|
KUALA LUMPUR 28 Mac — Tindakan meminda perlembagaan parti bagi memastikan proses pemilihan jawatan tertinggi Umno diadakan serentak di semua 191 bahagiannya akan menjadikan Umno lebih demokratik, kata Timbalan Presiden Umno yang baru dilantik Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata cadangan untuk meminda perlembagaan yang mendapat sokongan daripada para perwakilan pada perhimpunan agung Umno hari ini, merupakan langkah bijak dan mampu menyelesaikan banyak masalah di dalam Umno.
“Lebih ramai anggota di peringkat bahagian berhak membuat pemilihan tentang siapa yang layak memimpin parti. Dengan langkah itu (meminda perlembagaan), ia akan memulihkan imej dan mengerakkan parti ke depan,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Agung Umno 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak yang mencadangan supaya perlembagaan parti dipinda bagi membolehkan lebih ramai anggotanya terlibat di dalam proses pemilihan pemimpin tertingginya.
Beliau berkata cadangan itu akan membolehkan pemilihan pemimpin tertinggi parti diadakan serentak di peringkat bahagian seluruh negara tanpa dihalang oleh kuota pencalonan.
“Mungkin tidak akan ada lagi pencalonan, hanya pendaftaran calon-calon sahaja,” katanya mengenai pelaksanaan cadangan tersebut.
Beliau juga berkata, jika cadangan pindaan perlembagaan itu diterima kelak, Perhimpunan Agung Umno di PWTC selepas ini berkemungkinan hanya menyaksikan sesi perbahasan dan pembentangan usul.
“Pemilihan peringkat tertinggi parti selepas ini berkemungkinan tidak lagi diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra lagi jika cadangan pindaan itu diterima, kata Muhyiddin.
Katanya perhimpunan agung khas untuk meminda perlembagaan parti itu mungkin akan diadakan semasa berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno 2009 akhir tahun ini.
Sementara itu Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut mengalu-alukan cadangan Presiden Umno yang ingin mengkaji semula sistem kuota dalam pemilihan parti itu.
“Ia satu cadangan yang positif, membolehkan pemilihan berlangsung sebagaimana kehendak akar umbi. Adalah lebih baik kuota kelayakan bertanding jawatan dikurangkan misalnya 10 pencalonan untuk jawatan Presiden, lima bagi Timbalan Presiden manakala Naib Presiden dan Majlis Tertinggi masing-masing dua,” katanya.
— BERNAMA
IKLAN@UTUSAN
|