VERSI : Mobile | Akhbar Digital
19 April 2014 / 19 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KESIHATAN

ARKIB : 22/02/2009

Hidung berdarah


JANGAN panik jika hidung anda tiba-tiba berdarah.



DALAM kehidupan seharian, kita seringkali berhadapan dengan situasi-situasi yang mencemaskan.

Tidak kira sama ada ia menimpa diri sendiri, ahli keluarga atau jiran tetangga kita. Sebagai ahli sebuah masyarakat penyayang, biasanya ramai yang akan tampil kehadapan untuk membantu.

Namun, pada kebanyakan masa, niat luhur ini hanya terkubur sebagai hasrat semata-mata. Sumbangan kebanyakan daripada kita berakhir dengan menjadi penonton sahaja disebabkan tidak tahu apa yang sepatutnya dibuat atau kita sendiri berada dalam keadaan terkejut apabila berhadapan dengan situasi berkenaan.

Apa lebih membimbangkan ialah jika sesuatu langkah yang diambil, pada mata kasarnya nampak seolah-olah ingin membantu tetapi sebenarnya ia amat berbahaya kepada pesakit atau mangsa yang berada dalam keadaan kecemasan itu sendiri.

Salah satu senario yang mencemaskan ialah apabila melihat darah keluar melalui hidung atau mulut.

Lebih mengejutkan ialah jika ibu bapa melihat tompokan darah yang besar pada bantal atau cadar anak kesayangan mereka sebaik sahaja anak mereka bangun dari tidur.

Gejala hidung berdarah merupakan suatu situasi yang sering mencemaskan, sebagaimana yang sering ditonjolkan dalam drama dan filem di kaca televisyen.

Apatah lagi jika ia berlaku pada mereka yang belum pernah mengalaminya. Situasi menjadi bertambah cemas jika pendarahan berlaku dalam kuantiti yang banyak.

Pendarahan hidung sering kali dikaitkan dengan kanak-kanak lelaki yang aktif bermain. Namun, gejala ini sebenarnya boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina dan usia.

Oleh sebab itu, setiap satunya memerlukan pemeriksaan lanjut dan langkah-langkah pencegahan yang sesuai, terutamanya terhadap punca yang telah dikenalpasti.

Pendarahan hidung sebenarnya ialah satu gejala atau tanda kepada sesuatu penyakit dan ia sendiri bukanlah sejenis penyakit. Ia berlaku apabila salur darah yang berada di dalam rongga hidung pecah.

Ada kalanya, ia boleh berhenti dengan sendiri di rumah, namun tidak kurang juga bilangan mereka yang terpaksa mendapatkan rawatan di klinik atau harus dimasukkan ke wad akibat pendarahan yang banyak dan sukar berhenti.

Punca pendarahan

Pendarahan hidung boleh tercetus akibat pelbagai punca. Ia boleh dibahagikan kepada faktor lokal atau setempat (masalah di dalam hidung) dan faktor umum atau sistemik, yang melibatkan sistem badan gagal mengawal proses pembekuan darah sewaktu pendarahan.

Sungguhpun begitu, tidak kurang juga jumlah keadaan di mana punca pendarahan itu tidak dapat dikenalpasti walaupun pelbagai kaedah penyiasatan dilakukan. Keadaan ini disebut pendarahan hidung jenis idiopatik.

Faktor-faktor lokal di dalam hidung sendiri yang boleh menyebabkan pendarahan ialah seperti trauma atau luka yang berpunca daripada kemalangan, pembedahan dan jangkitan kuman dalam hidung atau rongga sinus seperti sinusitis dan barotrauma (trauma disebabkan perbezaan tekanan dalam sinus dan atmosfera).

Benda asing yang termasuk ke dalam hidung pula, terutamanya di kalangan kanak-kanak, jika dibiarkan begitu sahaja tanpa dibuang boleh mengeras menjadi seperti batu (rhinolith).

Apabila keadaan ini berlaku, bahan keras yang mempunyai permukaan kesat ini boleh mengakibatkan pergeseran dan pendarahan kepada lapisan mukosa hidung yang sensitif.

Selain itu, struktur abnormal dalam hidung itu sendiri seperti tulang tengah hidung yang bengkok boleh mencetuskan pendarahan.

Walaupun ramai antara kita yang mempunyai tulang hidung tengah yang tidak lurus, namun tidak semestinya ia mengakibatkan pendarahan.

Pendarahan boleh berlaku akibat bahagian yang bengkok itu tersentuh dengan bahagian hidung lain lantas menyebabkan iritasi.

Jika pendarahan berlaku terutamanya di kalangan orang dewasa atau golongan di usia emas, ketumbuhan dalam hidung adalah salah satu daripada puncanya.

Biasanya pendarahan yang berpunca daripada ketumbuhan ini akan disertai dengan gejala-gejala lain seperti tersumbat sebelah hidung, kesakitan dalam rongga hidung, kebengkakan pada kelenjar limfa di leher, kurang dengar pada sebelah telinga dan sebagainya.

Namun begitu, ada juga pesakit yang mempunyai ketumbuhan dalam hidung yang datang hanya dengan simptom pendarahan.

Faktor penyumbang

Faktor-faktor umum yang boleh menyumbang kepada gejala ini adalah seperti masalah kegagalan sistem pembekuan darah di kalangan pesakit sama ada berpunca daripada penyakit hati, ginjal atau kanser yang melibatkan sel-sel darah seperti leukemia dan limfoma.

Mereka yang mempunyai masalah jantung dan mengambil ubat untuk mencairkan darah juga terdedah untuk mengalami gejala pendarahan hidung.

Disebabkan itulah pesakit dinasihatkan supaya mengambil ubat dalam dos yang betul dan sentiasa patuh kepada temujanji susulan untuk pemeriksaan darah.

Tekanan darah tinggi yang kronik juga boleh menyebabkan struktur dinding salur darah menjadi lemah dan tidak tahan kepada tekanan darah lantas apabila pecah akan mengakibatkan terjadinya pendarahan.

Kajian perubatan menunjukkan salur darah mereka yang telah meningkat umurnya atau yang mengalami hipertensi kronik turut mempunyai deposit plak kolestrol (ateroskelorosis).

Keadaan ini menyebabkan dinding salur darah menjadi tidak kuat untuk mengecut (vasokonstriksi) sekiranya pendarahan berlaku (untuk mengurang dan menghentikan pendarahan).

Selain itu, ada pendapat juga mengatakan bahawa faktor paras tekanan itu sendiri yang jika terlalu tinggi akan menjadikan keadaan bertambah teruk.

Jenis pendarahan hidung

Pendarahan hidung secara amnya boleh dibahagikan kepada dua jenis, bergantung kepada di kawasan mana salur darah dalam hidung yang pecah.

Jenis-jenisnya ialah pendarahan hidung hadapan (anterior epistaxis) dan pendarahan hidung bahagian belakang (posterior epistaxis). Kedua-dua jenis ini agak berbeza daripada beberapa aspek. Pendarahan hidung bahagian hadapan biasanya lebih kerap berlaku, terutamanya di kalangan kanak-kanak atau golongan belia.

Ia seringkali dikaitkan dengan trauma, dan kebiasaannya lebih mudah untuk dikawal atau dihentikan.

Pendarahan jenis ini biasanya dapat dilihat apabila pesakit berada dalam posisi duduk. Darah akan kelihatan mengalir keluar dari bahagian hadapan lubang hidung.

Pendarahan hidung bahagian belakang lebih kerap dilihat dalam kalangan mereka yang lebih berusia walaupun ia adalah sesuatu yang jarang berlaku.

Salur darah yang pecah berada di bahagian belakang hidung dan ini menjadikan pendarahan jenis ini lebih sukar untuk diberhentikan.

Biasanya ia dikaitkan dengan tekanan darah tinggi atau kemalangan jalan raya yang melibatkan kecederaan pada lantai tulang tengkorak.

Pesakit akan menelan darah ini memandangkan ia akan mengalir ke bahagian belakang tekak. Apabila amaun darah yang ditelan terlalu banyak, ia tidak lagi dapat ditampung oleh isipadu perut, maka pesakit akan mengalami muntah.

Pendarahan hidung jenis belakang ini juga lebih meningkatkan risiko darah termasuk ke dalam paru-paru.

Tindakan segera

Apabila berlaku situasi hidung berdarah, pesakit seharusnya bertenang dan jangan panik. Keadaan panik akan menyebabkan denyutan nadi dan tekanan darah meningkat. Ia akan memburukkan lagi keadaan.

Tambahan pula, pesakit akan sukar diberi arahan dan mengikut langkah-langkah bantuan yang akan diberikan.

Pesakit sepatutnya tidak disuruh baring untuk berehat. Sebaliknya, pesakit harus dinasihatkan berada dalam keadaan duduk dan sedikit tunduk ke hadapan.

Picit bahagian hadapan hidung dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk dan tunggu selama lima minit.

Pesakit akan diminta bernafas melalui mulut sementara seseorang membantunya meletakkan sedikit ais yang dimasukkan dalam plastik atau bungkusan kain pada bahagian dahi.

Jika keadaan mengizinkan, pesakit juga elok diberikan ketulan ais kecil untuk dikemam. Proses ini dapat menyejukkan bahagian dalam mulut serta rongga hidung dan ini dapat membantu proses pengecutan salur darah (vasokonstriksi).

Sekiranya kaedah ini tidak berkesan, pesakit biasanya perlu dibawa ke klinik atau hospital yang berdekatan.

Jika perlu, pegawai perubatan akan memasukkan 'ribbon gauze' atau span kecil ke dalam hidung. Span ini akan mengembang sedikit dan menghalang pendarahan daripada terus berlaku.

Biasanya, selepas dua atau tiga hari, pendarahan akan berhenti dan pesakit dibenarkan pulang ke rumah.

Dalam situasi-situasi yang jarang berlaku, kaedah intervensi susulan seperti menghentikan tempat pendarahan menggunakan sentuhan bahan kimia (cauterization), atau prosedur mengikat salur darah yang pecah mungkin dilakukan. Embolisasi untuk menyumbat salur darah yang berdarah juga merupakan salah satu kaedah rawatan yang berkesan.

Rawatan susulan

Selepas pendarahan dihentikan, biasanya pesakit akan diminta untuk datang semula bagi mengenalpasti apakah yang menjadi punca kepada episod pendarahan tersebut.

Bagi mereka yang mengalaminya di rumah, adalah lebih baik jika mendapatkan pemeriksaan di hospital terutamanya bagi kes-kes pendarahan hidung yang berulang-ulang.

Rawatan yang sebenar dan langkah-langkah pencegahan daripada terjadinya insiden yang sama adalah bergantung kepada masalah utama yang menjadi punca berlakunya pendarahan.

Penyiasatan yang dilakukan termasuklah pemeriksaan hidung dengan menggunakan endoskop, pengambilan sampel darah untuk melihat masalah pembekuan darah, merawat masalah lokal dalam hidung dan seumpamanya.

Prosedur-prosedur penyiasatan ini amatlah mudah dan tidak menyakitkan berbanding dengan kesan pendarahan hidung itu sendiri yang ada kalanya boleh mengancam nyawa.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.