|
![]() |
|
Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah bersama dengan pemilik gedung ternama Harrods, Mohammed Al-Fayed (kanan) dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (kiri) ketika merasmikan promosi Kraf Malaysia di gedung membeli-belah Harrods, London, semalam. – AFP |
LONDON 27 Feb. – Malaysian Craft At Its Best merupakan deskriptif paling tepat. Ia merupakan slogan khusus barangan kraf Malaysia bagi memastikan kemasukannya ke Britain mampu mencuri tumpuan serta-merta.
Di bawah jenama yang begitu hebat, barangan kraf Malaysia yang kebanyakannya hasil lukisan tangan akhirnya mendapat perhatian gedung beli-belah terkemuka dunia di tengah kota London - Harrods of the Knightsbridge.
Siapa sangka barangan kraf Malaysia akhirnya membuat kemunculan sulung di mercu tanda beli-belah mewah paling terkemuka di dunia itu.
Barangan hasil seni Malaysia itu diperkenalkan pada majlis pelancaran gilang-gemilang yang disulami dengan persembahan kebudayaan pada Khamis.
Memperkenalkan barangan kraf Malaysia di gedung beli-belah terbesar di dunia itu bukan calang-calang bagi rakyat Malaysia di sini yang berasa amat bangga untuk turut serta dalam majlis penuh bersejarah itu yang turut mendapat sentuhan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.
Senyuman tidak lekang daripada wajah manis Seri Paduka apabila baginda berangkat tiba di majlis pelancaran itu untuk memperkenalkan Malaysian Craft At Its Best, diiringi paluan kompang dan disusuli persembahan kebudayaan termasuk tarian etnik dan nyanyian.
Pertunjukan fesyen yang mempamerkan 54 rekaan menggunakan fabrik seperti batik, songket dan tenun daripada koleksi Yayasan Tengku Nur Zahirah Foundation, Galeri Seni Edon, Datin Sharifah Kirana, Kartini Illias dan Kraftangan Malaysia dipertontonkan kepada hadirin.
Seorang pelancong British pernah berkata, batik Malaysia mempunyai warna ceria dengan corak menarik dan bahan yang amat halus, tetapi produk yang ditempatkan di Harrods turut mempunyai citarasa Inggeris.
Pada akhir majlis itu, Raja Permaisuri Agong menurunkan tanda tangan pada plak untuk menyempurnakan majlis itu.
Hadir pada majlis itu ialah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, Sultan Pahang dan Sultanah Pahang, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal serta isteri dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London, Datuk Abdul Aziz Mohamed.
Turut hadir ialah pemilik Harrods, Mohamed Al-Fayed dan Datuk Bandar Royal Borough of Kensington dan anggota majlis Chelsea Joanna Gardner.
Promosi barangan kraf Malaysia selama sebulan sehingga 28 Mac itu melibatkan 3,173 produk kraf daripada 410 jenis rekaan berasaskan hasil rimba, fesyen, tekstil, logam dan seramik, hasil ciptaan 66 usahawan.
Kraftangan Malaysia, agensi di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dipertanggungjawab memilih barangan kraf Malaysia untuk dijual di gedung itu namun pemilihan terakhir dibuat oleh Harrods Limited.
Wakil Harrods Limited telah berada di Kuala Lumpur pada November tahun lepas yang diketuai Guy Cheston, Pengarah Jualan Pengiklanan dan Penajaan untuk memilih barangan kraf terbaik Malaysia.
Kehadiran Seri Paduka berdua dan Rosmah jelas menunjukkan sokongan padu mereka terhadap usaha kerajaan untuk mempromosikan barangan kraf Malaysia di dalam dan luar negara.
Shafie dalam ucapannya berkata, Harrods yang dikunjungi jutaan orang dari seluruh dunia, manakala London sebagai pusat ekonomi dinamik, menjadikan Harrods sebagai pilihan Malaysia untuk mempromosikan barangan kraf, kebudayaan dan warisan negara itu.
Mohamed Al-Fayed sendiri mengagumi usaha itu.
“Amat menyeronokkan untuk melihat semua orang berada di sini, media antarabangsa, pereka dan pembeli, saya amat kagum dengan apa yang dipamerkan, rekaan kraf dan warna tekstil, ia amat indah,” katanya selepas jamuan tengah hari.
Beliau berkata, barangan kraf yang dipamerkan di Pintu 9 kelihatan seperti sebuah teater yang pasti akan mengamit orang ramai untuk mengunjungi Harrods.
“Selama ini anda tidak mempromosikan produk anda secukupnya, ia perlukan lebih banyak pendedahan dan publisiti, dan apa yang anda lakukan hari ini adalah satu permulaan,” kata Al-Fayed yang melawat Malaysia 11 tahun lepas dan ketika itu sudah menunjukkan minat dengan barangan kraf Malaysia. – BERNAMA
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|