Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
RENCANA

ARKIB : 21/03/2009
Tidak perlu cadangan bermotif ganggu peralihan kuasa

Tidak perlu cadangan bermotif ganggu peralihan kuasa

SEMUA orang sudah tahu hujung Mac ini akan berlaku peralihan kuasa pentadbiran negara antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sejak Abdullah mengumumkan pelan peralihan ini pada tahun lalu, tidak ada siapa mempertikaikan.

Ia disambut baik sebagai tanda kematangan dalam Barisan Nasional (BN) dan UMNO terutamanya. Selaku timbalan, Najib merupakan orang yang paling layak untuk menyandang jawatan itu.

Perkara yang sama juga berlaku pada Oktober 2003 apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad menamakan Abdullah sebagai penggantinya untuk memastikan proses peralihan kepimpinan berjalan lancar.

Tidak ada cabar-mencabar atau bantah membantah. Semua pemimpin dalam komponen BN dan UMNO menerimanya dengan terbuka. Tambahan pula Abdullah awal-awal lagi berpendirian tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO. Ia bagi memberi laluan kepada Najib yang menang tanpa bertanding.

Ketika proses peralihan kuasa ini kelihatan berjalan lancar tanpa apa-apa gangguan tiba-tiba kedengaran suara yang meminta Najib tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.

Cadangan supaya Yang di-Pertuan Agong tidak melantik Najib sebagai Perdana Menteri datang daripada bekas anggota Kabinet BN, Datuk Zaid Ibrahim.

Apa motif bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu yang tiba-tiba tampil dengan idea tersebut tiada siapa tahu.

Namun, yang pasti ia dilihat sebagai cubaan untuk mengganggu proses peralihan kuasa yang kini semakin hampir sampai ke kemuncaknya.

Memang Zaid sebagai individu berhak memberi pandangan dan berkata-kata. Tetapi ibarat kata pepatah kalau cakap siang kena pandang-pandang dan cakap malam kena dengar-dengar.

Bukan individu yang bakal menentukan siapa yang bakal jadi Perdana Menteri.

Ini merupakan perkara yang perlu diputuskan oleh parti yang telah diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah negara.

Biarpun BN menerima sedikit kejutan pada Pilihan Raya Umum Ke-12, namun parti itu masih mendapat mandat yang besar untuk menerajui negara.

Atas mandat itu juga BN merancang peralihan kuasa secara teratur dan terancang antara Abdullah dan Najib supaya ia tidak menjejaskan pentadbiran negara dan tidak menjejaskan khidmat kepada rakyat.

Malah rakyat terutama mereka yang memberi mandat kepada BN untuk terus memerintah negara pada Mac 2008 juga menerima positif peralihan kuasa ini.

Sebab itu Zaid dikatakan tidak berhak untuk mengganggu gugat atau cuba menggagalkan proses peralihan pucuk pimpinan negara.

Sebagai orang yang berpengalaman pernah menjadi ketua UMNO bahagian, menerajui badan perhubungan UMNO negeri, menjadi ahli Parlimen dan pernah berada dalam Kabinet, Zaid sepatutnya tahu apa yang dikatakannya itu tidak membawa sebarang kebaikan.

Ketika negara terkena tempias kemelesetan ekonomi global, ia tidak mampu berhadapan dengan sebarang kekalutan membabitkan kepimpinan parti yang memerintah.

Sebab itu cadangan Zaid dianggap sebagai tidak kena pada masa dan tempat. Ia tidak rasional dan tidak bertanggungjawab kerana cuba merosakkan perpaduan dalam BN dan UMNO.

Malah keadaan negara yang kini berhadapan dengan kesukaran ekoran krisis ekonomi global diburukkan lagi oleh kumpulan yang tidak bertanggungjawab termasuk Zaid.

Tindakan itu juga jelas menunjukkan sikap batu api Zaid yang mahu mengapi-apikan rakyat dengan cadangan yang tidak perlu.

Jika tidak ditangani secara berhati-hati ia boleh mencetuskan porak peranda bukan sahaja dalam parti tetapi juga negara.

Seperti yang dikatakan oleh Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia tidak menyumbang untuk menyatupadukan rakyat negara ini.

Jika sekadar mencari publisiti murahan, Zaid sepatutnya menggunakan platformnya sendiri dan bukannya mencampuri urusan dalaman BN dan UMNO.

Apa pun yang dikatakan oleh Zaid ini tidak perlu diberi perhatian. Biar sekadar masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.

"Dia berhak berkata-kata sebagai seorang individu. Sama ada Yang di-Pertuan Agong hendak dengar pendapat seseorang itu atau tidak itu hak Seri Paduka.

"Orang yang membuat cadangan ini pun bukanlah orang yang disanjung tinggi dan dianggap sebagai betul-betul waras pemikiran," kata Dr. Mahathir.

Yang jelas ini merupakan satu tindakan terdesak oleh individu yang kecewa. Ia merupakan cubaan untuk mengganggu kelicinan dan menggagalkan proses peralihan kepimpinan dalam BN dan UMNO.

Seperti yang ditegaskan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang telah dipecat dari UMNO itu tidak berhak menentukan siapa yang layak menjadi Perdana Menteri.

Sebagai parti yang diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah ia adalah hak BN dan UMNO terutama untuk menentukan siapa yang lebih layak dan lebih berhak menjawat jawatan tersebut.

PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN