VERSI : Mobile | Akhbar Digital
21 September 2014 / 26 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 13/03/2009

Elak perpecahan sesama Islam


UMAT Islam di negara ini harus memikirkan kesan perpecahan dalam masyarakat sekarang. - GAMBAR HIASAN


Pas adalah Islam dan begitu juga dengan UMNO. Dalam situasi sekarang, kedua-dua parti ini sedang menghadapi masalah yang sama iaitu perpecahan orang Melayu akibat pentafsiran-pentafsiran yang berbeza tentang agama Islam itu sendiri.

Justeru, cadangan Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan agar Pas dan UMNO bersatu harus dilihat secara positif oleh kedua-dua parti yang mewakili umat Islam di Malaysia. Juga atas dasar ukhuwah Islamiah gesaan serta usaha murni ini sewajarnya disambut dengan hati yang terbuka oleh ahli kedua-dua parti Melayu-Islam yang terbesar di negara ini.

Menyatukan ummah dan mengelak perpecahan merupakan tugas-tugas kemasyarakatan (muamalat) yang mempunyai kedudukan yang penting, sehingga dihargai lebih tinggi daripada ibadah-ibadah ritual.

Faktor penunjang lahirnya persaudaraan dalam erti luas ataupun sempit adalah persamaan. Semakin banyak persamaan maka akan kian kukuh persaudaraan.

Persamaan rasa dan cita merupakan faktor dominan yang mendahului lahirnya persaudaraan hakiki, dan pada akhirnya menjadikan seseorang prihatin derita saudaranya, dengan menghulurkan tangan sebelum diminta, serta memperlakukan saudaranya bukan atas dasar 'menerima dan memberi'.

Islam menekankan hal-hal tersebut, dan menganjurkan dicari titik temu persaudaraan. Bukan sahaja terhadap sesama Muslim, tetapi terhadap bukan Islam juga.

Persaudaraan Islam merupakan idea sosial yang teragung. Sebarang perbuatan atau tindakan yang boleh merosakkan nilai ini dianggap merosakkan agama.

Umat Islam seperti satu jasad atau satu bangunan. Saling memelihara dan mengukuhkan antara satu sama lain.

Ukhuwah biasa diertikan sebagai 'persaudaraan', diambil daripada akar kata yang pada mulanya bererti 'memerhatikan'. Makna asal ini memberi kesan bahawa persaudaraan mengharuskan adanya perhatian semua pihak yang merasa mereka bersaudara.

Maknanya, setiap orang Islam hendaklah menanamkan perasaan dalam diri masing-masing bahawa mereka adalah bersaudara.

Al-Quran ada menyebut bahawa sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara dan yang menjadikan mereka bersaudara ialah akidah keimanan. Keutuhan mereka tidak akan terpecah melainkan jika mereka murtad daripada Islam.

Ukhuwah Islamiah merupakan satu istilah yang sudah diterima di kalangan masyarakat iaitu suatu persaudaraan yang berdasarkan iman.

Jadi istilah yang lebih tepat sebenarnya adalah ukhuwah imaniyah kerana di dalam al-Quran, persaudaraan ini memang dikaitkan langsung dengan iman. Renungi maksud firman Allah SWT yang bermaksud:

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelagah) itu; dan bertawakallah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (Surah al-Hujuraat: 10)

Maksud firman Allah ini dimulai dengan semacam satu ketetapan bahawa umat Islam pasti akan berpecah-belah. Dalam situasi berpecah-belah itu, masing-masing akan berusaha untuk menghancurkan atau mengalahkan satu sama lain.

Sejarah telah mencatat bahawa peristiwa kewafatan Rasulullah SAW hampir mencetuskan pergaduhan sesama Muslim sehingga Umar mengambil inisiatif dengan tegas meminta semuanya bersetuju melantik Abu Bakar sebagai pengganti Rasulullah SAW.

Demikianlah seterusnya suasana tidak aman dan konflik timbul di kalangan umat Islam pada zaman pemerintahan Uthman dan Ali.

Kalau kembali pada Surah al-Hujuraat ayat 9, ajaran tentang ukuran yang seharusnya dilakukan untuk menyelesaikan konflik, di mana Allah berfirman yang bermaksud:

Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya, jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah, jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), sesungguhnya Allah mengasihi orang-o rang yang berlaku adil.

Seterusnya sangat relevan jika kita renungi firman Allah dalam Surah al-Hujuraat ayat 11 yang memberi petunjuk atau teknik yang sangat praktikal bagaimana untuk memelihara ukhuwah dalam konteks kehidupan umat Islam sekarang.

Memang sebahagian daripada prasangka itu dianggap sebagai satu sikap waspada.

Mungkin pada tempat-tempat atau saat-saat tertentu di mana kita harus berprasangka kepada orang kerana situasi sekarang berkehendakkan begitu sebagai satu 'kewaspadaan'. Itu tidak berdosa. Tetapi kalau terlalu berprasangka seperti dinyatakan al-Quran, maka besar kemungkinan kita jatuh kepada dosa prasangka.

Demikian al-Quran memberikan dasar ajaran bagi mengubah dan menegakkan ukhuwah lslamiah sebagaimana terkandung dalam ayat suci al-Quran Surah al-Hujuraat ayat 9 hingga 13 yang memuatkan banyak falsafah ukhuwah lslamiah.

Inti ajarannya ialah mencari jalan damai ketika berselisih, tidak melampaui batas dalam perselisihan, bersikap jujur, saling menghargai dan bersikap rendah hati untuk mengakui kesalahan sendiri.

Dalam usaha memantapkan ukhuwah lslamiah ini, ia bukan sekadar penjelasan dari segi persamaan pandangan agama atau sekadar toleransi mengenai perbezaan pandangan melainkan yang Iebih penting lagi adalah Iangkah-Iangkah bersama umat Islam sehingga dapat merasakan nikmatnya persaudaraan satu iman itu.

Salah satu hadis yang popular dalam bidang ukhuwah adalah sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari sahabat Ibnu Umar: Seorang Muslim bersaudara dengan Muslim yang lain. Ia tidak menganiayanya, tidak pula menyerahkannya (kepada musuhnya). Barang siapa yang memenuhi keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi pula keperluannya. Siapa yang melapangkan suatu kesulitan seorang Muslim, Allah akan melapangkan baginya satu kesulitan pula dari kesulitan-kesulitan yang dihadapi di hari kemudian.

Persaudaraan dalam Islam berlandaskan iman kepada Allah, cinta kerana Allah. Seseorang mukmin yang merupakan saudara bagi mukmin yang lain mempunyai pertalian persaudaraan yang lebih kuat daripada pertalian darah di kalangan adik-beradik kandung.

Pertalian keimanan inilah yang memperkukuh hubungan sesama individu dalam masyarakat, dan yang menjadikan masyarakat satu unit sosial yang tersusun rapi dan utuh.

Untuk memantapkan ukhuwah Islamiah yang diperlukan bukan sekadar penjelasan aspek-aspek persamaan pandangan agama atau sekadar toleransi mengenai perbezaan pandangan.

Malah yang lebih penting adalah langkah-langkah bersama yang dilaksanakan oleh umat sehingga seluruh umat merasakan nikmatnya.

Justeru kita mengakui al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup, seharusnya kita berusaha mencipta kebaikan dalam kehidupan ini. Kita harus memperbaiki hubungan persaudaraan sesama Islam dan mencipta perdamaian di antara pihak-pihak yang bermusuhan.

Hanya tali Allah sahaja yang dapat memberi pegangan kepada semua orang dan dengan nikmat itu mereka dapat hidup sebagai saudara.

Tiada yang dapat menyatukan hati melainkan persaudaraan kerana Allah iaitu persaudaraan yang membuang segala dendam kesumat, sikap penting diri serta kelompoknya.

Janganlah langgar perintah Allah ini sekiranya kita benar-benar sayangkan agama, bangsa dan negara serta tidak ingin melihat kehancuran ummah di tangan kita sendiri.

PENULIS ialah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.