VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 22/02/2009

Tragedi ngeri di penjara S-21


TULANG-tulang mereka yang terbunuh ketika pemerintahan rejim Khmer Rouge disimpan untuk tatapan pengunjung Muzium Peringatan Toul Sleng.


ERA pemerintahan rejim Khmer Rouge di Kemboja yang dipimpin oleh Perdana Menteri ketika itu, Saloth Sar atau lebih dikenali sebagai Pol Pot, sememangnya diingati sebagai antara yang paling kejam dan sadis dalam sejarah dunia.

Rejim itu yang memerintah pada 1975 hingga 1979 bertanggung jawab terhadap kematian hampir 2 juta rakyat sama ada melalui pembunuhan, penyiksaan ataupun akibat dari kebuluran.

Kekejaman rejim ini yang cuba menukar Kemboja kepada sebuah negara komunis sebenar yang hanya bersandarkan kepada pertanian sebagai punca ekonomi utama telah meninggalkan titik hitam yang terlalu besar untuk dikenang hingga hari ini.

Bagaimanapun berita penangkapan bekas ketua penjara rejim itu, Kaing Guek Eav yang kini dihadapkan ke tribunal jenayah perang Kemboja atas tuduhan melakukan jenayah kemanusiaan dilihat sebagai satu kemenangan moral yang besar kepada mereka yang pernah terseksa dan teraniaya ketika zaman Khmer Rouge.

Lelaki ini yang lebih dikenali sebagai "Duch" sememangnya sangat diingati di atas kekejaman dan penganiayaan yang dilakukan terhadap lebih 17,000 mangsa yang ditempatkan di "penjara maut S-21"

Dia adalah antara lima pemimpin kanan Khmer Rouge dan dijangka menjadi saksi utama dalam perbicaraan akan datang terhadap 'Saudara Nombor Dua' Nuon Chea, bekas Presiden, Khieu Samphan dan bekas Menteri Luar, Ieng Sary serta isterinya dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Duch, 66, juga menghadapi tuduhan melakukan jenayah perang, penyeksaan dan pembunuhan semasa menjadi komandan penjara S-21, di mana sekurang-kurangnya 17,000 musuh revolusi rejim komunis itu dipenjarakan dan kemudian dibunuh.

Bagaimanapun prosiding tersebut banyak membabitkan urusan prosedur dan perbicaraan utama dijadual bermula pada bulan depan dan keputusan dijangka dibuat pada September ini.

Sejarah rejim Khmer Rouge yang sangat berpegang teguh dengan ideologi komunis bermula dengan kejayaan menguasai Kemboja pada 17 April 1975. Kepimpinan baru ini sangat mendambakan pemerintahan komunis memandangkan mereka sangat mengagumi Rusia dan China yang dilihat berjaya melakukan perubahan besar dalam negara berdasarkan ideologi komunis.

Mahal

Perubahan yang ingin dilakukan oleh rejim ini meliputi semua bidang seperti pendidikan, ekonomi, kebudayaan dan keagamaan demi menubuhkan sebuah negara komunis, telah dibayar dengan harga yang terlalu mahal iaitu darah dan nyawa penduduk itu sendiri. Pendidik, ahli akademik dan orang terpelajar dibunuh dan disiksa oleh pemimpin Khmer Rouge atas alasan mereka akan menjadi pengkhianat dan pembelot negara kerana mengembangkan sistem pendidikan moden yang menjurus kepada Barat.

Bagi memenuhi kehendak itu, rejim Khmer Rouge telah menukar sebuah sekolah, Tuol Svay Prey High School kepada penjara yang dikenang penduduk sebagai "penjara maut" S-21. Dari sebuah sekolah yang awalnya menjadi tempat memberi pendidikan kepada generasi masa depan, keseluruhan bangunan ini telah ditukar kepada sebuah penjara yang lengkap dengan peralatan penyiksaan dan sel penjara.

Pada awalnya penjara ini dipenuhi oleh pegawai kerajaan, mereka yang terpelajar seperti doktor, guru dan sebagainya, pekerja yang terlibat dalam sektor industri, ahli akademik, tentera serta sami dan imam masjid.

Namun akibat dari takut dengan bayang sendiri pemimpin rejim ini terutamanya Pol Pot mula bertindak menyiksa ahli partinya sendiri yang dilihat mampu menggugat kedudukannya.

Walaupun kebanyakan penghuni penjara ini adalah rakyat tempatan namun terdapat warga asing seperti dari Amerika Syarikat (AS), Australia, Vietnam, India dan Pakistan.

Dari anggaran 17,000 yang dimasukkan ke dalam penjara ini hanya 12 darinya hidup selepas tamatnya pemerintahan Khmer Rouge dan mereka terselamat kerana mempunyai kepakaran tersendiri yang boleh digunakan oleh Pol Pot. Antaranya Vann Nath yang mempunyai kepakaran melukis dan digunakan oleh Pol Pot untuk melukis gambarnya.

Berdasarkan pengalaman yang dilalui oleh seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang terselamat dari kekejaman Duch dan konco-konconya di penjara S-21, keadaan ketika itu sangat menyiksakan dengan tahanan disiksa dengan pelbagai cara yang keterlaluan.

Dia menggambarkan keadaan ketika itu terlalu menakutkan dengan mayat dilihat terbiar mereput di sel penjara, teknik soal siasat yang terlalu kejam dengan menghempas kepala dan badan banduan dengan benda tajam atau keras dan pelbagai tenik lain yang tidak boleh diterima akal.

Kanak-kanak itu, Norng Chan Pal, yang kini berusia 39 tahun bersama empat kanak-kanak lain telah ditemui oleh seorang jurugambar tentera Vietnam, Ho Van Tay yang menyerang Kemboja untuk menumbangkan kerajaan Khmer Rouge.

Setelah 30 tahun, kedua-dua lelaki ini yang pernah menjadi saksi kekejaman Pol Pot dan rejimnya, akhirnya bertemu bagi bertanya khabar dan berkongsi pengalaman.

Apa yang menarik pertemuan ini berlangsung ketika Duch dihadapkan ke tribunal jenayah perang Kemboja. Dengan linangan air mata dia menyatakan bahawa dia begitu merindui ibunya yang hilang tanpa mayatnya ditemui sehingga kini.

Bagi Ho Van, dia terkejut melihat kanak-kanak yang telah disembunyikan di dalam longgokan pakaian bagi mengelakkan diserang tentera Pol Pot masih hidup untuk berkongsi pengalaman hidupnya tentang kekejaman rejim Khmer Rouge.

Beliau yang juga seorang tentera tetapi bertindak merakam kejadian serangan tentera Vietnam di penjara S-21 tidak menyangka rakamannya itu akan digunakan sebagai bukti utama dalam tribunal itu dan sangat berharap hukuman yang setimpal dapat dijatuhkan terhadap Duch.

Hakikatnya hukuman yang bakal diterima oleh Duch dan pemimpin tertinggi rejim Khmer Rouge mungkin akan menerima pembalasannya di dunia tetapi kesan dan derita yang terpaksa dilalui akan terus kekal.

Seperti mana teguhnya bangunan penjara S-21 yang kini bertukar sebagai Muzium Peringatan Toul Sleng, begitulah teguhnya ingatan tentang kesengsaraan dan kekejaman yang berlaku akan terus terpahat di ingatan mereka yang melaluinya sehingga akhir hayat.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.