|
KUALA LUMPUR 17 Jun - Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, tindakannya menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat dengan melaungkan Bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak selepas mengangkat sumpah kelmarin adalah spontan.
Beliau berkata, waktu itu merupakan peluang keemasan untuknya berbuat demikian bagi menyatakan mesej berhubung kemelut politik di Perak.
''Waktu itu merupakan peluang keemasan kerana semua menteri berada di Dewan Rakyat.
''Itu adalah tindakan spontan. Tindakan spontan lebih berkesan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Mohammad Nizar yang kembali ke Parlimen setelah digantung dua hari kerana membuat laungan dan memakai kain lilit bertulis Bubar DUN selepas mengangkat sumpah Ahli Parlimen berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakannya itu.
Turut menerima tindakan yang sama ialah enam wakil rakyat pembangkang lain kerana ingkar dengan arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia supaya membuka lilitan berwarna hitam berkenaan.
Tambahnya, ketika mengangkat sumpah beliau mempunyai rasa 'lain' di dalam hati kerana sumpah yang dibacakan itu menyatakan bahawa beliau akan mempertahankan Perlembagaan Negara.
''Rasa 'lain' itu timbul ketika membaca sumpah itu kerana saya sedar di Perak, UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah meliwat Perlembagaan," dakwanya.
IKLAN@UTUSAN
|