UTARA

ARKIB : 15/05/2009
Buang tanggapan rakyat Perlis malas membaca

Buang tanggapan rakyat Perlis malas membaca

KANGAR 14 Mei - Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid mahu sikap minat membaca diterapkan dalam setiap diri rakyat negeri ini bagi menolak tanggapan negatif bahawa masyarakat Perlis malas membaca.

Baginda bertitah, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail turut menyarankan agar rakyat negeri ini menerapkan minat membaca.

Titah baginda, penglibatan semua pihak perlu dalam membudayakan amalan membaca agar kesedaran orang ramai berkaitan amalan tersebut dipertingkatkan.

''Usaha menyediakan sudut bacaan kepada kanak-kanak khususnya pesakit Thalasemia memberikan peluang bukan sahaja kepada pesakit tetapi ibu bapa pesakit juga berpeluang mendapatkan bahan bacaan dan alat permainan ketika berada di hospital.

''Budaya membaca dan peralatan permainan yang disediakan dapat memberikan keseronokan kepada pesakit dan melupakan kesakitan yang ditanggung mereka," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Program Bacalah Manjaku Bersama Kanak-Kanak di Klinik Thalasemia, Jabatan Pediatrik, Hospital Tuanku Fauziah di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Raslin Bakar dan Pengarah Eksekutif Syarikat Educate To Learn (E2L) Sdn. Bhd., Farah Mahani Mustapha Kamal yang memberikan sumbangan permainan kepada kanak-kanak Thalasemia.

Program itu juga diadakan sempena Sambutan Keputeraan ke-66 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Tuanku Raja Perempuan Perlis turut meminta ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang menghidap Thalasemia supaya sentiasa sabar dan tabah menghadapi ujian Allah SWT.

''Semoga melalui penubuhan ruang membaca khas ini anak-anak yang mengidap Thalasemia dan ibu bapa sendiri mendapat kebaikan daripadanya.

''Beta juga berharap rakyat Perlis akan sama-sama menjadikan amalan membaca sebagai satu amalan harian bermula daripada dalam keluarga itu sendiri," titah baginda.

IKLAN@UTUSAN
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:15
Asar 4:19
Maghrib 7:18
Isyak 8:28
 
IKLAN@UTUSAN


IKLAN@UTUSAN
IKLAN@UTUSAN
Untitled Document
IKLAN@UTUSAN
Untitled Document
Utusan Online on Facebook