|
ADA yang menyokong, ada yang membantah. Ini rentetan daripada isu perokok tak ada otak yang Bidai bangkitkan dua minggu lalu dan diberi respons oleh Saudara Razim Noor.
Untuk pengetahuan semua, ini merupakan kali terakhir untuk Bidai siarkan respons e-mel daripada pembaca yang banyak menegur kenyataan Saudara Razim mengenai perokok.
Bagi Bidai, tulisan di ruangan ini tidak bertujuan untuk menjatuhkan sesiapa dan juga bukan bertujuan untuk menaikkan sesiapa.
Malah teguran yang dilakukan di sini dilakukan secara umum dan bagi Bidai, siapa yang memakan cili dialah yang terasa pedasnya,
Dan Bidai juga ingin minta maaf jika ada yang tersinggung dengan cara penulisan kasar Bidai yang bagi Bidai merupakan satu-satunya cara untuk menegur mereka yang ‘kurang siuman’ dalam isu sejagat, termasuklah perokok.
Jika terasa sangat ia terlalu kasar, anggaplah saja, ia satu teguran yang membawa kebaikan dan bukan satu penghinaan, namun pada yang salah, tetap salah.
Di sini, Bidai buat kali terakhir, menyertakan e-mel dari seorang pembaca yang juga membuat teguran kepada Saudara Razim.
Harap-harap, ia menjadi iktibar dan jangan anggap e-mel ini bukan sebagai hentaman tapi satu peringatan bahawa perokok itu sememangnya satu tabiat buruk yang mengundang padah.
Fikirkanlah...
Saudara Bidai
TULISAN Saudara Razim yang mendakwa seorang yang berpangkat tinggi di dalam perkidmatan kerajaan amat melucukan.
Contoh terbaik orang yang cuba menegakkan benang basah dan tak cukup membaca. Tidak hairanlah kerajaan amat risau dengan masyarakat kita yang tidak menyemarakkan budaya membaca.
Apa yang lebih kelakar, beliau hanya membaca apa yang beliau mahu dengar dan menutup telinga dan pandangan daripada fakta yang telah dibuktikan secara saintifik, dan sudah diterbitkan di jurnal-jurnal terkemuka dunia.
Janganlah rasa ilmu itu cukup dengan hanya membaca majalah-majalah ringan. Tak perlulah Bidai membuang masa yang berharga menjelaskan kebenaran kepada orang begini.
Lebih baik Bidai teruskan usaha dalam memperbaiki persekitaran kita.
Untuk pengetahuan Bidai, elemen toksik bukan sahaja berada di alam sekitar, malah ada manusia yang menjadi bahan toksik kepada orang lain di atas sikap mereka yang bukan sahaja merosakkan diri sendiri, malah merosakkan orang lain.
Manusia toksik lebih bahaya daripada bahan toksik. Contoh manusia toksik yang terbaik ialah Saudara Razim.
Kalau beliau berbangga dengan tidak membuang puntung rokok merata-rata, saya lebih berbangga dengan anak sulung perempuan saya yang ketika berusia dua tahun, mengutip sampah yang dibuang orang lain di atas lantai di sebuah pasar dan mencari tong sampah untuk dibuangnya.
Hah! Itu baru bangga yang berasas.
Kepada perokok yang terperangkap di dalam ketagihan merokok, giatkan usaha anda untuk berhenti dan dapatkanlah khidmat profesional tentang berhenti merokok.
Segelintir klinik kerajaan ada menyediakan klinik berhenti merokok.
Saudara Razim, mungkin anda bertuah kerana anda mungkin sudah mempunyai penjaga yang baik apabila usia anda di ambang senja. Mungkin anda mempunyai isteri setia yang muda yang sanggup menyalurkan makanan ke tiub perut anda (stomach peg) jika mendapat kanser esophageal atau menyorong tong oksigen dan kerusi roda anda ketika bersiar-siar di taman sekiranya anda menghidap kegagalan paru-paru akibat emphysema.
Atau mencuci najis hitam anda sekiranya menghidap ulser peptic berdarah atau menggosokkan minyak angin ke perut anda sekiranya anda menghidap dissecting abdominal aortic aneurysm.
Kalau setakat barah paru-paru tu, anak sulung perempuan saya yang kini berumur 9 tahun pun dah tahu apa puncanya.
Sekurang-kurangnya, isteri anda cukup setia untuk mencumbui anda walaupun bau mulut anda memualkan. Janganlah berbangga dengan pangkat anda di dalam kerajaan.
Ia tiada kaitan langsung dengan tahap kecerdikan atau kebodohan anda.
Demi kebaikan generasi akan datang termasuk anak-anak anda, teruskanlah tabiat merokok anda, tetapi berhentilah mempengaruhi orang di sekeliling anda dengan ilusi anda.
Ikhlas,
Dr. Ajin
Pegawai Perubatan Sarjana,
Universiti Malaya
yang hanya berada di Gred U41
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|