|
PETALING JAYA 21 Feb. – Kenderaan belum siap. Rupa bentuk fizikalnya pun tidak diketahui umum tetapi tempahan sudah mula diterima.
Sambutan rakyat Malaysia terhadap kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora, hasil tangan tempatan ini sememangnya menakjubkan.
Menurut Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd. (Proton), Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, pihaknya mengunjurkan 4,000 hingga 5,000 tempahan menjelang pelancaran Proton Exora pada April ini.
‘‘Pada hari ini, kami menerima tempahan 15 hingga 20 buah MPV di cawangan ini,’’ katanya pada Majlis Pra Pelancaran Tempahan Proton Exora di bilik pameran Proton di Mutiara Damansara hari ini.
Bagaimanapun, Syed Zainal berkata, pihaknya belum dapat menyatakan jumlah sebenar tempahan yang diterima di seluruh negara.
Tetapi jika cawangan di tempat lain juga menerima angka tempahan yang sama, ia sudah pun melebihi unjuran kerana Proton mempunyai 300 bilik pameran di seluruh negara.
Beliau berkata, setakat ini ramai orang telah datang bertanyakan mengenai Proton Exora.
IKLAN@UTUSAN
|