Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
HIBURAN

ARKIB : 12/04/2009
AESB mahu ubah persepsi

AESB mahu ubah persepsi


Drama Mertua vs Menantu dan Awan Dania (bawah) memperoleh jumlah tontonan tertinggi di saluran Astro Prima.


KETIKA ini mungkin perhatian kepada Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB) lebih terarah kepada untung nasib 37 artis Maestro Talent Management Sdn. Bhd. (Maestro) selepas penutupan syarikat tersebut 1 April lalu.

Namun penyerapan itu tidak menganggu perancangan yang telah diatur dalam usaha memenuhi kehendak pengguna sekali gus merealisasikan impian AESB untuk menjadi penyalur program Melayu yang berkualiti.

Bersandarkan kepada 10 saluran yang dimiliki AESB hari ini, ia dilihat menjadi medan terbaik buat Astro menarik lebih ramai lagi pelanggannya yang kini sudahpun berjumlah 2.6 juta.

Malah AESB mencatat peningkatan hampir dua kali ganda sejak dua tahun lalu dengan peningkatan jumlah penonton sebanyak 35 peratus berbanding 20 peratus sebelum ini.

Sementelah sejak kebelakangan ini peningkatan ketara berlaku terutama jumlah peratusan pelanggan bagi segmen Melayu membuktikan bahawa saluran di bawah payung AESB yang ditubuhkan Februari 2007 sudah mampu menarik perhatian khalayak.

Ini berikutan gerakan promosi dan pemasaran secara besar-besaran selain menitik beratkan kandungan bahan yang memenuhi kepelbagaian setiap saluran.

Malah sejak dua tahun lepas, mereka menyusun semula rangkaian saluran mengikut kriteria masing-masing dengan pengkhususan bagi menepati cita rasa kelompok penontonnya.

Bukan itu sahaja, dengan penjenamaan baru Astro Megadrama, empat saluran utama AESB iaitu Astro Ria, Astro Prima, Astro Oasis dan Astro Ceria kini bersatu menyediakan variasi program untuk tontonan ramai termasuk drama-drama tempatan pilihan.

Empat saluran berkenaan juga merupakan saluran yang paling mendapat sambutan dan sering ditonton dengan antara program utamanya adalah seperti Akademi Fantasia, Raja Lawak dan Sehati Berdansa dan beberapa drama siri popular.

Pengarah Eksekutif AESB, Zainir Aminullah berkata, pihaknya banyak membuat kaji selidik dan analisis untuk memberikan hanya yang terbaik kepada pelanggan mereka.

Tidak sahaja sebagai ganjaran malah bagi peningkatan kualiti program yang disajikan tidak kira sama ada rancangan realiti, drama mahupun berita.

"Dari situ kita lancarkan saluran khusus seperti Astro Ceria bagi kanak-kanak yang nyata memberi impak besar kepada kami dengan menyediakan kandungan tempatan yang popular dan mampu mengatasi jenama global," katanya yang ditemui baru-baru ini.

Selain itu, para penggemar berita boleh memilih Astro Awani yang menyediakan kandungan berita tempatan dan luar negara dengan pendekatan memberikan berita yang lebih terperinci dan mendalam menerusi diskusi, ulasan dan analisis.

Malah bagi memastikan saluran ini sejajar dengan keperluan komuniti, saluran itu turut mengubah suai dan memperbaharui pengisian dengan kandungan lebih segar dan lengkap dengan menawarkan lima program baru iaitu Awani Pagi, Agenda Awani, U-Wartawan, Economy dan In Person.

Saluran AESB kini meliputi Astro Ria, Astro Prima, Astro Awani, Astro Ceria, Astro Aruna, Astro Kirana, Astro Oasis, Astro Hitz.TV, Astro @15 dan Astro TVIQ.

Tegas Zainir, penambahan saluran berkenaan bukan sahaja memberikan lebih nilai dan pilihan kepada pelanggan setia mereka malah turut menyediakan faedah serta peluang untuk industri.

Ini termasuklah peningkatan 46 peratus jumlah pelaburan jam iaitu 900 jam pada tahun ini berbanding 256 jam pada tahun lepas dengan peningkatan jumlah penonton sasaran (Melayu) daripada 50 peratus kepada 60 peratus pada 2007-2008 dan angka ini dijangka bertambah pada tahun hadapan.

l Karya berkualiti

Tidak dinafikan program signature mereka seperti Akademi Fantasia (AF), Raja Lawak dan Sehati Berdansa memberikan impak besar kepada penonton.

Malah AF yang sudah masuk musim ketujuh terus memberikan kesan luar biasa kepada jumlah tontonan khalayak dengan rating tertinggi sebanyak sejuta tontonan dan mendominasi jumlah keseluruhan penonton bagi stesen kabel TV berkenaan.

Bagi AESB, pencapaian itu merupakan sesuatu yang sukar namun ia adalah satu kejayaan yang besar dan membanggakan. Dalam usaha menarik lebih banyak penonton, AESB juga menyediakan drama-drama berkualiti mengikut rangkaian saluran.

Misalnya drama yang disiarkan di Astro Ria lebih muda, ceria, segar dan ringan berbanding drama pilihan di Astro Prima misalnya yang lebih berorientasikan keluarga dengan isu-isu lebih berat.

Sementara program dan drama di Astro Oasis pula lebih menjurus kepada kerohanian manakala Astro Ceria memenuhi keperluan anak-anak.

Pendekatan ini memberikan lebih ruang dan peluang kepada para karyawan untuk berkarya dan menghasilkan program yang lebih bermutu.

"Oleh kerana kehendak saluran yang berbeza memberikan kesempatan kepada para pengkarya termasuk penerbit dan penulis skrip meluaskan karya bagi memenuhi segmen atau genre setiap saluran kita," ujar Zainir.

Malah drama-drama dalam kelompok penjenamaan Astro Megadrama seperti drama bersiri Mertua vs Menantu dan Awan Dania mula menarik perhatian ramai dengan jumlah tontonan masing-masing mencecah 800,000 dan 700,000 penonton.

Sedangkan sebelum kempen yang diperkenalkan Januari 2008, drama-drama yang disiarkan hanya ditonton sekitar 200,000 hingga 300,000 pada dua tahun lepas.

Menurut Zainir, jumlah itu merupakan satu kejayaan peribadi bagi rangkaian saluran berkenaan kerana mampu bersaing dengan drama-drama stesen televisyen lebih popular dan mempunyai penonton setia.

"Kami komited dalam memberikan hiburan terbaik kepada pelanggan dan menjadikan Astro sebagai destinasi utama drama tempatan terbaik.

"Justeru kami harus sentiasa memastikan daya tarikan untuk penonton dengan meningkatkan kualiti dalam karya dan mengubah persepsi penonton bahawa drama di saluran kami juga adalah drama yang terbaik menerusi kempen Astro Megadrama," jelasnya lagi.

Zainir juga tidak menafikan nama-nama besar dalam industri seni seperti Erra Fazira, Aaron Aziz serta Lisa Surihani dan Farid Kamil yang bertindak sebagai artis eksklusif Astro Megadrama turut membantu meningkatkan kesedaran penonton terhadap drama-drama AESB.

Menurut Zainir, pihaknya membuat pelaburan besar dalam usaha mencapai kuantiti dan kualiti yang diharapkan menerusi penyiaran program dan drama selain promosi dan pemasaran.

Ia sebagai usaha untuk menyedarkan pelanggan bahawa pihaknya sentiasa menyajikan kandungan yang bermutu dan menarik minat mereka.

"Dengan kualiti yang kita ada, kita juga berjaya menembusi pasaran luar selaku pembekal isi kandungan di peringkat Asean.

"Sebagai contoh Aruna dan Ria kini boleh diikuti oleh masyarakat Melayu di Singapura menerusi Mio TV milik Singtel.

"Kami juga telah mula membekalkan drama-drama dari China, Taiwan dan Indonesia serta filem dari Asia Barat ke Vietnam menerusi saluran Astro Cam Xuc," tambahnya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN