Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
RENCANA

ARKIB : 12/04/2009
Satu Malaysia versi sebenar

Satu Malaysia versi sebenar

Awang boleh faham gagasan Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan semasa ia diumumkan oleh Najib sebaik sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri.

Gagasan tersebut merangkumi elemen yang jelas bagi pembinaan negara dengan berpaksikan kepada perpaduan dan integrasi; kepentingan rakyat dan kecemerlangan bagi melonjakkan kemajuan negara.

Anehnya gagasan tersebut terutama aspek Satu Malaysia disalahertikan atau dimanipulasi mengikut selera politik.

Ada pemimpin pembangkang mendakwa ia menyamai konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP. Bagaimanapun dalam satu pertemuan dengan Najib baru-baru ini, Awang lega apabila mendengar sendiri daripada beliau bahawa Satu Malaysia tidak sama dan tiada kaitan dengan Malaysian Malaysia.

Beliau menjelaskan Satu Malaysia akan memastikan tiada golongan atau kaum yang terpinggir di negara ini tetapi pada masa yang sama tidak menolak dasar afirmatif. Yang penting kata Najib, kerajaan akan berlaku adil kepada semua kaum dalam usaha menggerakkan transformasi besar.

Awang harap versi sebenar Satu Malaysia ini difahami dengan jelas. Dasar afirmatif bagi membantu orang Melayu yang paling ramai miskin dan ketinggalan (berbanding kaum lain), akan diteruskan. Sememangnya ada keperluan untuk meneruskan dasar afirmatif atas realiti sejarah dan kontrak sosial sambil kerajaan memperhebatkan pencapaian dalam meningkatkan taraf hidup semua kaum.

Awang turut terganggu dengan diskusi Satu Malaysia yang turut mengheret kepada sejarah negara. Sudah ada desakan mahu sejarah termasuk subjek di sekolah ditulis semula dengan mengambil kira versi bukan Melayu.

Apakah sejarah mahu dipolitikkan dan wajarkah kita memadamkan sebahagian sejarah hanya untuk memenuhi tekanan kaum? Nampaknya sejarah negara mahu ditulis semula mengikut apa yang dimahukan dan bukannya berdasarkan fakta. Maka makin jelas bahawa bukan sahaja sisa kekuatan politik Melayu yang ada ini mahu dikuburkan malah sejarahnya juga mahu dinafikan. Awang termenung panjang.

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN