VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 September 2014 / 25 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
SABAH & SARAWAK

ARKIB : 05/05/2009

Keunikan tarian tradisional


TARIAN kebudayaan masyarakat Bidayuh dipersembahkan di Kampung Budaya di Santubong, Sarawak, baru-baru ini. - UTUSAN/ AMIR HAFIZ ABD RAHMAN


KUCHING 4 Mei - Tarian tradisional sememangnya memiliki keistimewaan tersendiri bermula daripada rentak, lenggok dan gaya si penari yang pasti membuatkan penonton memperoleh satu kepuasan yang sukar dimengertikan.

Bagaimanapun seni tari tradisional bukan sesuatu yang mudah untuk dipersembahkan kerana memerlukan seseorang itu menghayati sepenuhnya budaya nenek moyang ini di samping diiringi dengan minat dan keazaman mendalaminya secara serius.

Persoalannya, berapa ramai terutamanya generasi muda pada hari ini yang benar-benar mahu mempelajari atau meminati bidang seni tari tradisional ini?

Bukan mudah untuk menarik minat generasi muda sekarang yang telah banyak disogok dengan budaya negara luar serta moden untuk menceburi tarian tradisional di negara ini.

Bukan juga satu perkara yang susah untuk melahirkan generasi muda yang meneruskan warisan turun temurun bangsa jika ia disemai seawal usia yang kecil lagi.

Utusan Malaysia yang berkunjung ke Kampung Budaya Sarawak (SCV) hari ini telah berpeluang mendapatkan pandangan serta pengalaman beberapa artis mengenai penyertaan mereka dalam tarian tradisional ini.

Rata-rata artis-artis ini meminati bidang seni tari seumpama itu sejak kecil dan di bangku sekolah lagi sebelum dikembangkan mengikut peredaran masa.

Turut menjadi satu kebanggaan apabila artis itu berkemahiran dan berpengetahuan dalam seni tari tradisional bagi membolehkan mereka mempersembahkannya kepada para pelancong asing bahkan ke seantero dunia.

Suzana Gapor, 30, yang berkecimpung dalam bidang tarian tradisional sejak 1989 memberitahu, beliau telah mempelajari tarian tradisional kaum-kaum di negeri ini umpamanya tarian dari kaum Iban, Bidayuh, Melanau, Malayu, Orang Ulu di samping tarian-tarian moden.

Menurutnya, bidang tarian ini memerlukan minat yang mendalam untuk menyertainya malah beliau sendiri terbabit dengan bidang itu sejak di bangku sekolah lagi.

''Apa yang dibanggakan, melalui bidang ini kami dapat ke negara luar seperti Jepun, Korea, Australia dan persembahan kami mendapat sambutan daripada penonton di sana.

''Malah, terdapat pelajar Jepun yang melanjutkan pengajian di negara ini berminat mempelajari tarian tradisional negeri ini dan saya terlibat untuk mengajar mereka," katanya.

Meskipun seronok dapat mempersembahkan tarian tradisional ini, Suzana juga pernah mengalami pengalaman pahit sewaktu berada di atas pentas apabila salah satu jari kakinya patah dan terseliuh terkena batang buluh ketika menari tarian Melanau.

Dalam keadaan kesakitan menahan jari kaki patah dan seliuh di buku lali, Suzana tetap melemparkan senyuman dan menghabiskan tarian kerana tidak mahu penonton berasa kecewa jika persembahan tergendala.

''Memang berasa sakit yang teramat sangat tetapi kita tidak boleh menunjukkan rasa kesakitan itu ketika para penonton sedang seronok menikmati seni tarian yang dipersembahkan ketika itu," katanya.

Bagi Nur Hazzlan Shah Jamaluddin, 18, dia mula meminati dan menyertai seni tarian tradisional sejak di darjah dua dan kini menjadi artis di SCV.

Nur Hazzlan Shah yang mempunyai kemahiran asas tarian balet memberitahu, tarian memberinya satu kepuasan serta dapat menghilangkan tekanan dan paling penting adalah boleh menghindarkan dirinya daripada gejala sosial yang tidak menentu.

''Saya sememangnya meminati bidang tarian tradisional dan mahu melangkah lebih jauh untuk mencapai impian menjadi seorang koreografer tarian pada satu hari nanti.

''Bagi saya, tarian ini menuntut seseorang itu mempunyai kesabaran yang tinggi serta disiplin yang ketat terutamanya untuk mempelajari tarian balet," ujarnya yang mengakui, tarian sesuai diceburi oleh remaja lepasan sekolah kerana kesibukan menari sedikit sebanyak menghalang mereka dari membuang masa.

Constance Racha, 22, pula berkata, beliau banyak mempelajari tarian tradisional pelbagai kaum sejak menyertai kumpulan kebudayaan SCV dan berpeluang membuat persembahan di hadapan para pelancong asing.

Menurutnya, tarian tradisional mempunyai seni yang indah dan lemah gemalai menyebabkan beliau lebih suka melakukan tarian tersebut berbanding tarian berbentuk moden yang bukan sahaja sukar untuk dipersembahkan bahkan memerlukan seseorang itu agresif serta penuh bertenaga.

''Penari seharusnya berbangga apabila mempersembahkan tarian tradisional dengan kehalusan tarian lama yang penuh dengan keasyikan berbanding tarian moden yang memenatkan.

''Apa yang penting bagi seorang penari tradisional adalah pengetahuan asas sesebuah tarian itu kerana ia mampu mengelak diri daripada melakukan kesilapan di atas pentas meskipun terdapat tarian tradisional pelbagai kaum yang seakan-akan sama," katanya yang meminati tarian sejak di tadika lagi.

Begitu juga Augustine Lawrence, 27, yang meminati bidang tarian sejak di bangku tadika dan menyifatkan seni tari memberikannya peluang untuk mempelajari gerakan badan, bentuk tarian, menampilkan personaliti serta kredibiliti dan idea.

Katanya yang mampu membawakan tarian tradisional, moden serta kontemporari ini, tarian memberinya peluang menjelajah ke beberapa negara luar seperti Australia, Jerman, New Zealand, Jepun dan Korea.

Dalam pada itu beliau menyatakan, dia tidak pernah mempedulikan cakap-cakap belakang atau berkecil hati terhadap sebarang kata-kata yang dilemparkan kepada penari-penari lelaki yang selalu dianggap sebagai lelaki lembut.

''Bagi saya perkara seumpama tidak penting kerana apabila berada di atas pentas, anda perlu meletakkan komitmen yang tinggi dan sebagai penari lelaki, maka haruslah menonjolkan kelakian agar tarian lebih memberi kesan kepada penonton," katanya yang menambah, kehidupan di luar pentas adalah milik masing-masing.

Ditanya sampai bila beliau akan menari, sambil tersenyum Lawrence berkata, selagi kesihatannya mengizinkan dan selagi kemampuannya masih tidak pudar dia akan terus mengembangkan tarian tradisional agar terus diminati sehingga zaman berzaman.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:10
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:21



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.