Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
SASTERA

ARKIB : 10/05/2009
Idealisme radikal penulis muda

Idealisme radikal penulis muda


Ketua Satu PPJ, Amiruddin Ali (kiri), bekas Ketua Pengarah DBP, Dr. Firdaus Abdullah dan Pengerusi DBP, Johan Jaaffar (kanan) semasa perasmian PPMM 2005.


Dalam hiruk pikuk Kuala Lumpur yang bersimpang siur dengan bas-bas mini yang melibas bagai lipas kudung, sekumpulan lebih kurang 300 penulis generasi muda berhimpun di Padang Merbuk dan Kompleks Budaya Negara (KBN). Mereka adalah generasi muda penyair Malaysia yang menyahut keluh kesah dekad 80-an yang sosial dan politik penuh warna.

Usia mereka dalam lingkungan 20-an dan awal 30-an kelihatan begitu ghairah mengisi ruang pertemuan yang singkat pada 31 Julai hingga 2 Ogos 1987 itu. KBN yang menjadi premis bersejarah bagi penulis muda itu kini menjadi Akademi Warisan dan Seni Budaya (Aswara).

Perhimpunan yang dinamakan Perhimpunan Penulis Muda Malaysia (PPMM-87) itu sangat signifikan dengan gejolak jiwa generasi muda dekad 80-an dengan isu-isu politik dan juga sosial semasa.

Ini adalah antara usaha dan kejayaan terbesar menghimpunkan penulis muda dari seluruh negara sambil membentuk satu hala tuju dan garis pemikiran yang harus diisi.

Sekalipun sebahagian besarnya berambut gondrong ala Bob Marley, jeans dan berbaju T, tetapi inilah generasi penulis yang tampil dengan rencah idealisme yang radikal pada zaman itu. Penulis muda semestinya mempunyai idealisme yang radikal, bukan pengikut tetapi pencetus.

Sepanjang tiga hari tiga malam, sekitar KBN dan Padang Merbuk semacam pesta. Tetapi ini bukan limpahan pengaruh Woodstock 1969 dari Amerika Syarikat (AS). Perhimpunan diisi dengan perbincangan dan cetus gelisah kekangan berkarya. Tanpa berselindung juga perhimpunan pertama itu tercetus sedikit calar apabila dua kelompok penulis muda gagal mengawal marah antara satu dengan lain.

Penulis muda mesti mempunyai pemikiran radikal untuk meninjau ke luar lingkaran, pada masa yang sama tidak terlepas dari akar tunjang agama dan budaya yang menjadi kompas perjuangan. Mereka harus menjadi pencetus bukan pengikut yang pasif tanpa memberi reaksi kepada pergulatan sosio-politik di sekeliling mereka.

PPMM -87 dianjurkan secara kolektif oleh beberapa individu tanpa mendapat tajaan atau sokongan kewangan daripada kerajaan. Difahamkan peserta dengan sukarela membayar yuran penyertaan kerana mereka realistik dengan "kemiskinan" program seperti itu. Penulis dan wartawan veteran Hanafiah Samad menjadi pengemudi perhimpunan pada 1987 dan banyak sasterawan tersohor turut serta meniup semangat sambil memberi arah.

Antara yang sangat menyumbang kepada program pertama itu ialah Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, A. Ghafar Ibrahim (AGI), Aziz HM, Ladin Nuawi dan banyak lagi. Sebelum program itu diadakan, kalangan penulis generasi muda hanya bergerak secara sendirian tanpa berada dalam satu gerakan untuk menyebarluaskan idealisme.

Penulis muda yang menyertai perhimpunan pertama di Padang Merbuk itu kini sudah veteran. Mereka tidak muda lagi. Pada 22 hingga 24 Mei ini bertempat di Puteri Resort, Air Keroh Melaka akan berlangsung PPMM 2009.

