Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
HIBURAN

ARKIB : 06/04/2009
Transformasi RTM digital perlu perubahan total

Transformasi RTM digital perlu perubahan total


IBRAHIM Yahaya (kanan) bersama orang kuat RTM bersemangat untuk membawa stesen itu ke arah lebih dinamik dan berjaya.


PENDIGITALAN stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bakal bermula pada 2012 nanti sememangnya membuka ruang kepada RTM untuk melakukan perubahan.

Bukan sahaja berubah daripada segi apa yang akan 'dipersembahkan' di kaca televisyen kepada penonton tetapi ia menuntut perubahan yang menyeluruh termasuk budaya kerja dan minda kakitangannya.

Tolak ketepi soal perubahan peralatan untuk proses pendigitalan, mengubah 'orang dalam' RTM sendiri perlu dilakukan awal kerana tempoh menunggu detik 2012 bukanlah terlalu lama.

Cuma tinggal beberapa tahun sahaja lagi, RTM memerlukan sentuhan kreatif daripada sumber tenaganya bagi membolehkan stesen itu berdaya saing dengan stesen televisyen swasta lain.

Sudah 63 tahun bertapak selaku penyalur maklumat dan bahan hiburan, RTM sebenarnya punyai kekuatan tersendiri tetapi ada kalanya gagal digunakan semaksima mungkin.

Perkara itu diakui Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya yang jelas mahu RTM melihat bagaimana British Broadcasting Corporation (BBC) melalui proses transformasi sehingga menjadi agensi disegani.

"Kita (RTM) juga perlu melihat bagaimana stesen-stesen swasta tempatan lain yang jauh lebih muda berbanding RTM telah berada di kedudukan hadapan.

"Walaupun kedudukan RTM tidaklah jauh ketinggalan berbanding stesen terbabit, namun, kita perlu kerja lebih kuat.

"Proses perubahan tidak hanya membabitkan kata-kata sahaja tetapi minda serta budaya kerja," katanya ketika ditemui pada majlis taklimat Transformasi RTM Era Digital di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tahun 2012 adalah sasaran RTM melaksanakan siaran berdigital sepenuhnya.

Ia sebagai persiapan awal sebelum memasuki 2015 iaitu tahun yang penting kerana seluruh negara ASEAN akan menghentikan penyiaran melalui sistem analog.

Persiapan ke arah pendigitalan bukan hanya melibatkan Malaysia, Laos dan Kemboja, malah Myanmar pun telah mula berbuat demikian.

Sebagai percubaan mengharungi era digital, RTM baru-baru ini memulakan langkah dengan memperkenalkan saluran baru yang dikenali sebagai Muzik Aktif di saluran Astro 180.

Menyambung bicara, Ibrahim berkata, usaha-usaha ke arah pendigitalan amat memerlukan warga RTM bergerak dari sekarang dan tidak menunggu 2012 untuk memulakan segalanya.

"Kalau buat lambat, tahun 2012 nanti pasti produk kita akan dilihat seperti tangkap muat sahaja.

"Dari sekarang juga, kita perlu menguatkan promosi terutama mempromosikan Muzik Aktif yang telah bersiaran di Astro," jelasnya.

Menurutnya, memperkuatkan promosi adalah penting agar penonton mendapat maklumat jelas mengenai apa sahaja yang dilakukan RTM.

"Oleh sebab itu, berulang kali saya katakan bahawa kita perlu bekerja keras.

"Mentaliti penonton untuk memilih RTM sebagai stesen pilihan hanya akan dapat dikecapi apabila mentaliti orang dalam RTM diubah terlebih dahulu,'' katanya.

Ujarnya, warga RTM sebenarnya mampu menghasilkan produk berdaya saing dan ia dapat dilihat dengan penerbitan Muzik Aktif.

"Buktinya, dalam tempoh sebulan, Muzik Aktif dapat dihasilkan dan disiar di Astro seperti mana yang dikehendaki oleh Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

"Jika ini kita dapat hasilkan, pasti RTM tidak punyai masalah untuk menuju 2012 nanti,'' tegasnya.

Ditanya soal peralatan bagi membolehkan RTM menuju proses pendigitalan, Ibrahim menjelaskan bahawa ia bergantung sepenuhnya kepada kerajaan.

"Kita masih menunggu bajet daripada kerajaan. Tetapi, apa yang ingin saya katakan adalah RTM tidak boleh menunggu lama,'' tambahnya.

Projek perintis pendigitalan RTM telah bermula pada 2005 dan tamat sekitar 2007.

Dalam tempoh itu, 1,000 responden terpilih untuk diuji dan mereka memberi maklum balas positif terhadap usaha RTM tersebut.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN