VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 April 2014 / 20 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 03/05/2009

Sabah destinasi percutian

KALI pertama bercuti ke Sabah seperti berada di luar negara kerana suasana persekitaran yang cukup berbeza. Ini merupakan satu kenangan istimewa buat sesiapa sahaja yang pertama kali menyeberangi Laut China Selatan menuju ke tanah seberang.

Di Sabah, ada banyak tempat menarik yang mesti di kunjungi. Malah, di bandar Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah, saja banyak aktiviti menyeronokkan boleh dibuat, sama ada melawat lokasi menarik, makan-makan atau membeli-belah.

Sekiranya berada di Kota Kinabalu, pelancung boleh untuk singgah atau bermalam di Taman Kinabalu. Perjalanan ke Taman Kinabalu mengambil masa satu setengah jam dari bandar Kota Kinabalu. Cuaca di sini juga sejuk dan berkabus seperti Cameron Highlands. Soal penginapan tidak menjadi masalah kerana ada banyak rumah penginapan seperti bilik, hostel dan banglo yang disediakan.

Biasanya penginapan di hostel atau bilik disewa oleh pendaki yang ingin mendaki Gunung Kinabalu manakala bagi yang datang bersama keluarga, penginapan di banglo dua bilik amat sesuai.

Taman Kinabalu mempunyai pelbagai flora dan fauna di dunia yang meliputi kawasan seluas 754 kilometer persegi.

Keindahan dan keunikan Taman Kinabalu yang mempunyai pelbagai jenis habitat daripada tanah rendah sehingga ke habitat hutan hujan dan hutan gunung melayakkan UNESCO mewartakan tempat itu sebagai Taman Negara.

Apa yang menariknya, taman itu juga menjadi pusat pengkajian tumbuhan untuk Asia Tenggara yang sememangnya kaya dengan spesies flora dari Himalaya, China, Australia dan Malaysia. Selain itu ada pelbagai habitat burung dan hidupan lain yang biasa terdapat di Borneo. Ada juga pengkaji habitat dan jurugambar profesional dari serata dunia yang sanggup bermalam di taman itu.

Mendaki Gunung Kinabalu menjadi aktiviti yang harus dicuba. Tambahan pula semakin ramai yang ingin mendaki Gunung Kinabalu yang ketinggian 4,095 meter. Oleh itu pendaki haruslah membuat persediaan fizikal sebelum mendaki kerana ia menguji kekuatan tubuh dan fizikal selama dua hari.

Sepanjang pendakian, pendaki akan dibawa oleh juru pandu yang mahir dengan selok belok Gunung Kinabalu. Tidak perlu risau kerana mereka akan sentiasa memantau pergerakan pendaki dan membimbing untuk sampai ke puncak.

Pendaki juga tidak digalakkan pergi tanpa juru pandu, kerana pelbagai risiko terpaksa dihadapi, antaranya sesat dalam hutan.

Namun, untuk mendaki Gunung Kinabalu haruslah menempah pakej untuk mendaki Gunung Kinabalu. Pakej ini meliputi makanan dan tempat tinggal apabila sampai di rumah rehat Laban Rata, iaitu sebelum meneruskan perjalanan mendaki ke puncak Gunung Kinabalu.

Dalam era serba membangun, Sabah amat bertuah kerana masih mempunyai koleksi hutan simpan yang luas serta subur merimbun. Datanglah ke Lembah Danum dan habitat haiwan liar di Tabin untuk menikmati alam semulajadi. Terokailah dan rasai keindahan bumi Sabah yang unik hari ini.

Antara tempat menarik untuk dikunjungi adalah di Sandakan seperti Batu Tulug, Gua Gomantong, Ladang Teh Sabah, Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Sungai Kinabatangan dan Taman Buaya Sandakan.

Destinasi terbaik

Sabah adalah antara destinasi terbaik bagi mereka yang ingin merasai pengalaman kebudayaan yang unik dengan lebih mendalam. Dengan 33 kumpulan etnik yang berbeza-beza, mereka yang datang ke Sabah sememangnya akan teruja dengan tarian-tarian tradisi, pakaian tradisional yang berwarna-warni, serta juadah-juadah etnik yang menyelerakan.

Pecahan peratusan kumpulan etnik di negeri itu ialah Kadazan-Dusun iaitu 17.8 peratus, Bajau (13.4 peratus), Melayu (11.5 peratus), Murut (3.3 peratus), lain-lain Bumiputera seperti Rungus Suluk, Orang Sungai, Tidong (4.8 peratus) dan bukan warganegara (25 peratus).