Perhimpunan tiga hari ini dianjurkan oleh Persatuan Penulis Nasional (Pena) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), DBP dan Aswara. Ini adalah perhimpunan yang kelima. Selepas di Kuala Lumpur tahun 1987, diadakan di Langkawi (1991), Kem Kijang, Kota Bahru (1995) dan Tanjung Piai, Johor (2005).

Program di Tanjung Piai dan pada kali ini mendapat sokongan pelbagai pihak. Ini suatu anjakan yang baik berbanding zaman awal yang dianjurkan secara "miskin" dengan semangat yang besar.

Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Ali yang mengikuti semua program PPMM berkata, ada beberapa perkembangan yang menarik berlaku tetapi malangnya tidak ada satu jawatankuasa tetap yang mengendalikannya.

Menurut Amiruddin, tanpa satu jawatankuasa penganjuran yang tetap, program yang sangat signifikan dengan penulis muda ini tidak dapat diadakan secara konsisten dan pandu arah yang lebih jelas.

"Saya ikut semua program perhimpunan ini. Memanglah yang pertama agak bercempera sebab tiada penganjur yang khusus, begitu juga semasa di Langkawi. Sepatutnya apabila program ini sudah ada jenama, perhatian serius harus diberikan dengan mewujudkan jawatankuasa tetap penganjuran," tegas Amiruddin ketika ditemui Khamis lalu.

Penulis-penulis generasi baru yang selalu diistilahkan sebagai "anak muda yang lapar" dengan segala idealisme malah agak radikal seharusnya dimanfaatkan. Sifat radikal penulis muda tidak perlu dibimbangi dan program seperti perhimpunan yang akan diadakan minggu depan boleh dimanfaatkan sepenuhnya.

Kata Amiruddin, beliau mengharapkan perhimpunan kali ini memikirkan secara serius konsistensi program yang akan datang selain isi kandungan yang menerjah cabaran penulis zaman ini.

Setiausaha Agung Pena, S.M. Zakir yang memantau program ini menganggap perhimpunan kali ini dapat dimanfaatkan oleh penulis muda tentang zaman mereka yang penuh cabaran. Penulis muda wajar menjadi pemacu pembentukan insan menerusi wadah sastera dalam himpitan dunia tanpa batasan ini.

"Walaupun penulis muda zaman ini tidak sama dengan gerakan Asas 50 memperjuangkan kemerdekaan, tetapi tetap besar untuk mereka menguruskan sekian banyak permasalahan politik dan sosial. Saya harap mereka memikirkan cabaran ini," tegas S.M Zakir.

Beliau memberitahu, perhimpunan kali ini digerakkan oleh angkatan penulis muda bawah 40 tahun yang menjadi pemain aktif di gelanggang sastera. Perhimpunan ini adalah untuk mereka dan tanggungjawab mengendalikan dan mengisi program ini adalah suatu yang besar.

"Kalau dilihat sebahagian besar yang menjadi pembentang dan ahli panel adalah penulis generasi muda. Kita mahu memberikan ruang kepada mereka melontarkan pemikiran masing-masing tanpa ragu," kata S.M. Zakir.

Pada program PPMM 2005 dulu ditekankan idealisme penulis muda yang akhirnya pihak penganjur menerbitkan satu antologi esei Idealisme Penulis Muda yang diterbitkan oleh Pena. Kali ini program menjurus kepada perjuangan penulis muda mencari arah dan mendepani cabaran.

Kata penulis muda:

Rozais Al-Anamy:

"PPMM yang terdahulu ibarat satu pusat yang dapat mengenal pasti penulis-penulis berpotensi demi menghasilkan karya-karya yang berkualiti. Ia juga wadah penghubung ukhwah dan silaturahim antara pencinta, penikmat dan peminat sastera dengan pengkarya.

Semoga PPMM kali ini berjaya membariskan penulis-penulis yang berkompetensi bagi mengisi definisi "safwah mukhtarah" demi kedaulatan sastera Malaysia di persada antarabangsa.

Saya ingin melihat saya sendiri dan rakan-rakan penulis berjaya melepasi kepungan zon selesa yang sangat cemburu kepada lonjakan untuk terus berjuang. Semoga karya-karya penulis muda kita tidak hanya radikal pada bentuknya tetapi juga pada isi pemikiran. Satu lagi PPMM mesti diadakan secara konsisten dan jangan tenggelam dan sesekali timbul."

Saifulizan Yahya:

"PPMM 2009 adalah kesinambungan PPMM 2005 yang diadakan di Tanjung Piai, Johor. Pada program itu, tumpuan diberikan kepada idealisme penulis muda dan kali ini menjurus kepada perjuangan penulis muda dalam menentukan arah dan mendepani cabaran. Dengan pergolakan politik dan sosial dalam negara dan juga di peringkat global, semua ini memberi tempias kepada penulis-penulis muda untuk mendepaninya.

Perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu menjadi teras dalam perhimpunan kali ini dan saya mahu menegaskan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bukan hanya bahasa untuk orang Melayu. Kalau runtuh bahasa Melayu, saya tidak fikir sastera Melayu akan terus kukuh kerana bahasa Melayu dan sastera Melayu itu sentiasa saling berkait."

Zanazanzaly:

"Saya menganggap perhimpunan lalu umpama laungan pemula menggesa semua ahli-ahli samudera bersegera memunggahkan segala muatan berharga ke dalam bahtera sastera negara.

Di musim lalu juga, warga bahtera digesa agar mempertajam iltizam, membulat nekad dan bersedia untuk sangga menyangga meredah gelora segara dengan bahtera pusaka yang sudah dibina kukuh sejak zaman Kajai, Sako dan yang seabad dengannya.

Semakin diperhebat dek generasi Anwar Ridhwan membawa ke era S.M. Zakir hingga sekarang. Pertemuan kali ini pula petanda bahtera yang sarat kian mantap diperkuat dengan ilmu, sifat muafakat dan semangat ahli-ahli samudera yang sudah bersedia untuk belayar di perairan antarabangsa menuju ke timur mahu pun ke barat tanpa sesat."

Ummu Hani Abu Hassan:

"Kalau penulis era Asas 50 menggerakkan perjuangan menuntut kemerdekaan menerusi wadah sastera, penulis generasi muda masa kini memikul perjuangan yang tidak kurang beratnya. Saya fikir penulis hari ini mendepani cabaran globalisasi yang sangat hebat, sekiranya tanpa penulis yang mempunyai teras perjuangan yang jelas sudah pasti mereka akan hilang arah.

Seperti saya sendiri yang memilih wadah sastera untuk menyampaikan dakwah, saya akan menggunakan pengaruh kesusasteraan untuk menimbulkan kesedaran tentang cabaran hebat di luar sana terhadap Islam akibat gelombang globalisasi yang sangat ganas. PPMM 2009 bagi saya sangat penting untuk meninjau pemikiran penulis muda sekaligus mengambil tindakan ke atas resolusi dari perhimpunan ini."

Nasriah Abdul Salam:

"Saya tidak ada pengalaman mengikuti PPMM kerana ini baru kali kedua penglibatan saya. Kali pertama tahun 2005 dan saya fikir satu tindakan proaktif harus dilakukan kerana banyak resolusi yang dibuat di Tanjung Piai dulu belum diambil tindakan sehingga kini. Bagi saya untuk membangunkan idealisme penulis muda, kekangan harus terlebih dulu dihapuskan. Misalnya kekangan dari segi undang-undang yang menyekat perkembangan dan kebebasan berkarya yang menyentuh isu-isu yang ditafsirkan sebagai "sensitif" oleh pihak tertentu. Kalau isu itu tidak boleh, isu ini juga tidak boleh, adakah kami penulis muda hanya layak menjadi pengikut bukan pencetus? Ada penerbit yang takut menerbitkan buku tentang sesuatu isu kerana bimbang permit ditarik, inilah kekangan yang saya maksudkan."

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN