Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
SASTERA

ARKIB : 31/05/2009
perjuangan penulis muda

perjuangan penulis muda


nasriah (kiri), Zanazanzaly dan Rozais di Perhimpunan Penulis Muda Nasional di Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini.


Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN 2009) di Puteri Resort, Melaka baru-baru ini perlu dilihat sebagai anjakan untuk menempuh gelombang pembudayaan pada era globalisasi. Cabaran dan perjuangan penulis muda bukan sekadar melengkapkan kesinambungan dalam dunia kesusasteraan, sebaliknya satu anjakan.

Ini merupakan kali keempat perhimpunan seumpama ini diadakan selepas di Padang Merbuk (Kompleks Budaya Negara) tahun 1987, Langkawi, Kota Bahru, Tanjung Piai di Johor tahun 2005. Dalam mendepani cabaran dan kompleksiti sosial era globalisasi, tugas penulis muda sangat besar.

Sepanjang tiga hari, perhimpunan ini secara tegas lagi jelas memperlihatkan gagasan pemikiran orang-orang muda yang tajam dan berani. Sebahagian besar terdidik dalam disiplin yang pelbagai; teknologi maklumat, undang-undang, pengajian Islam dan sebagainya.

Biarlah mereka ini dikelaskan sebagai "penulis muda" atau "penulis baru". Ini sekadar untuk memudahkan pengkelasan tetapi bukan kelas ini menjadi satu fragmentasi yang memisahkan antara golongan yang telah lama dalam kesusasteraan. Jangan terperangkap dengan pengkelasan kerana sama ada muda atau tua, masing-masing mempunyai hujung matlamat yang sama untuk membina insan serta memperkukuhkan tiang budaya dan bahasa.

Dalam sejarah pembinaan ketamadunan Melayu kalangan penulis sudah terbukti memainkan peranan yang cukup besar untuk menentukan matlamat peradabannya. Peranan ini bukan saja pada zaman memperjuangkan kemerdekaan malah pemikiran sasterawan terus dituntut untuk mengimbangi antara kemajuan fizikal dan kemanusiaan.

Perhimpunan yang dihadiri oleh kira-kira 200 penulis muda dari seluruh negara termasuk alumni peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Penulis-penulis muda lain yang kelihatan pada perhimpunan ini antaranya Saifulizan Yahya, Ibnu Ahmad Al Kurauwi, Ummu Hani Abu Hassan, Rozais Al-Anamy, Zanazanzaly, Salman Sulaiman, Nasriah Abdul Salam dan Lutfi Ishak.

Penulis muda yang senior dan telah memperlihatkan jurus pemikiran dalam banyak karya sama ada di media atau buku diyakini mempunyai gagasan perjuangan yang jelas. Daripada beberapa kertas kerja yang dibentangkan sepanjang tiga hari itu, kepelbagaian isu dan pemikiran ini adalah suatu yang sangat menarik.

Inisiatif Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) menjadi penggerak program perhimpunan ini memperlihatkan tidak ada garis pemisah antara penulis muda dan yang sudah punya nama besar dalam kesusasteraan. Keharmonian ini begitu nyata dengan kehadiran sasterawan tersohor seperti Datuk Dr. Anwar Ridhuan yang memberikan ucaptama pada perhimpunan ini.

Sebenarnya kemunculan penulis-penulis muda mempunyai hubungan yang rapat dengan penganjuran Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) yang masuk tahun ke 24 tahun ini.

HSKU walaupun memberi anugerah kepada penulis-penulis yang menyumbangkan karya dalam penerbitan Kumpulan Utusan tetapi secara tidak langsung mencipta laluan untuk menongkah jauh ke tengah gelanggang kesusasteraan. Saban tahun HSKU memberi pengiktirafan kepada penulis-penulis muda dan banyak yang telah memancarkan nama selepas menembusi banyak akhbar dan majalah lain selepas itu.

perjuangan

Anwar dalam ucaptamanya mengingatkan penulis-penulis muda antara mencipta nama dan matlamat berkarya. Maka cabaran pertama bagi penulis muda ialah memetakkan perjuangan seni terlebih dahulu. Sekiranya ringgit dan nama menjadi matlamat, degup perjuangannya tidak akan kedengaran lagi.

Kalau dibandingkan dengan penulis terdahulu yang terdidik oleh alam dan persekitaran perang, penulis muda sekarang lebih beruntung apabila datang dengan ilmu dan disiplin yang pelbagai. Nasriah misalnya dari jurusan undang-undang telah menyentuh mengenai kekangan undang-undang yang membataskan penghasilan karya kreatif.

Nasriah yang beberapa kali memenangi anugerah di HSKU melihat bahawa sekatan secara langsung dan tidak langsung boleh menjejaskan kebebasan berkarya terutama golongan muda. Beliau menuntut diberikan kelonggaran supaya golongan penulis bebas melontarkan pemikiran dalam lingkungan adab sopan budayanya.

Sementara Lufti pula secara sinikal mengingatkan jangan termasuk dalam "lubang biawak". Analogi lubang biawak bagi Lutfi adalah menelan bulat-bulat segala teori kesusasteraan dari luar khususnya Barat tanpa menyaring kesesuaiannya dengan latar Melayu dan Islam.

Peringatan Lutfi walaupun disambut dengan gelak ketawa tetapi suatu yang penting kepada generasi penulis muda. Ketaksuban melampau kepada teori Barat tanpa diperkasakan dengan pemikiran yang dibentuk oleh latar sosial setempat hanya membawa kepada kemusnahan.

Kata Lutfi, kehadiran pengarang celik merupakan nadi utama untuk memastikan sastera terus berdenyut. Pengarang celik lahir daripada penghayatan dan pemahaman seseorang terhadap sejarah dan sosial bangsanya.

Penulis muda Salman Sulaiman membentangkan kertas kerja yang menyentuh tentang sastera Islam dan beliau menyarankan supaya al Quran dijadikan rujukan untuk memastikan sastera yang berunsur Islam tidak terbabas daripada matlamatnya.

Salman bagaimana pun kurang setuju dengan istilah karya sufi kerana ini boleh memberikan tanggapan yang sekaligus menjauhkan khalayak mendekati sesebuah karya sastera. Bagi Salman, biarlah sesebuah karya sastera itu tidak dilabelkan dan khalayak sendiri yang menentukan apa yang boleh dikutip daripada sesebuah karya itu. - KU SEMAN

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN