VERSI : Mobile | Akhbar Digital
19 April 2014 / 19 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
SELATAN

ARKIB : 14/03/2009

Mahkota sanggul lintang


RAJA Abdul Rahim Raja Husin menunjukkan cara membuat mahkota sanggul lintang Melaka. - UTUSAN/NUR FARISHA FAIZ


MELAKA 13 Mac - Rambut yang disanggul kemas menggunakan hiasan cucuk sanggul tembaga bertingkat yang diselang-seli dengan deretan kuntuman bunga mampu menaikkan seri pengantin perempuan yang memakainya.

Mengikut kepercayaan masyarakat negeri Melaka di zaman dahulu, cucuk sanggul yang dipakai secara bertingkat menyerupai mahkota itu melambangkan betapa besarnya tanggungjawab yang digalas oleh mempelai perempuan sesudah bergelar isteri nanti.

Sanggul bermahkota yang lebih dikenali sebagai mahkota sanggul lintang Melaka itu dipercayai berasal daripada hiasan kepala yang biasa digunakan oleh golongan 'Cina peranakan' atau masyarakat Baba dan Nyonya di negeri ini.

Perhiasan itu dipakai ketika acara adat istiadat persandingan perkahwinan masyarakat Melayu Melaka zaman dahulu yang kemudiannya diadaptasikan dan diolah semula agar bersesuaian dengan cita rasa masa kini.

Tetapi kini, keunikan dan keistimewaannya sebagai lambang kemegahan adat resam dan budaya berpakaian berbilang bangsa di negeri ini semakin dilupakan dan sukar untuk ditemui lagi.

Atas faktor itu, seorang usahawan, Raja Abdul Rahim Raja Husin, 48, tergerak hati untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan pemakaian mahkota sanggul lintang Melaka tersebut.

Lelaki yang lebih mesra dipanggil Andak ini handal dalam menghasilkan mahkota sanggul lintang Melaka serta tiara manik yang dijahit sendiri di butik milik isterinya, Wan Zanariah Suboh, 48, di Bukit Baru dekat sini.

Melihat cara pemakaian sanggul lintang Melaka yang agak rumit dan mengambil masa yang agak lama mendatangkan ilham kepadanya untuk menghasilkan mahkota yang diperbuat daripada pencucuk sanggul dan deretan bunga yang sudah dipateri.

Kata Andak, dia mengambil masa dua minggu hingga satu bulan untuk menyiapkan sebuah mahkota sanggul lintang Melaka.

''Sekiranya pengantin perempuan ingin memakai sanggul lintang pada malam berinai, ia mengambil masa lebih kurang dua hingga tiga jam untuk dipakaikan bergantung kepada kepakaran mak andam.

"Cara ini sangat rumit dan mengambil masa memandangkan pengantin lebih suka persalinan yang ringkas tetapi menarik mengikut trend semasa," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Selain itu juga, bagi pengantin yang ingin memakai mahkota sanggul lintang Melaka, mereka terpaksa menahan beban berat mahkota ini. Beratnya lebih kurang dua kilogram mengikut bilangan lapisan pencucuk sanggul yang dipakai.

Pada zaman nenek moyang dahulu, mereka percaya berat mahkota yang dipakai melambangkan berat beban yang harus dipikul oleh isteri.

Tidak hairanlah memakai persalinan sanggul lintang Melaka ketika majlis persandingan pada malam berinai menampilkan keistimewaan kaum Melayu Melaka yang kaya dengan adat dan tradisi zaman silam.

Menurut Andak lagi, mak andam pada zaman dahulu menggunakan batang pisang yang dibentuk lalu ditutup dengan rambut sebelum dipakaikan pencucuk sanggul tembaga dan bunga untuk menghasilkan sanggul lintang Melaka.

Bagi menghasilkan mahkota sanggul lintang yang kemas dan teratur, mak andam memerlukan hampir 40 sehingga 70 batang pencucuk sanggul tembaga mengikut bilangan lapisan yang diingini oleh si pemakai.

''Ketika memakaikan pencucuk sanggul di kepala, mak andam akan berselawat dan berzikir bagi menaikkan lagi seri pengantin pada malam itu," katanya.

Katanya, mempelai akan lebih kelihatan berseri dan sempurna sekiranya mahkota sanggul lintang itu dipadankan dengan busana kain broked atau songket.

''Diselitkan dengan alas dada, juntaian bunga melor, gelang kaki yang diperbuat daripada tembaga dan kasut baldu bertekat memberikan penampilan yang lebih menarik," katanya lagi.

Bagi pengantin lelaki pula, mereka akan dipakaikan dengan jubah ala Parsi dan hiasan kepala yang dipanggil tengkolok supaya kelihatan lebih segak seperti pahlawan.

Menurut Andak, perbezaan antara mahkota sanggul lintang Melaka dengan Negeri Sembilan ialah dari segi bentuknya.

''Mahkota sanggul lintang Melaka berbentuk seperti mahkota Cina kerana ia dipengaruhi oleh suku Baba dan Nyonya manakala mahkota sanggul lintang Negeri Sembilan pula dipengaruhi oleh masyarakat Minangkabau,'' katanya.

Dia yang mengambil tempahan untuk membuat mahkota sanggul lintang Melaka yang pasang siap sanggup membeli dengan harga yang tinggi sekiranya terdapat pihak yang mahu menjual sanggul lintang Melaka yang asli.

Katanya, selain untuk mengekalkan warisan budaya, pemakaian sanggul lintang Melaka itu juga boleh menjadi daya tarikan pelancong memandangkan negeri Melaka bukan sahaja terkenal dengan masakan asam pedasnya malah kaya dengan adat dan tradisi terutamanya pada majlis perkahwinan.

"Kebanyakan pelancong yang menghadiri majlis perkahwinan begitu teruja apabila melihat pengantin perempuan dipakaikan mahkota ini kerana bentuknya yang unik dan busananya yang bercirikan adat ketimuran,'' katanya.

Selain membuat dan mempunyai pelbagai koleksi mahkota sanggul lintang Melaka, Andak juga memiliki koleksi beberapa pasang baju lama yang diperbuat daripada songket dan broked bermutu tinggi.

''Koleksi ini diperoleh melalui saudara-mara saya yang masih menyimpan pakaian tersebut dan mereka memberikannya kepada saya untuk memperbanyakkan lagi koleksi yang dimiliki,'' katanya.

Menurut Andak, sesiapa yang berminat untuk menempah mahkota sanggul lintang Melaka pasang siap boleh menghubungi beliau di 013-6384099.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.