VERSI : Mobile | Akhbar Digital
18 September 2014 / 23 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
POLIS & TENTERA

ARKIB : 03/03/2009

Anak penoreh getah jadi Ketua Polis Sentul


ZAKARIA Pagan bergambar bersama isteri tercinta, Mariam Pilus.


SIAPA sangka, anak kepada pasangan penoreh getah - yang pernah meredah embun pagi dan digigit nyamuk ketika menemani ibu bapanya menoreh 50 tahun dulu, kini bergelar Ketua Polis Daerah Sentul.

Disebabkan keperitan hidup, kerana orang tuanya tidak mampu membayar tambang pengangkutan ke sekolah, Asisten Komisioner Zakaria Pagan pernah berjalan kaki sejauh lapan kilometer setiap hari ke sekolah tanpa dibekalkan dengan duit makan.

Perasaannya sedih ketika melihat anak-anak jiran yang sebaya dengannya menaiki basikal ke sekolah dan berbelanja besar.

"Keinginan memang menebal di dada untuk merasai semua kemewahan tersebut.

"Namun apa boleh buat, belum ada rezeki saya untuk memiliki segala kemewahan itu," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Walaupun terpaksa berhenti sekolah ketika di tingkatan enam kerana masalah kewangan yang menghimpit keluarga, Zakaria akur dan terus membantu ibu bapanya demi mencari sesuap nasi.

Kedaifan keluarganya yang 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' tidak menjadi penghalang untuk beliau terus mengorak langkah ke hadapan.

"Sewaktu kanak-kanak, saya cuma mengenal erti kesusahan, saya tidak tahu macam mana kehidupan orang senang," ujarnya.

Tanpa pengetahuan kedua-dua ibu bapanya, Zakaria yang ketika itu baru selesai memperoleh keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), telah menghadiri sesi temuduga Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada akhir 1977.

"Tarikh 12 Februari 1978 adalah tarikh bersejarah bagi diri saya apabila berjaya melepasi syarat untuk mengikuti kursus di Pusat Latihan Polis (Pulapol) sebagai Inspektor Percubaan.

"Tarikh itu merupakan kenangan yang tidak dapat dilupakan apabila saya diterima menyertai PDRM setelah lulus dalam beberapa peringkat ujian yang dijalani," katanya.

Walaupun mendapat tentangan hebat dari ibunya kerana beranggapan bertugas sebagai pasukan keselamatan pada masa itu boleh mengundang maut, Zakaria tetap berkeras untuk meneruskan hasrat demi mengubah nasib keluarga.

Sejak Zakaria menyarung pakaian seragam biru itu, ia bagai menandakan episod kesengsaraan keluarga mereka berakhir. Kedua orang tuanya tidak lagi memegang pisau untuk menoreh getah.

Dengan gaji serendah RM520, walaupun tidak dapat menjanjikan kehidupan yang mewah namun, Zakaria puas melihat kedua orang tuanya hidup sedikit 'senang' berbanding dulu.

Bercerita mengenai jawatan Ketua Polis Daerah Sentul yang baru disandangnya, Zakaria berkata, ia diterimanya dengan rasa penuh tanggungjawab apatah lagi daerah tersebut tidak kurang 'meriah' dengan pelbagai kes khususnya yang berkaitan dengan jenayah.

"Saya sebenarnya terkejut juga dengan pelantikan ini dan tidak pernah terfikir untuk duduk di kerusi ini. Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada pucuk pimpinan PDRM. Namun, ia bukanlah satu jawatan yang hendak dibangga-banggakan.

"Ia datang dengan satu tanggungjawab yang berat. Saya akan cuba sedaya upaya dengan kerjasama semua pihak untuk menurunkan kadar jenayah di Sentul. Tidak dinafikan, saya berhadapan dengan pelbagai situasi mencabar lebih-lebih lagi menangani satu daerah pesat yang tidak sunyi daripada kes-kes jenayah," katanya.

Mengenai usaha ke arah itu, Zakaria berkata, beliau mahu masyarakat turut mengambil berat mengenai keselamatan diri mereka kerana adalah mustahil untuk polis mengawal kegiatan jenayah yang berlaku 100 peratus.

"Kita tidak akan lari daripada tanggungjawab hakiki, ini memang sumpah kita, tetapi pada masa yang sama, urusan ini tidak boleh dibebankan pada pada bahu polis semata-mata.

"Semua pihak perlu memberi kerjasama kepada polis jika hasrat untuk mengurangkan kadar jenayah ini hendak direalisasikan," ujarnya.

Zakaria juga memberi amaran tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mempengaruhi pihak polis dalam melaksanakan tugas mereka.

Katanya, tiada istilah 'pilih bulu' atau warna kulit dalam PDRM dan beliau mahu masyarakat memahami perkara tersebut.

Mengenai rutin hariannya, Zakaria mengakui jadual tugasnya semakin meningkat bila menyandang jawatan 'nombor satu' di IPD Sentul.

Pun begitu, anak kelahiran Parit, Perak itu berkata, ia bukanlah penghalang untuk beliau melaksanakan tugasan tersebut dengan baik dan lancar.

"Biar pun saya begitu lama mengendalikan bidang pegawai perhubungan awam, saya juga mempunyai pengalaman mengendalikan kes-kes jenayah lain sewaktu di awal pembabitan saya dalam PDRM.

"Dalam hal ini, saya bertuah kerana mempunyai pegawai dan anggota yang komited. Saya percaya dengan kerjasama dan bantuan semua pihak, tugas membanteras jenayah ini akan dapat dijalankan dengan lebih berkesan," katanya.

Menyingkap pengalaman beliau, Zakaria yang lebih dikenali sebagai 'OCPD Pagar' di Kuala Kangsar berkata, beliau mendapat gelaran itu ketika beliau bertugas sebagai Ketua Polis Daerah di daerah itu.

Beliau yang baru beberapa bulan memegang jawatan sebagai 'orang nombor satu' di IPD itu pada Jun 2004 dikejutkan dengan kecurian pagar istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Beliau menjelaskan, pengalaman itu banyak menagih kesabaran dan kesungguhan selain memberi seribu satu makna.

"Perasaan takut menyelubungi jiwa saya. Bukan kerana apa, mangsanya adalah bukan calang-calang orang," katanya.

Berkat kesungguhan dan komitmen yang tinggi dalam tugas, dalam tempoh tidak sampai 24 jam, suspek ditahan dan pagar itu ditemui semula.

Kedua-dua lelaki yang juga merupakan penagih dadah berjaya dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh seminggu.

Sejak kejadian itu, beliau mula dikenali sebagai OCPD Pagar di kalangan penduduk di daerah itu.

Sebagai menghargai kejayaannya itu, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berkenan mengurniakan bintang Paduka Mahkota Perak (PMP) kepada Zakaria.

Walaupun sibuk dengan pelbagai tugas, Zakaria tetap dengan prinsipnya yang ringan mulut dengan orang ramai termasuk para wartawan yang ke pejabat beliau.

Sifat beliau yang tidak jemu melayan semua orang, menjadikan beliau mudah didampingi dan disenangi.

Anak kepada pasangan Allahyarham Pagan Rasul dan Allahyarham Rahmah Khatib itu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Parit, Perak.

Beliau kemudiannya menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Iskandar Shah dan kemudiannya di Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Hasil perkongsian hidup dengan Mariam Pilus, 48, Zakaria dikurniakan dua putera dan dua puteri.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:10
Asar 4:13
Maghrib 7:13
Isyak 8:22



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.