Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 14/05/2009
Tentukan JKK khas tangani rempit

Tentukan JKK khas tangani rempit

KUALA LUMPUR 13 Mei - Mesyuarat pertama Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menentukan anggota jawatankuasa khas bagi menangani isu rempit dan lumba haram akan diadakan minggu depan.

Timbalan Menterinya, Jelaing Mersat berkata, mesyuarat yang akan dihadiri wakil beberapa kementerian berkaitan itu bertujuan memilih ahli-ahli jawatankuasa yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkaitan.

"Antara kementerian yang terlibat dalam pemilihan itu ialah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Penerangan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Selepas kita mengenal pasti anggota jawatankuasa nanti, baru kita agihkan peranan dan tugasan mengikut kepakaran atau bidang masing-masing untuk memulakan operasi tangani rempit," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri menyatakan kebimbangan terhadap gejala mat rempit yang disifatkan bakal menjadi wabak yang mengundang pelbagai masalah lain dalam masyarakat jika tidak ditangani segera.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu pendekatan jangka panjang yang holistik perlu dirangka untuk mengawal gejala terbabit melalui penglibatan anggota masyarakat.

Jelaing yang akan mempengerusikan mesyuarat itu memberitahu, sejak KDN diarahkan mengambil alih tugas memantau gejala rempit, KDN banyak menerima cadangan dan pandangan daripada beberapa pihak berhubung cara menangani kegiatan terbabit.

Justeru, katanya, pihaknya tidak keberatan menimbang cadangan-cadangan itu jika ia membantu jawatankuasa khas menangani tingkah laku mat rempit dan budaya merempit.

"Kita akan bawa kaedah yang dicadangkan itu ke dalam mesyuarat jawatankuasa nanti dan kemungkinan merangka untuk dijadikan ia lebih canggih dan efektif," katanya.

Mengenai langkah awal KDN, beliau berkata, sementara menunggu jawatankuasa khas memulakan operasi mencegah, KDN bersama Kementerian Pengangkutan dan pihak berkuasa akan terus menjalankan penguatkuasaan terhadap mat rempit.

Beliau menjelaskan, penguatkuasaan dari segi sekatan di jalan-jalan raya utama yang dikenal pasti sebagai kawasan rempit di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri lain sedang diperkuatkan lagi.

Isu rempit semakin hangat diperkatakan berikutan awal bulan lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengadakan operasi besar-besaran menangani lumba haram secara serentak di ibu negara, Perak, Pulau Pinang, Johor dan Selangor.

Menurut laporan Pasukan Trafik Bukit Aman baru-baru ini, dalam tempoh operasi itu, 3,011 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya dikeluarkan dan daripada jumlah itu 45 peratus kesalahan tidak memiliki lesen dan cukai jalan.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN