Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
KELUARGA

ARKIB : 27/02/2009
Sup tulang ketuk Geylang

Sup tulang ketuk Geylang

TERINGAT penulis ketika kecil dahulu apabila pergi ke Singapura untuk menziarahi datuk saudara di sana, selain ke rumahnya, tempat yang menjadi kegemaran ibu ialah ke Geylang.

Apa keistimewanya Geylang kerana sebelum datang ke kota singa ini ramai saudara mara yang berpesan itu dan ini pada ibu. Ada yang pesan kain ela, ada juga suruh beli buah laici.

Hairan menyelubungi minda. Murah sangatkah barangan di situ? Sehinggalah penulis tiba di tempat itu menaiki bas dua tingkat. Dengan deretan kedai makan, kedai kain ela dan buah-buahan, suasananya seolah di Jalan Chow Kit, ditambah pula pelbagai makanan dari Melayu asli, Jawa dan lain-lain semuanya ada.

Setelah hampir 30 tahun, nostalgia muncul kembali apabila penulis dijemput untuk merasai masakan asli Singapura di sebuah restoran yang diberi nama Geylang Kopitiam di Taman TTDI Jaya, Shah Alam.

Dari luar lagi, suasananya begitu mengujakan dan selangkah kaki menjejak ke dalamnya, alangkah kagumnya melihat dekorasi yang diilhamkan seperti kedai makan ala tahun 60-an.

Dialun pula dengan lagu-lagu daripada filem-filem Melayu tahun 60-an bagi menyemarakkan lagi aura menjiwai keadaan pada sekitar tahun itu.

Di satu sudut pula dipamerkan beca yang dipercayai berusia hampir 50 tahun. Di dindingnya digantung dengan angklung, trumpet dan gambar-gambar dari filem lama bagi menghidupkan suasana.

Sesuatu yang menjadi tumpuan pastilah gambar 'gergasi' yang memaparkan sebuah tram yang bernombor enam yang kebetulan sama nombor dengan kopitiam yang berlaluan Tanjong Pagar ke Geylang.

Pemiliknya, Hussein Taha, 50, dan isterinya, Pujiah Subari,46, kedua-duanya berasal dari Geylang, memilih konsep kopitiam kerana trend masyarakat sekarang yang lebih suka makan di luar di tempat yang selesa lagi merelakskan.

"Kami sepakat menggunakan konsep retro bagi mengembalikan zaman kecil kami ketika tinggal di Geylang.

"Ibu bapa saya memang mempunyai kedai makan di sana dan dikenali ramai dengan sajian mi rebus dan sate. Justeru, bagi menyambung warisan itu saya membuka kopitiam ini,'' kata Hussein.

Selain mata dihidangkan dengan dekorasi menarik, juadahnya turut memenuhi cita rasa peminat yang gemarkan masakan Singapura.

"Sup tulang ketuk Singapura adalah yang terlaris di sini. Walaupun warnanya tidaklah merah seperti di Singapura, tetapi rasanya ada uummp! Bahkan ramai pelanggan dari Singapura yang membawanya sebagai bekalan balik ke sana.

"Begitu juga dengan mi rebus, sate goreng, kacang phool, lontong goreng, nasi lemak daging dendeng, soto ayam, nasi ayam penyet dan minuman seperti teh 'c' peng gula Melaka dan air bandung jagung dan air limau madu, yang pasti membuat pelanggan datang semula,'' ujarnya.

Tambahnya lagi, turut dihidangkan ialah cucur udang, keropok lekor, ubi rebus, lempeng dan masakan Barat.

Sementara itu, menurut Pujiah, kopitiam ini dibuka 8 pagi hingga 11 malam dan semua hidangan yang terdapat di dalam menu boleh diperoleh dalam jangkamasa tersebut.

"Terdapat dua chef dan seorang pembantu chef dengan 19 orang kakitangan. Dengan bilangan tenaga kerja ini, memberi jaminan kepada pelanggan mendapat layanan terbaik,'' katanya.

Fakta Geylang Kopitiam

lJenis makanan: Semua jenis masakan asli Singapura, Melayu dan Barat.

lLokasi: Geylang Kopitiam, No. 4-6, Jalan Opera G U2/G, Shah Alam. (012-2118841).

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN