Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 12/06/2009
KPDNHEP kini dikenali KPDNKK

KPDNHEP kini dikenali KPDNKK

KUANTAN 11 Jun - Sektor koperasi negara diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) dimansuhkan pada Mac lalu.

Berikutan itu, KPDNHEP kini dikenali sebagai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkuat kuasa serta-merta.

Nama baru itu diumumkan oleh Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Jabatan Penyiaran Pahang di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, nama baru kementeriannya dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada mesyuarat Kabinet semalam.

Dengan keputusan itu, kata beliau, beberapa penstrukturan termasuk penggunaan logo baru akan diperkenalkan oleh KPDNKK.

''Meskipun kita telah menggunakan nama baru tetapi perubahan-perubahan akan diperkenalkan secara berperingkat-peringkat.

''Kita juga mungkin akan mengadakan pertandingan mencipta logo untuk nama baru kementerian ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Koperasi Bela Rakyat (Kobera) di Jabatan Penyiaran Pahang hari ini.

Ismail Sabri memberitahu, selepas MeCD dimansuhkan, kedudukan sektor koperasi sememangnya diletakkan di bawah KPDNHEP tetapi statusnya kurang jelas.

''Sehubungan itu, Kabinet bersetuju meletakkan nama koperasi sejajar dengan perubahan nama KPDNHEP itu," katanya.

Mengulas peranan Kobera, beliau menjelaskan, pihaknya memperuntukkan geran sebanyak RM30,000 kepada setiap koperasi yang merancang untuk menjalankan perniagaan.

''Bagaimanapun, geran itu hanya akan disalurkan selepas Kobera mengemukakan pelan cadangan dan kertas kerja perniagaan yang hendak dijalankan.

''Setakat ini, hanya 32 daripada 111 Kobera berdaftar di seluruh negara memperoleh geran tersebut," katanya.

Bagi memastikan Kobera beroperasi secara profesional, jelas beliau, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan menggaji seorang pengurus untuk menguruskan perniagaan koperasi terbabit bagi tempoh enam bulan.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN