VERSI : Mobile | Akhbar Digital
21 April 2014 / 21 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
PELANCONGAN

ARKIB : 02/05/2009

Dipikat bayu senja di Koh Samui


Villa mewah di The Nora Beach Resort & Spa menampilkan suasana kehijauan dalam pantai yang amat selesa.


Kebosanan menatap skrin komputer serta pelbagai tugasan pejabat membuatkan saya terfikir untuk berehat bagi menenangkan fikiran dan bercuti ke sebuah pulau.

Pelawaan rakan universiti yang kini Eksekutif Perhubungan Media Firefly, Herman Mizar Azmi bagi membuat liputan penerbangan perdana Firefly serta meninjau keindahan Koh Samui, Thailand, baru-baru sukar untuk dilepaskan.

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Usai sahaja semua tugasan di pejabat, saya segera berkemas bagi bertugas sambil bercuti di Koh Samui yang dikatakan mempunyai keindahan pantai dan ratusan spa perkhidmatan urutan badan yang mengagumkan.

Setiba di Lapangan Terbang Subang, saya disambut dengan mesra oleh Ketua Komunikasi Firefly, Angelina Fernandez serta anak-anak kapal yang manis berbaju putih dan jingga.

Pesawat ATR72-500 yang mengambil masa perjalanan kira-kira dua jam itu sedikit pun tidak membosankan. Pelbagai cerita keindahan Koh Samui oleh Angelina yang mesra dipanggil Angie membuatkan hati saya begitu teruja untuk menerokai keindahan pulau ketiga terbesar di Thailand itu selepas Phuket dan Koh Chang.

Di Lapangan Terbang Samui, ketibaan delegasi media disambut mesra oleh wakil Lembaga Pelancongan Thailand dan penari-penari berpakaian tradisional lengkap dengan mempersembahkan tarian Sri-Nuan Sri-Nuan.

Kami dibawa mendaftar diri di Hotel Paradise yang terletak di Chaweng Beach. Seterusnya kami menikmati hidangan makan tengah hari yang cukup enak bahkan menjadi makin berselera ekoran keramahan seorang pelayan restoran, Salimah, gadis Pattani yang rancak berbahasa Melayu dalam loghat Kelantan.

Chaweng Beach

Memandangkan perjalanan yang amat singkat dan kesegaran udara pantai yang bertiup menyebabkan badan terasa segar, saya dan rakan media yang lain tidak melepaskan peluang memulakan langkah menerokai Koh Samui.

Chaweng Beach yang mempunyai jangkauan pantai tujuh kilometer ini merupakan lokasi popular di kalangan pelancong kerana selain menawarkan puluhan hotel mewah lima bintang hinggalah bilik semurah RM30 semalam.

Ia juga popular kerana terdapat banyak restoran yang menyediakan makanan laut yang segar selain kedai-kedai menjual kraftangan tempatan.

Anda hanya perlu berjalan kaki sahaja bagi melihat sendiri apa yang ditawarkan di sepanjang pantai ini atau menaiki teksi atau menyewa motosikal dengan harga yang amat berpatutan.

Jika di sebelah siangnya kerancakan Chaweng Beach lebih tertumpu dengan aktiviti peniaga tempatan berjual beli dengan pelancong, anda pasti sangat teruja menyaksikan persembahan ‘paper doll’ yang terdapat Chrity's Cabaret pada sebelah malam.

Pilih sahaja tempat duduk yang sesuai, pesan minuman anda dan nikmati persembahan tarian serta nyanyian daripada ‘jejaka jelita’ tempatan.

Persembahan seawal 8 malam itu dipenuhi dengan persembahan nyanyian dan tarian serta kostum yang berwarna-warni. Memang menghiburkan!

Lamai Beach

Selain Chaweng Beach, pelancong yang berkunjung ke Koh Samui pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati keindahan pantai Lamai yang terletak berhampiran.

Delegasi media Malaysia juga turut berkesempatan menyaksikan formasi batuan yang unik di Grandmother and Grandfather Rock.

Formasi batu itu dikatakan mempunyai kisah cinta yang tragik sepasang penduduk awal yang menerokai pulau tersebut. Jika dilihat dari sudut tertentu, formasi tersebut berbentuk seakan organ seks wanita dan lelaki menjadikannya antara tumpuan utama ramai pelancong.

Patung emas Big Buddha

Sebagaimana lazimnya pelancong yang berkunjung ke Koh Samui buat pertama kalinya, kami juga turut dibawa melawat Big Buddha Statue yang terletak di utara pulau tersebut.

Patung Buddha emas setinggi 12 meter di Wat Phra Yai ini juga salah satu lokasi yang sesuai untuk meninjau kawasan pulau berkenaan kerana kedudukannya yang tinggi di tepi pantai.

Bagi mereka yang beragama Buddha, kuil tersebut merupakan tempat yang sesuai bagi berdoa untuk kesejahteraan hidup serta mendapat kekayaan.

Spa dan Urut Refleksologi

Jika kepenatan dan badan terasa letih, apa kata anda mencuba urutan tradional yang banyak terdapat di pulau ini.

Saya dan beberapa rakan media yang lain turut berkesempatan mencuba urutan dan spa di Natural Wing Health Spa & Resort.

Pengurusnya, Amit Kumar begitu mesra melayan kami, sambil tidak putus-putus menerangkan kehebatan urutan yang ditawarkan di pusat tersebut amat terkenal di kalangan pelancong asing.

Berasal dari India, Amit Kumar yang telah bekerja hampir lima tahun di pusat tersebut amat menyukai pulau itu hinggakan merasa berat hati untuk meninggalkan Koh Samui walaupun ditawarkan bekerja dengan gaji yang lebih lumayan.

Penduduk Islam

Jika ke Koh Samui, pasti anda ingin menyaksikan sendiri kehidupan golongan minoriti Islam di perkampungan Baan Hua Thanom. Selain memiliki raut muka yang hampir sama dengan orang Melayu Malaysia, mereka juga berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu loghat Kelantan.

Cubalah menikmati makanan tempatan halal di restoran kepunyaan wanita Islam di kampung tersebut yang menyediakan menu unik yang amat menyelerakan.

Berhampiran kampung tersebut juga anda boleh melihat beruk memetik kelapa dan bagaimana tuan beruk tersebut mengajar anak-anak beruk berbuat demikian.

Sepanjang percutian tiga hari penulis ke Koh Samui, pengalaman indah melawat tempat-tempat menarik serta keramahan penduduknya memang sukar dilupakan.

Selain pantainya yang bersih, tanpa ragu-ragu lagi penulis berpendapat bahawa pulau ini merupakan destinasi percutian bulan madu yang paling sesuai bagi mereka yang sedang merancang untuk melangkah ke gerbang perkahwinan.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.