|
![]() |
|
Anggota-ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Alor Gajah menunjukkan ular sawa batik yang ditangkap di Kampung Gadek Hilir Dalam, Gadek, Melaka, semalam. |
ALOR GAJAH 22 Mei - Teka-teki kehilangan ternakan ayam di Kampung Gadek Hilir Dalam, Gadek dekat sini terjawab apabila seekor ular sawa yang kekenyangan memakan sembilan ekor ayam ditemui di reban milik seorang penduduk.
Ular sawa batik sepanjang kira-kira enam meter dan seberat 50 kilogram itu ditemui oleh Abdul Hamid Samdin, 53, ketika hendak membuka reban ayam miliknya kira-kira pukul 7.50 pagi.
"Saya terkejut dan amat takut apabila melihat binatang itu sedang berlingkar dalam keadaan kekenyangan.
"Beberapa jiran yang tinggal berdekatan tidak dapat berbuat apa-apa," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Dia yakin ketika itu ular berkenaan sudah menelan sembilan ekor ayam yang berada dalam reban miliknya.
"Keadaan perut ular itu sangat besar hingga reptilia itu tidak dapat bergerak dan berlingkar di dalam reban," katanya.
Menurutnya, dia terus menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan memaklumkan mengenai penemuan ular sawa itu.
Katanya, dengan penemuan ular itu terjawab persoalan kehilangan ternakan ayam penduduk di Kampung Gadek Hilir Dalam sejak beberapa minggu lalu.
Sementara itu, sepasukan lima anggota dari JPAM tiba di tempat kejadian dan mengambil masa 10 minit sebelum dapat menangkap ular tersebut.
Petugas Bilik Operasi JPAM Alor Gajah, Mohd. Rizuan Rahmat berkata, ketika ditangkap, ular ini dipercayai telah menelan sembilan ekor ayam milik pengadu.
Menurutnya, anggotanya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap ular tersebut yang dianggarkan seberat 50 kilogram.
"Masa lama diperlukan untuk menangkap ular ini kerana ia agresif sehingga menyebabkan tali tanjul yang digunakan terputus," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mohd. Rizuan berkata, ular sawa itu akan dilepaskan ke habitat asalnya iaitu di hutan yang jauh dari penempatan manusia.
IKLAN@UTUSAN
|