VERSI : Mobile | Akhbar Digital
17 April 2014 / 17 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
IMPAK ALAM

ARKIB : 08/06/2009

Realiti dan harapan Zoo Negara


Kehadiran pengunjung Zoo Negara adalah bermusim, iaitu hanya penuh pada hari cuti umum dan musim cuti sekolah.


Selepas lebih 20 tahun tidak menjejak kaki ke Zoo Negara, nyata taman ini sudah banyak berbeza. Pada usia yang mencecah 46 tahun, tidak hairanlah ada bangunannya yang kelihatan agak usang.

Tetapi, penulis terasa bagaikan ada satu aura yang dibawa oleh persekitaran ini. Kelihatan siamang bergayut tinggi pada kandangnya dengan gembira. Haiwan-haiwan lain juga kelihatan lebih segar dengan kandang yang lebih luas.

Puluhan burung Upeh Botak, sejenis spesies terlindung hasil kejayaan program pembiakan zoo ini berterbangan bebas di luar kawasan zoo hingga ada yang dilihat sejauh Banting dan Klang, bak kata Kurator Zoo Negara, Doreen Khoo.

Malah anak zirafah yang baru berusia beberapa minggu berlari-lari dengan yakin mengikut jejak induknya.

Sekali imbas nyata haiwan-haiwan di zoo pertama negara yang dibuka secara rasmi pada tahun 1963 dan diuruskan oleh Persatuan Zoologi Malaysia itu nampak ceria.

Justeru, benarkah dakwaan sebilangan masyrakat bahawa pada usianya yang mencecah setengah abad, apatah lagi dengan dibayangi populariti lain-lain zoo seperti Zoo Taiping, Zoo Melaka dan Zoo Singapura, membuatkan Zoo Negara kian dilupakan dan kehilangan sengatnya?

Pengarah Zoo Negara, Dr. Mohamad Ngah menolak tanggapan tersebut malah menyatakan bahawa Zoo Negara kini semakin cemerlang termasuk lebih ruang disediakan untuk kebebasan haiwan.

Malah dengan wajah baru yang lebih ceria dan mesra haiwan, Zoo Negara sedang meniti tangga-tangga kejayaan yang bakal mengiktirafnya sebagai zoo terbaik bertaraf dunia.

Selari dengan kematangan usianya, Zoo Negara telah berubah sepenuhnya dengan mengamalkan konsep zoo terbuka yang mana lebih 90 peratus daripada haiwannya ditempatkan dalam ruang pameran berlandskap yang luas dan sesuai dengan naluri semula jadi haiwan.

Di atas tanah seluas 110 ekar dengan lokasi strategik, zoo itu menyimpan 5,138 ekor haiwan daripada 459 spesies mamalia, burung, reptilia, amfibia dan ikan.

Sebenarnya, Zoo Negara masih merupakan zoo terbesar negara dan memiliki bilangan spesies serta jumlah haiwan terbanyak di Malaysia. Ini menjadikannya pilihan terbaik sebagai aktiviti kurikulum luar kelas.

Kedudukannya yang terletak hanya lima kilometer daripada pusat ibu kota pula menjadikannya destinasi terbaik warga kota, desa serta warga asing bersantai sambil mempelajari sedikit sebanyak mengenai alam semula jadi.

Hakikatnya, lebih 85 peratus haiwan yang dilindungi Zoo Negara diklasifikasikan sebagai Haiwan Terancam, Haiwan Bakal Pupus dan Haiwan Hampir Pupus.

Persoalannya, dapatkah zoo menggantikan dengan mudah sekiranya haiwan-haiwan terlindung ini mati?

Mohamad mengakui memang sukar menggantikan haiwan yang mati, apatah lagi Zoo Negara mengamalkan dengan ketat polisi tidak boleh mengambil haiwan liar dari habitat asal serta tidak boleh menjual beli haiwan.

Justeru pertukaran haiwan adalah satu-satunya cara.

Sebagai ahli pertubuhan zoo dunia, Zoo Negara boleh bertukar-tukar haiwan dengan zoo-zoo tempatan, Asia Tenggara, malah dari seluruh dunia.

"Perancangan dan kajian amat penting terutama dari usia dan tahap kesihatan haiwan.

"Misalnya, jika kami dapati Harimau Bengal yang kami ada sedang menunggu masa untuk mati kami akan cari anak spesies harimau itu dari zoo lain atau memesan zoo yang ada induk spesies tersebut untuk dibiakkan.

"Jadi kami booking terlebih dahulu anak harimau sebelum harimau tua menemui ajalnya," jelas Pengarah Zoo tersebut.

Menyentuh pula kematian serentak 12 ekor spesies haiwan hampir pupus Badak Sumbu beberapa tahun lalu di sebuah zoo lain, beliau mengakui berasa sedikit ralat ekoran tidak berpeluang menguruskan mamalia besar itu.

Beliau berpendapat ia mungkin boleh dielakkan sekiranya mereka diagihkan ke zoo-zoo berbeza.

"Sewajarnya, kita tidak menyimpan semua telur di dalam bakul yang sama bukan? Apa jadi sekiranya bakul itu terjatuh?," ujarnya menyebut sebaris pepatah Inggeris sambil menekankan kepentingan pembiakan dan pengagihan haiwan.

Hasil program pembiakan terkini Zoo Negara telah berjaya membiakkan banyak haiwan. Ini termasuk 11 spesies terlindung yang telah menerima anugerah Rekod Guinness Malaysia yang diagih-agihkan kepada zoo-zoo lain, sama ada dalam atau luar negeri. Malah ada haiwan dari zoo ini telah sampai hingga Afrika.

"Hasil kejayaan pembiakan juga dilepaskan ke alam semula jadi dan sentiasa dipantau untuk dikaji kejayaannya," ujar Mohamad.

Dengan perasaan terharu beliau menyebut burung Upeh Botak (Milky Stork) yang telah dibebaskan ke Taman Alam Kuala Selangor dan Kuala Gula di Perak serta merak Malayan Peacock Pheasant dan burung Crestless Fireback telah dibebaskan ke Berjaya Hill di Bukit Tinggi adalah kejayaan terbesar kakitangannya.

Keperluan seksual haiwan

Baginya masalah besar yang beliau hadapi ialah memastikan haiwan-haiwannya dapat berpasang-pasangan bagi memastikan kebajikan mereka.

Justeru zoo ini berusaha mencari dan berbincang dengan zoo-zoo lain untuk pertukaran haiwan yang sesuai.

Sekurang-kurangnya, meskipun tidak membiak, haiwan-haiwan itu dapat melepaskan keperluan seksual mereka.

Pemegang ijazah Doktor Falsafah Fisiologi Pembiakan itu, amat berharap agar satu hari nanti, pembiakan yang amat sukar haiwan-haiwan spesies terancam terutama mamalia besar dapat menjadi kenyataan.

Justeru, beliau kini telah menyiapkan kertas cadangan Akademi Zoo yang antara lain merangkumi kajian 'air mani dan pembekuan embrio'. Kertas kerja itu sedang dibincangkan untuk kolaborasi dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pengarah Zoo Negara itu tidak menafikan kekurangan dana boleh menjejaskan kemandirian zoo itu sendiri, lagipun ramai yang tersalah tafsir menyangka Zoo Negara adalah badan kerajaan yang menerima subsidi.

Zoo Negara, sebenarnya pernah mengalami kekurangan dana yang teruk sehingga RM1,100,000 pada tahun 2003, ia tetap terus bangkit sehingga berjaya mencatatkan lebihan sehingga RM1,628,000 tahun lepas termasuk RM1,489,000 dalam bentuk penajaan.

"Hakikatnya, zoo ini berdikari. Menguruskan zoo sebesar Zoo Negara memerlukan kos operasi (OPEX) setinggi RM8 juta hingga RM9 juta setahun," ujarnya sambil menerangkan bahawa kos itu termasuk kos makanan, gaji pekerja, perubatan, kos penyelenggaraan dan sebagainya.

Tambahan pula, faktor usia memerlukan sebahagian daripada dana diperuntukkan untuk memperbaiki kerosakan dan keusangan infrastruktur dan kemudahan zoo.

"Buat masa ini, sumbangan pihak swasta hanya berjumlah tujuh peratus daripada OPEX, selebihnya sekitar 80 peratus dari jualan tiket dan selebihnya daripada sewa kios dan dividen dari simpanan tetap bank," jelasnya.

Zoo Negara sedang berusaha mendapatkan peruntukan kos Pembangunan (CAPEX) daripada kerajaan untuk membina dan mengubahsuai kandang dan pameran. Pastinya permintaan itu bertepatan kerana persatuan Zoologi Malaysia ini membawa nama 'Negara' kepada pengunjung.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.