VERSI : Mobile | Akhbar Digital
3 September 2014 / 8 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
FEMININ

ARKIB : 06/05/2009

Si cantik di litar lumba


Empat anak gadis yang menggelar diri mereka Red Bull Rookies bakal menggegar litar Sepang pada Jun ini.


Cantik, manja, lemah-lembut dan pandai bergaya. Itu yang boleh diperkatakan mengenai Puteri Ayu Jasmin Abdul Hamid, Leona Chin Lyweoi, Nur Hayati Omar dan Diana Chin tatkala pertama kali bertemu dengan mereka.

Pertemuan yang diatur di sebuah restoran di pusat beli-belah Sunway Pyramid baru-baru ini, memberikan pengertian yang amat berbeza mengenai keempat-empat gadis manis itu.

Dilihat daripada luaran, siapa yang akan menyangka bahawa mereka sebenarnya adalah pelumba kereta Red Bull Rookies. Malah mereka terpilih daripada seramai 2,500 orang pemohon yang ingin mencuba nasib.

Pencarian pemandu wanita Red Bull dimulakan atas inisiatif kerana kekurangan pemandu wanita yang mempunyai skil dan ingin menjadi pemandu kereta lumba.

Pemandu wanita yang berbakat diberikan latihan dan ditaja oleh Red Bull sehingga bersedia dan layak untuk berlumba di Litar Antarabangsa F1 Sepang dalam perlumbaan sejauh 1,000 kilometer.

Kenvin Low, jurulatih yang berpengalaman bertahun-tahun telah dipilih mengetuai dan melatih empat gadis ‘Red Bull Rookies’.

Kenvin berkata, program ini juga melibatkan beberapa aspek yang diperlukan dalam pemanduan kereta lumba seperti latihan fizikal, bahasa dan kebudayaan, skil berhadapan dengan pihak media dan sebagainya.

‘‘Pencarian pemandu wanita Red Bull ini adalah usaha sama di antara Red Bull dan Asia Advanced Driving Academy (AADA).

‘‘AADA menyediakan latihan untuk pemandu dan pembangunan pemandu serta menganjurkan acara pemotoran korporat, kempen keselamatan jalan raya, pelancaran kereta baru, lakonan lagak ngeri dan pengiklanan,’’ kata Kenvin.

Dalam perlumbaan sejauh 1,000 kilometer (km)) itu, Puteri Ayu Jasmin, Leona, Nur Hayati dan Diana akan memandu kereta Honda Integra DC 2 dalam perlumbaan Sepang 1,000KM yang dianjurkan oleh Sepang International Circuit pada 6 Jun depan.

Kereta kuning keemasan satu tempat duduk ini telah diubah suai bagi perlumbaan. Oleh kerana enjin dan peralatannya yang amat berbeza dengan kereta biasa, kereta ini langsung tidak boleh berada di jalan raya biasa.

Keempat-empat gadis manis ini akan memandu secara bergilir-gilir tanpa henti selama lebih kurang sembilan jam. Jika berhenti untuk menukar pemandu pun, ia dilakukan dalam masa yang cukup pantas dan mengambil masa tidak lebih seminit.

Kata Kenvin, Puteri Ayu Jasmin dan Leona Chin hanyalah seorang pengurus acara dan pelajar ketika mereka mengambil bahagian dalam pencarian pemandu wanita Red Bull 2008.

Hari ini, mereka berdua adalah pelumba profesional dengan pencapaian luar biasa di arena sukan lumba bertaraf antarabangsa.

‘‘Sebagai ahli pelumba wanita Red Bull Rookies, mereka telah membuat kemunculan pertama dalam perlumbaan Merdeka Millenium Endurance Race 2008.

‘‘Komuniti pelumba serta masyarakat telah dikejutkan dengan prestasi mereka dalam perlumbaan tersebut ketika salah seorang daripada mereka mencatat masa terpantas di sesi kelayakan dan sekali gus menempatkan mereka di tangga kedua.

‘‘Meskipun menjadi satu-satunya pasukan semua wanita, pasukan Red Bull Rookies menamatkan perlumbaan selama 12 jam itu di tangga keenam daripada sejumlah 19 buah pasukan yang bertanding dalam kategori kelas B,’’ kata Kenvin.

Kini dalam masa yang singkat sementara menunggu tarikh perlumbaan, kesemua anggota Red Bull Rookies perlu berlatih bagi mempastikan yang mereka bukan sahaja dapat memandu dengan baik, malah perlu bekerjasama untuk mempastikan yang kereta perlumbaan tersebut dijaga dengan rapi untuk tempoh sembilan jam perlumbaan itu.

Tambahnya, perlumbaan bertaraf antarabangsa ini akan turut disaksikan oleh peminat sukan lumba kereta luar negara. Perlumbaan ini merupakan yang kedua bagi Puteri dan Leona dan pertama bagi Nur Hayati dan Diana.

Puteri Ayu Jasmin Abdul Hamid, 26.

Pengurus Akaun Compulsory Events & Exhibitions Sdn. Bhd., ini merupakan pemandu senior Red Bulls yang telah terpilih tahun lalu.

Kata Puteri atau nama singkatannya, Put, minat dalam perlumbaan kereta telah wujud dalam dirinya sejak kecil lagi bagaimanapun ia tinggal sekadar minat sehinggalah diberi peluang oleh Red Bulls.

‘‘Apa pun selepas memperoleh lesen memandu, minat kepada pemanduan semakin bertambah dan berasa seronok pula serta ingin mencuba sesuatu yang baru,’’ kata Puteri yang memiliki kereta Proton Gen2 1.6.

