesque beralun berbaur corak Jalur Gemilang naik dan terus naik. Tinggi dan semakin tinggi, malah semakin menjauh ke arah timur. Gerbang selatan Semenanjung Malaysia yang sering ditandai dengan Masjid Sultan Abu Bakar, Bangunan Sultan Ibrahim, Selat Tebrau dan Tambak Johor akhirnya semakin mengecil di bawah sana.

“Jumpa lagi!" Irfan melambaikan tangan kepada sanak-saudara dan sahabat karib yang sudi meraikan pemergiannya.

Ketinggian belon udara sekitar sekilometer dari aras laut. Sebahagian besar Republik Singapura jelas kelihatan di bawah. Pulau kenit itu bagai diikat dengan Johor oleh Tambak Johor dan Link Kedua. Link Kedua kelihatan sayup tidak jauh dari Pelabuhan Tanjung Pelepas, kira-kira sepuluh kilometer dari tempat kediaman Irfan dan Hannah.

“Ingat Beautiful Mind?" Irfan berpaling mengejut menghadap Hannah yang berkerudung merah bunga raya polos. Hannah tersenyum manja. “Menonton bersama sempena ulang tahun perkahwinan kita, masih ingat?" Lesung pipitnya kian terserlah. Irfan merenungnya kagum. Hannah tampak kian manis apabila ekor tudung di tengah kepalanya mengepak lembut disentuh lunak pawana di langit luas malam itu.

“Ulang tahun yang ini paling unik dan istimewa, bersama di atmosfera luas tanpa sempadan,” sambung Hannah sambil merangkul pinggang suaminya. Romantis. “Dalam filem Beautiful Mind, watak utamanya orang asing tapi dalam ‘filem’ ini, watak utamanya berada betul-betul di hadapan Hannah.”

Irfan dan Hannah terbayangkan watak John Nash dalam Beautiful Mind, pemenang Hadiah Nobel dengan teori permainan ekonomi.

“Lantas, Hannah mahu bersama sebutir Nobel di atmosfera?" Irfan mengurut lembut beberapa jari tangan Hannah.

Hannah tidak dapat menahan tawa mendengar pertanyaan Irfan. Soalan itu mirip benar dengan pertanyaan Irfan sewaktu awal percintaan mereka semasa sama-sama menuntut di Amerika dulu. Sewaktu Irfan cuba memancing siswi Universiti Yale berlesung pipit manis yang mencuri hatinya itu.

“Lantas, akhirnya Hannah tidak dapat lari dari si mata kelabu penjana gelombang besar di tasik biru Princeton,” balas Hannah di hujung tawanya. Irfan memang masih seperti dulu, tidak banyak berubah kecuali jambang dan kumisnya yang sudah mula ada berwarna putih.

Dengan pantas, Irfan mencelah, “Yale memang cantik. Secantik graduannya di sisi lelaki si penjana gelombang. Mujur tidak tersilap radar yang berjaya mengesannya.”

Hannah ketawa. Hatinya cukup senang dengan kata-kata begitu. Bukankah lebih indah, saat memperingati ulang tahun pernikahan diwarnai kisah-kisah awal percintaan khususnya bagi pasangan yang kahwin awal, seawal 22 tahun? Hati Hannah bermonolog.

Pulau Borneo sudahpun jauh ditinggalkan. Suhu di luar bakul besar kini menghampiri sifar darjah Celcius. Belon udara yang didominasi warna merah dan putih kelihatan kusam legam dalam kegelapan malam pekat dikelambui angin dingin dari Artik. Lautan Pasifik yang bergelora nun di bawah sana juga kelihatan legam.

“Hannah sayang, tidak pernahkah awak rasa tertekan selama setahun terakhir ini?" Irfan membuang pandangan ke kegelapan malam tanpa sebutir bintang.

“Dalam keadaan umur pun sudah meningkat ini, rasanya lebih seronok berkhidmat di negara sendiri.” Hannah melabuhkan punggung di tilam empuk alas duduk berwarna hijau pucuk pisang.

“Tapi, riak tidak berjaya mewujudkan gelombang kalau segala-galanya pegun ataupun hanya ada antigelombang yang membina antidot pembunuh pecutan.” Irfan tiba-tiba kelihatan serius pula sambil berpeluk tubuh. Lalu menjeling ke sekumpulan awan hitam berarak laju begitu hampir bersebelahan mereka. “Persekitaran kita sekarang kurang menyeronokkan dalam banyak hal, bagaimana kalau kita berhijrah saja kembali?"

“Apakah ekspedisi ini sebahagian daripada proses merealisasikan cita-cita abang?" Hannah menanti butir jawapan keluar dari mulut Irfan. Dalam kegelapan malam memeluk ruang bakul besar yang hanya diterangi cahaya dari api yang menolak belon naik ke udara itu, wajah suaminya tampak berbalam-balam ditemani liuk bebayang belon. Sukar untuk dia membacanya. Sukar untuk dia menafsirkannya.

Irfan sedia menghidu kegusaran Hannah. Dia membetulkan kedudukan kaki yang dibiarkan melunjur ke arah beberapa buah tong oksigen cair dan bahan api propana. “Ahmed Zewail berhijrah sebelum berjaya memenangi Hadiah Nobel.” Irfan menyambung kata.

“Hmm.” Hannah menarik nafas dalam-dalam. Ekor mataya melirik bayang cahaya menari-nari di sudut empat persegi itu. “Kalau cahaya, tetap cahaya. Buat penerang laluan. Kalau benih yang baik, jatuh ke laut tetap menjadi pulau. Abang seriuskah?"

“Serius.”

“Pastikah?"

“Kenapa tidak?"

“Saya hanya mendengar nafas kecewa yang... mengelirukan!"

“Makmal yang kurang lengkap, kurang canggih. Serba tiada, lambat, lemah, lelah!" Sekilas, Irfan seolah-olah menumbuk lantai melepaskan buku geram.

“Bukankah dulu abang pernah cakap, berbanglo mewah di negeri orang, berpondok sederhana di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri?”

“Lingkaran yang jumud, Hannah! Yang culas dan bertuah, ahli politik yang kaki bodek, kaki temberang. Ah, bosan!"

Hannah cuba menganalisis butir kata-kata Irfan. Remang cahaya baru sahaja berganjak tetapi rona wajahnya masih belum jelas dicecah cahaya.

“Abang jangan lupa. Bukankah orang Malaysia menerima abang, malah menjemput abang balik ke tanah air sendiri?”

“Tapi bukan begini caranya kalau serius mahu kita balik berkhidmat. Awak tentu ingat hujah Csikszentmihalyi. Faktor sosiobudaya penting bagi seseorang sarjana.”

“Rasa seronok dan puas di tanah tumpah darah sendiri.” Hannah memotong cakap suami. Dia bersila menyandar di dinding bakul besar. “Bagaimana kalau kita letakkan hipotesis bahawa pencalonan dan kemenangan Hadiah Nobel tidak dapat lari daripada teori permainan global. Begitu juga dengan kedudukan taraf universiti di peringkat antarabangsa. Semua kriteria Barat tetapkan. Yang penting, mereka punya lebih autoriti untuk membuat keputusan. Mungkin boleh dikaitkan dengan servis ‘S’ yang pernah dipopularkan oleh anak-anak Sidek tapi akhirnya diharamkan oleh sebuah badan yang diiktiraf sebagai badan antarabangsa.”

“Itu mirip teori konspirasi.” Irfan mengurut-urut kepala yang ditumbuhi beberapa helai uban.

“Tidak salah kalau kita bermuhasabah. Malah saya berani kata inilah penjajahan bentuk baru - imperialisme atau neo-kolonialisme!" Hannah lebih pantas membidas. “Itu belum masuk soal harta intelek seperti paten. Barat buat peraturan sendiri. Harga paten yang tinggi misalnya hanya menyusahkan negara-negara dunia ketiga bagi memilikinya.”

“Itulah sebabnya rakyat Malaysia perlu berada di tempat terbaik bagi mendapatkan hasil terbaik.” Irfan tidak mahu kalah. Dia asalnya orang matematik, tapi kini profesor dalam bidang fizik sebagaimana Einstein. John Nash, watak dalam Beautiful Mind juga asalnya orang matematik tapi kemudian beralih ke bidang ekonomi. “Ini cara pantas untuk lihat anak Malaysia menang Hadiah Nobel!"

“Sementara universiti tempatan tidak dapat menumpang tuah, mendapat nama?"

“Tentunya ada kos melepas. Lihat sahaja Ahmad Zewail yang pernah beberapa kali berkunjung ke Malaysia. Dia menjulang nama Amerika sebagai pemenang Hadiah Nobel, tapi tetap dikenang sebagai anak Mesir, putera Sungai Nil. Dia juga menjadi kebanggaan umat Islam sedunia sebagai pemenang Hadiah Nobel dalam bidang sains.” Irfan dan Hannah membisu lantaran terimbaukan Ahmad Zewail pakar femtokimia yang selama ini menjadi idola. Ahmad Zewail berjaya mengukir nama sebagai saintis Islam terbilang.

“Saya ikut sahaja keputusan abang,” jelas Hannah, profesor dalam bidang pengurusan, pengkhususan dalam kreativiti dan inovasi.

“Mustahil awak setuju saja.” Irfan bagai enggan percaya akan kata-kata isteri. Hannah tidak pernah mudah mengaku kalah dalam setiap perbincangan, apa lagi perdebatan. “Bukankah awak antara pendebat terbaik dunia yang pernah saya jumpa?"

“Sungguh. Saya berazam untuk berubah menjadi isteri yang tidak banyak membantah cakap suami.” Hannah berseloroh. “Sudah sampai masanya.”

Tiba-tiba kedua-duanya ketawa. Irfan berdekah-dekah ketawa hingga berair mata. Sebaik sahaja reda ketawa, Hannah menuangkan kopi-O panas dari termos ke dalam dua buah cawan. Sebuah yang diisi kopi-O panas dihulurkan kepada Irfan.

“Terima kasih,” sambut Irfan sambil cuba menangkap desiran angin dingin di luar yang cuba menyapa udara hangat dalam bakul besar. Dia memandang ke arah langit. Masih seperti tadi, hitam pekat tanpa sefemto kandela cahaya.

“Entahlah, hati saya sungguh sejuk mendidik anak bangsa sendiri. Cukuplah lebih dua puluh tahun kita di perantauan,” Hannah mereguk kopi-O panas adunan Keluang.

“Hadiah Nobel adalah impian dan cita-cita abang.” Irfan sering mengulang-ulang kata-kata itu. Dia teruja untuk menjadi pemenang Hadiah Nobel sejak zaman remaja lagi, sewaktu menghadiri program motivasi anjuran Institut Ibnu Sina, UTM. Cabaran Tun Dr. Mahathir untuk melihat anak watan menggapai Hadiah Nobel dalam bidang sains pada tahun 2020 pula disambut.

“Kalau ditakdirkan dapat pun saya ingin menolak seperti Jean-Paul Sartre yang pernah menolak Hadiah Nobel.” Hannah merujuk kepada penulis drama pentas dan ahli falsafah, Sartre yang enggan menerima sebarang penghargaan rasmi. “Kalaupun abang mahu kembali ke Amerika, abang mesti berusaha menyumbang bakti kepada negara.” Hannah memandang tepat wajah suami yang sedikit terlindung di balik cawan plastik ungu.

“Abang pun sebenarnya buntu. Sebab itu perkara ini mesti kita bincangkan masak-masak.” Irfan meletakkan cawan ke lantai.

“Seburuk-buruk negara kita, janganlah sampai dijaja di merata tempat. Memanglah kita masih banyak kekurangan. Bukan mudah untuk universiti tempatan mengejar universiti ternama. Lepas itu, kita cuba dibuli pula seperti diciptakan taraf kedudukan universiti dunia dengan kriteria yang Barat sendiri tetapkan. Mana adil?”

Bip! Bip! Biiiiip!

Bunyi yang keluar dari alat pembesar suara yang tersembunyi di bawah skrin 14 inci membuatkan Irfan dan Hannah tersentak.

“Mesej apa?” wajah Hannah sedikit kaget.

Skrin yang menghadap Irfan diteliti. “Ada kemungkinan tornado lalu di kawasan ini sekejap lagi,” terang Irfan.

“Apa? Tapi bukankah abang kata cuaca dalam keadaan baik.”

“Itu ramalan manusia. Tuhan menentukan segala. Insya-Allah, kita akan selamat.” Irfan tenang. Bukan sekali dua dia menghadapi cabaran begini. Kali ini, dia mahu mencipta rekod menyeberangi Pasifik ke Amerika Syarikat dengan menaiki belon udara. “Tidak boleh elak?” Hannah kaget.

“Kita cuba ikhtiar sedaya upaya.” Irfan cuba beri keyakinan.

Tiba-tiba bakul besar yang mengepungi Irfan dan Hannah berulang-aling. Mungkin dipalu tornado yang muncul lebih awal. Baki air kopi-O di cawan Irfan dan Hannah tumpah ke lantai. Sebuah beg hitam juga tumbang ke lantai, nyaris menimpa hujung kaki kiri Irfan. Belon udara bergerak dalam keadaan menjunam ke bawah. Belon sendeng. Bunyi gelora ombak Pasifik semakin jelas. Bacaan kelajuan 11 knot di skrin meningkat drastik. Terasa nyawa akan melayang!

Hannah bermunajat, pasrah, “Tuhan, kalau benar selama ini kerjaya kami ada manfaat kepada manusia dan nilai sumbangannya dalam menegakkan kembali agama-Mu, maka panjangkanlah umur kami untuknya demi mengharapkan keredaan Engkau!”

Irfan bingkas bangun. Dengan tenang, dia menekan sebuah butang kecemasan warna hijau bagi membolehkan belon udara terapung lebih tinggi melampaui awan.

“Encik Irfan.” Irfan tersentak. “Sila pasang tali pinggang keselamatan.” Seorang pramugari bertudung hitam melemparkan senyuman kepada Irfan.

Sebentar lagi kapalterbang yang dinaiki Irfan dari Sweden akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Irfan akan disambut sebagai wira negara, idola kecemerlangan bangsa dalam bidang sains. Bagi Irfan, frasa kata-kata almarhumah Hannah terus terngiang-ngiang dalam sanubari, “Sungguh, sedang Hannah saksikan sefemto kandela cahaya Nobel mengganda dari tubuh abang. Percayalah.”

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN