VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 Ogos 2014 / 27 Syawal 1435  
  Carian Arkib
KESIHATAN

ARKIB : 05/04/2009

Pemakanan sihat awal usia




JIKA anda telah mengikuti tiga rencana terakhir dalam siri ini, anda sudah tahu tentang kebaikan pemakanan sihat pada peringkat tumbesaran awal anak-anak kita.

Adalah penting untuk anda memahami tentang nutrien, amalan

pemberian makanan yang betul dan Panduan Piramid Makanan! Walaupun ada ramai ibu bapa di seluruh negara seperti anda yang memberikan makanan yang sesuai dan berkhasiat kepada anak tersayang, masih ada sesetengah ibu bapa yang tidak tahu tentang status pemakanan anak mereka. Ada juga yang tidak mempunyai pengetahuan sewajarnya untuk memberikan makanan yang sesuai kepada anak. Semua ibu bapa harus sedar bahawa pemakanan tidak sihat akan mengganggu proses tumbesaran dan perkembangan fizikal dan mental anak mereka.

Terbantut, lebih atau kurang

Laporan Kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan III yang dijalankan di seluruh Malaysia pada 2006 terhadap kanak-kanak dan remaja berusia sehingga 18 tahun telah menunjukkan maklumat terperinci tentang status pemakanan mereka.

Sebahagian besar kanak-kanak di Malaysia didapati mengalami masalah kekurangan berat badan, terbantut atau berlebihan berat badan secara signifikan. Walaupun masalah ini tidak terlalu membimbangkan, tetapi ia tetap perlu diberi perhatian, khususnya bagi kanak-kanak dalam peringkat umur sedang membesar (kategori umur dari satu hingga enam tahun). Kekurangan berat badan merujuk kepada peningkatan berat badan (mengikut umur) yang tidak memuaskan.

Masalah ini timbul akibat pengambilan nutrien yang tidak mencukupi dalam keadaan semasa atau jangka masa pendek. Kajian berkenaan mendapati 13.2 peratus daripada kanak-kanak yang dikaji mengalami kekurangan berat badan. Lebih ramai kanak-kanak di luar bandar didapati kekurangan berat badan (16 peratus) berbanding dengan kanak-kanak di bandar (11.4 peratus). Data kajian daripada analisis lanjutan menunjukkan bahawa kategori umur kanak-kanak paling kecil yang dikaji (satu hingga tiga tahun) mempunyai peratusan tertinggi kekurangan berat badan (19.8 peratus), diikuti kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun (16.4 peratus).

Selain itu, tumbesaran terbantut juga berlaku akibat kekurangan pengambilan nutrien. Kanak-kanak terbantut mempunyai ketinggian tidak mencukupi mengikut umur mereka. Dalam kajian meliputi seluruh negara, 15.5 peratus masalah terbantut berlaku di kalangan kanak-kanak dan remaja (dari lahir ke 18 tahun). Sekali lagi, lebih ramai kanak-kanak dan remaja di luar bandar yang terbantut (19.4 peratus) berbanding dengan kanak-kanak di bandar (13.6 peratus). Kanak-kanak dalam kategori umur satu hingga tiga tahun didapati mempunyai peratusan kedua tertinggi (17.2 peratus) dengan masalah ini, sementara mereka yang berumur empat hingga enam tahun ketiga tertinggi (16.7 peratus).

Kanak-kanak Malaysia juga didapati mengalami masalah berat badan berlebihan tetapi peratusannya adalah lebih rendah berbanding masalah kekurangan berat badan dan terbantut. Berat badan berlebihan berlaku akibat pengambilan tenaga (nutrien) berlebihan. Di kalangan kanak-kanak yang dikaji, sebanyak 5.4 peratus mempunyai berat badan berlebihan. Seperti yang dijangka, lebih ramai kanak-kanak di kawasan bandar (6.3 peratus) mempunyai berat badan berlebihan berbanding kanak-kanak di kawasan luar bandar (4.0 peratus). Di kalangan kanak-kanak prasekolah, kanak-kanak berumur antara empat hingga enam tahun adalah kedua tertinggi dalam masalah ini (6.4 peratus) dan kanak-kanak kecil berumur satu hingga tiga tahun mempunyai peratus berat badan berlebihan paling rendah (3.2 peratus).

Kesan serius masalah pemakanan

Pengambilan pemakanan yang kurang atau berlebihan boleh membawa kesan serius terhadap tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak. Masalah Ini mungkin merangkumi nutrien utama seperti protein, karbohidrat, lemak, termasuk juga vitamin dan mineral. Tanpa mengira sama ada kanak-kanak kekurangan atau berlebihan berat badan, mahupun mempunyai berat badan normal, mereka masih boleh mengalami masalah kekurangan mikronutrien seperti zat besi, kalsium, iodin.

- Kekurangan pemakanan

Amalan pemberian makanan yang kurang sihat akan menyebabkan kanak-kanak mengalami kekurangan berat badan atau terbantut serta boleh menjejaskan perkembangan kognitif. Sering kali, kanak-kanak ini juga akan mengalami kekurangan pelbagai vitamin dan mineral, yang paling umum adalah zat besi, iodin dan Vitamin A. Kanak-kanak yang kurang berat badan lebih kerap jatuh sakit kerana mempunyai daya tahan lebih rendah terhadap jangkitan.

- Pemakanan berlebihan

Masalah pemakanan berlebihan timbul apabila kanak-kanak mengambil terlalu banyak makanan, khususnya yang tinggi kalori, dan kurang bersenam. Seorang kanak yang mempunyai berat badan berlebihan berkemungkinan akan menjadi remaja atau dewasa dengan berat badan berlebihan mahupun obes kelak. Kita semua tahu bahawa berat badan berlebihan merupakan satu faktor risiko penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, diabetes dan kanser. Berat badan berlebihan atau obesiti juga boleh mengakibatkan kanak-kanak mempunyai tanggapan imej yang negatif terhadap fizikal badan dan kurang keyakinan diri. Pengambilan nutrien berlebihan juga boleh menjejaskan kesihatan akibat pengambilan mikronutrien seperti vitamin larut lemak (A,D, E dan K) secara berlebihan, tanpa mendapatkan nasihat profesional yang betul. Mikronutrien seperti vitamin boleh berkumpul di dalam tisu lemak dan akan menyebabkan ketoksikan.

Pilihan tepat

Petua membina asas kukuh demi kesejahteraan kanak-kanak, kini dan sepanjang hayatnya, adalah memberikan pemakanan yang baik dan memupuk tabiat makan secara sihat sejak kecil. Pemakanan baik tidak bermakna menyuap mereka dengan makanan terbaik yang boleh dibeli dengan wang ringgit. Perkara paling penting ialah membuat pilihan pemakanan yang tepat. Anda boleh melakukannya dengan mengamalkan prinsip pemakanan seperti:

1) Kepelbagaian - Sediakan makanan harian daripada setiap kumpulan makanan berasaskan Panduan Piramid Makanan. Ini membolehkan anak anda mencuba bermacam jenis makanan berbeza dan mendapatkan nutrien penting yang membantu mereka membesar dan berkembang secara optimum.

2) Keseimbangan - Amalkan makanan seimbang yang mengandungi kombinasi karbohidrat (nasi, mi dan roti), buah-buahan dan sayur-sayuran, makanan kaya dengan protein (ikan dan ayam) serta susu dan produk tenusu. Kurangkan garam, lemak dan gula.

3) Kesederhanaan - Pemakanan kurang atau berlebihan boleh menyebabkan masalah kesihatan. Maka, ajar anak anda makan secara sederhana sejak kecil lagi. Apabila mereka semakin membesar, pengambilan makanan mereka juga akan bertambah. Oleh itu, anda perlu memastikan mereka makan mengikut waktu, elakkan melangkaui waktu makan dan elak daripada tabiat makan secara berlebihan.

Sebagai ibu bapa yang penyayang, anda perlu cuba sedaya-upaya menjaga kesihatan dan kesejahteraan anak semasa mereka membesar dengan mengamalkan pemakanan yang baik. Anak anda mempunyai hak asas untuk pemakanan yang sihat untuk mengoptimumkan tumbesaran, perkembangan dan mengekalkan kesihatan. Justeru, pastikan anda terus mencurahkan kasih sayang dengan memberikan pemakanan sewajarnya kepada anak, supaya mereka dapat membesar dengan sihat, kini dan sehingga dewasa.

Untuk mendapatkan bahan pendidikan tentang panduan pemakanan kanak-kanak dan mengetahui aktiviti lain yang dianjurkan oleh program Bulan Pemakanan Sihat Malaysia 2009, layarilah laman web www.nutriweb.org.my atau datang beramai-ramai ke karnival kami di Mid Valley Exhibition Centre pada 4 & 5 April 2009 untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan untuk seisi keluarga, mulai jam 10 pagi!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:19
Asar 4:32
Maghrib 7:24
Isyak 8:35

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.