Menurut pemegang Ijazah Sistem Informasi Perniagaan dari Universiti Teknologi Petronas ini, memandangkan sukan lumba kereta dikategorikan sukan mahal dan memerlukan belanja besar, dia perlu berfikir banyak kali sebelum menyertai secara serius.

‘‘Jadi apabila terpilih sebagai pelumba Red Bull Rookies, saya agak terharu kerana tidak ramai yang mendapat peluang keemasan ini. Hendak keluar duit sendiri, sudah tentu saya tidak mampu,’’ kata anak tunggal perempuan daripada empat beradik ini.

Sambungnya, Malaysia tidak mempunyai ramai pelumba kereta wanita yang benar-benar berbakat dan bertauliah. Usaha Red Bull mencari pelumba kereta wanita adalah usaha yang tepat bagi menambah bilangan pelumba kereta wanita di negara ini.

Gadis peminat Lewis Hamilton dan Danica Patrick ini berkata, bagi memantapkan pemanduan, setiap minggu dia menjalani latihan pemanduan litar dan pemanduan defensif oleh AADA di bawah seliaan jurulatih Kenvin Low di Sepang dan Shah Alam.

Katanya, pada mulanya memang terasa risau juga tetapi apabila telah biasa, dia dapat mengatasi segalanya dengan baik.

Puteri Ayu Jasmin yang memenangi tempat keenam dalam Merdeka Millenium Endurance Race 2008 ini berangan-angan untuk memiliki kereta idamannya, Subaru Impreza WRX STI (versi 10).

Leona Chin Lyweoi, 23.

Leona yang berasal dari Kuala Lumpur ini mengumpul banyak pengalaman selama tiga tahun melibatkan diri dengan sukan lumba kereta.

Pelbagai perlumbaan disertainya termasuk Xtuned Drift, Shah Alam Drift Attack, Pekan Fest Street Shoot-Out Drift Challenge, Bukit Jalil Drift Attack, Malaysian Drift Challenge 2007, Japan GT Street Shoot-out Drift Challenge dan Merdeka Millenium Endurance.

Kata Leona, sejak di bangku sekolah menengah lagi dia sudah bergaul dengan kawan-kawan yang terlibat dengan sukan lumba kereta.

‘‘Sukan ini memang menyeronokkan. Malah ketika pertama kali menyertai sukan lumba kereta Red Bulls ini, saya masih menuntut di Kolej Damansara Utama dan kini setelah tamat pengajian, saya masih meneruskan minat ini dan akan terus dengan sukan ini walaupun setelah berkahwin,’’ kata Leona yang berkelulusan Ijazah Pengurusan Perniagaan.

Berasal dari Kuala Lumpur, Leona yang bertugas sebagai Pengurus Acara di AADA ini menjadikan Keichi Tsuchiya dan Tengku Djan sebagai idolanya.

Nur Hayati Omar, 24.

Bakal peguam yang berasal dari Johor Bahru ini mendapat sepenuh sokongan daripada keluarga bagi menyertai kumpulan Red Bull Rookies ini.

‘‘Ibu dan bapa tidak membantah langsung, manakala abang dan adik lelaki menyokong dan menggalakkan saya menyertai sukan ini,’’ kata pelajar tahun akhir jurusan undang-undang di sebuah universiti tempatan.

Bercerita mengenai penglibatannya, kata Nur Hayati, melihat iklan Red Bull yang mempelawa wanita yang berminat dengan sukan lumba kereta, dia tertarik untuk menyertainya.

Keinginan semakin membara apabila namanya disenarai pendek dan terpilih mengikuti kursus yang disediakan.

‘‘Memandu laju dan berlumba kereta menjadi minat saya. Pencarian Pemandu Wanita Red Bull menambah minat dan memperbaiki kebolehan pemanduan dan mengajar saya memandu dengan baik.

‘‘Saya akan berusaha sebaik mungkin dan bekerja sebagai satu kumpulan bersama Puteri dan Leona yang menjadi pemandu senior yang banyak menunjuk ajar.

‘‘Menjadi sebahagian daripada ahli kumpulan Red Bull Rookies merupakan kejayaan besar dalam hidup saya dan saya berbangga menunjukkan kepada masyarakat bahawa wanita boleh menjadi pelumba kereta profesional,’’ katanya.

Diana Chin, 22.

Menyertai Red Bull Rookies merupakan pengalaman pertama bagi Diana Chin yang bertugas sebagai koordinator majlis dengan Pembangunan Pelancongan Pulau Pinang.

‘‘Semasa kecil saya pernah berangan-angan untuk menjadi pelumba kereta dan kini ia menjadi kenyataan,” kata gadis berambut panjang ini.

Menurutnya, jika di Pulau Pinang, dia akan berlatih sendiri namun dia juga dimestikan menjalani kursus pemanduan dengan AADA di Kuala Lumpur.

Cuaca yang tidak menentu bukan menjadi masalah kepadanya kerana dia harus membiasakan diri baik dengan cuaca panas mahupun hujan.

‘‘Pencarian pemandu wanita Red Bull telah mengubah hidup saya dan menjadikan hidup saya lebih menarik. Dengan tidak secara langsung ia memperbaiki kebolehan memandu saya ke arah menjadi pemandu yang lebih profesional.

‘‘Menjadi sebahagian daripada ahli kumpulan Red Bull Rookies seolah-olah mimpi menjadi kenyataan dan saya akan mencuba sedaya-upaya melakukan sebaik mungkin,’’ kata Diana yang banyak mendapat tip pemanduan daripada pemandu senior.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:16
Asar 4:22
Maghrib 7:20
Isyak 8:29


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.