|
KUALA LUMPUR 23 Feb. - Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) mencadangkan supaya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang ditukar nama kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Mahathir.
Timbalan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Datuk Seri Abdul Aziz Rahman berkata, ia bagi menghargai sumbangan bakti bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
"Beliau banyak membawa pembangunan dan berjasa kepada penduduk negara ini.
"Tidak salah sekiranya lapangan terbang yang dibina ketika era pemerintahannya ditukar nama sebagai mengenang jasa dan budinya selama ini,'' katanya pada sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mubarak menyarankan supaya ahli-ahli UMNO yang bertanding pada pemilihan parti Mac ini menandatangani surat akujanji bebas salah laku tatatertib dan politik wang.
"Ia perlu sebagai bukti mereka tidak terlibat langsung dalam sebarang aktiviti yang boleh mencemar nama baik UMNO.
"Langkah itu sekali gus menunjukkan mereka cukup komited untuk berbakti kepada parti dan masyarakat seikhlas hati,'' tegasnya.
Menurut beliau, surat akujanji itu perlu ditandatangani sebelum tarikh pemilihan dengan tumpuan utama kepada ahli Majlis Tertinggi (MT).
IKLAN@UTUSAN
|