Bagi pemain golf pula, jangan lepaskan peluang untuk menikmati keindahan dan kehijauan alam semulajadi Sabah sekaligus menjadikannya salah satu destinasi golf yang terkemuka.

Menurut Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Industri, Tourism Malaysia, Zulkifly Md. Said, golf akan dijadikan sebagai agenda utama bagi menggalakkan lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri itu.

"Kebanyakan pelancong luar negara yang bermain golf di negeri ini datang dari Korea secara berulang. Ini satu petunjuk bahawa bidang ini berpotensi untuk diperkembangkan lagi,'' katanya.

Beru-baru ini, negeri Di Bawah Bayu itu juga menerima kunjungan peserta Kejohanan Golf Amatur Berpasukan Dunia 2009 (WAITGC) edisi ke-16 yang terdiri daripada 112 pemain dalam 28 pasukan negara yang berbeza.

Padang-padang golf di Sabah juga yang terbaik di seluruh Asia seperti Shan-Shui Golf and Country Club, Tawau yang telah memenangi beberapa anugerah sejak dibuka pada tahun 1998.

Tempat-tempat menarik untuk aktiviti itu seperti Karambunai Resorts Golf Club, Sutera Harbour Resort, Dalit Golf Course di Kota Kinabalu, Kelab Borneo Golf & Country (Beaufort) dan Kelab Golf Kudat (Kudat).

Pelancong boleh nikmati pengalaman berada di Kampung Budaya Monsopiad yang terletak di Kota Kinabalu, Kampung Siasai (Kota Belud) dan Rumah Panjang Rungus Kampung Bavanggazo, Ladang Madu Lebah Kampung Gombizau dan Kilang Gong Kampung Sumangkap di Kudat.

Sebagai negeri yang kaya dengan herba-herba teraputik dan ubat-ubatan tradisional, Sabah menawarkan pelbagai pusat-pusat kesihatan alamiah dan spa-spa yang memberikan rawatan tradisional bagi pemeliharaan kecantikan. Lawatilah spa-spa tradisional dan belailah diri anda.

Antara tempat menarik untuk aktiviti itu adalah Pusat Santaian Tubuh dan Minda Jari Jari atau Taman Penyembuhan Tradisional Ka'andaman di Kota Kinabalu.

Jika ingin membeli sayur-sayuran dan buah-buahan segar dari ladang, Kundasang adalah tempat yang sesuai. Perjalanan ke Kundasang mengambil masa 10 minit dari Taman Kinabalu.

Sepanjang perjalanan, pelancong akan terpukau dengan pemandangan indah di kaki gunung, yang mana cuacanya masih lagi sejuk dan berkabus. Di tepi jalan di Kundasang ini ada banyak gerai yang menjual sayur-sayuran dan buahbuahan segar. Di sini juga ada tempat bersejarah yang boleh dilawati, iaitu Kundasang Memorial Park.

Tempat ini adalah untuk mengingati tentera Australia dan British yang terkorban semasa perjalanan dari Sandakan ke Ranau semasa Perang Dunia Kedua.

Memorial ini terbahagi kepada empat bahagian, dan setiap bahagian mempunyai keunikannya sendiri. Taman ini juga dihiasi dengan pelbagai spesies bunga dan jangan ketinggalan untuk merakamkan gambar untuk dijadikan kenangan dengan berlatar belakangkan gunung.

Setelah penat berjalan dan juga mendaki gunung, anda harus berkunjung ke pusat bandar raya Kota Kinabalu. Di sini terdapat banyak tempat menarik untuk dikunjungi.

Secara keseluruhan, bandarnya bersih, tersusun tetapi jalannya tetap sesak dengan kenderaan.

Antara tempat yang harus anda singgah ialah Pasar Filipina yang menjadi pusat sehenti menjual barang kraftangan dan juga cenderahati untuk dibawa pulang.

Antaranya rantai kunci, baju T, barangan hiasan rumah, magnet peti sejuk dan yang menjadi tarikan utama di sini adalah perhiasan diri yang diperbuat daripada mutiara Sabah.

Pelbagai barangan aksesori wanita yang diperbuat daripada mutiara seperti rantai, cincin, gelang tangan dan subang dijual di semua kedai.

Rambang mata untuk membuat pilihan. Terpulang kepada anda untuk memilih dan tawar menawar antara peniaga yang ada. Mungkin anda dapat harga yang terendah.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.