|
KUALA LUMPUR 29 Mei – MIC akan menghantar bantahan bertulis kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung keputusan mengehadkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengambil maksimum 10 subjek sahaja mulai tahun depan.
Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, keputusan berkenaan menghalang pelajar kaum India daripada mengambil kedua-dua subjek Bahasa Tamil dan Kesusasteraan Tamil.
“Keputusan berkenaan menyebabkan pelajar daripada kaum India hanya boleh menduduki salah satu subjek memandangkan para pelajar diwajibkan mengambil lima subjek serta empat subjek sains.
“Memandangkan subjek yang wajib diambil adalah sembilan subjek kesemuanya, maka pelajar kaum India perlu memilih antara kertas Bahasa Tamil atau Kesusasteraan Tamil,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Jelas Samy, perkara berkenaan dibangkitkan dalam perbincangan dengan ibu bapa pelajar daripada kaum itu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India selepas kerajaan mengumumkan keputusan berkenaan baru-baru ini.
“Saya merayu kepada Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran untuk mengadakan perbincangan dengan komuniti India dan membuat perubahan yang sewajarnya selaras dengan aspirasi kerajaan hari ini.
“Saya percaya Muhyiddin adalah seorang pemimpin yang adil dan merupakan pemimpin kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.
IKLAN@UTUSAN
|