|
SHAH ALAM 5 Jun - Pas hari ini mengiktiraf dua tokoh bahasa yang terlibat dalam perhimpunan Gerakan Memansuhkan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (GMP) sebelum ini.
Dua tokoh berkenaan ialah Pengerusi GMP, Datuk Hassan Ahmad serta penasihat gerakan itu, Datuk A. Samad Said yang disampaikan pada perasmian Muktamar Tahunan Pas Ke-55 di Stadium Malawati di sini.
Anugerah yang dikenali sebagai Anugerah Pejuang Bahasa itu disampaikan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Abdul Hadi dalam kenyataannya menyebut anugerah itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk meneguhkan kedudukan bahasa Melayu yang juga bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan nasional.
Katanya, tindakan dua individu berkenaan selaras dengan tuntutan yang disuarakan oleh golongan ilmuan, budayawan serta sasterawan hasil daripada kajian yang telah dilaksanakan oleh beberapa penyelidik daripada institusi pengajian tinggi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Saya harap dengan anugerah ini dapat melahirkan lebih ramai pejuang bahasa yang akan mewarisi perjuangan yang dirintis oleh penerima-penerima anugerah ini (Hassan dan A. Samad)," katanya.
Pada 7 Mac lalu, GMP telah mengadakan perhimpunan membantah pengunaan bahasa Inggeris dalam Pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah di seluruh negara.
Bagaimanapun, perhimpunan secara aman itu bertukar tidak terkawal setelah 5,000 penyokong termasuk pemimpin Pas cuba merempuh sekatan polis ketika berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum bantahan.
IKLAN@UTUSAN
|