VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 April 2014 / 24 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 20/02/2009

Pilih pemimpin berkarisma

Soal karisma pemimpin begitu mendapat tempat mutakhir ini berikutan perkembangan baru yang memberi ruang kepada seluruh lapisan masyarakat untuk melihat dengan lebih dekat ikon pemimpin mereka. Oleh sebab penilaian kriteria karisma sebagai pilihan utama para penyokong maka sudah tentu kita akan membuat perbandingan karisma seseorang calon berbanding dengan calon yang lain.

Karisma juga berupaya melepasi sempadan warna kulit dan ideologi seseorang pemimpin yang dapat diterima oleh majoriti sesuatu kumpulan masyarakat yang sama-sama mendokong pemikirannya, sebagaimana yang terjadi ketika kemenangan Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-44.

Agama Islam merupakan cara hidup yang diwahyukan oleh Allah SWT untuk diamalkan pada setiap masa dan tempat. Ini termasuklah ketika memilih calon-calon untuk memimpin bagi memenuhi kepentingan manusia yang mempunyai pelbagai kehendaknya.

Namun begitu, perlu diingatkan juga betapa tanggungjawab pemilihan ini perlu mengambil kira prinsip-prinsip Islam sebagai salah satu kaedah untuk menobatkan seseorang pemimpin.

Kelalaian dalam memilih calon yang berwibawa maka natijahnya bakal mengundang mudarat yang boleh meranapkan diri sendiri, bangsa dan agama.

Sebab itu, memilih pemimpin juga sebahagian daripada bebanan yang perlu dilunaskan dengan keputusan yang tepat agar tidak mengangkat calon pemimpin yang semakin jauh menyimpang daripada ajaran Islam.

Antara tokoh yang layak untuk diangkat sebagai pemimpin yang berkarisma adalah mereka yang mempunyai dogma pemikiran sentiasa bersedia berkhidmat dan membawa kemajuan untuk rakyatnya.

Pemimpin sebegini mempunyai visi dan misi yang jelas bersama pelan tindakan yang terancang meskipun ia merupakan suatu tanggungjawab yang amat berat untuk dilaksanakan.

Para pemimpin juga diperingatkan bahawa mereka akan dipertanggungjawabkan sebagaimana Rasulullah SAW pernah bersabda mengenai kepimpinan: Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin adalah bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. (Riwayat Muslim).

Bebanan untuk menunaikan tanggungjawab akan mengatasi sikap yang hanya inginkan taraf populariti dan disanjung oleh orang lain. Apatah lagi apabila kuasa sudah berada di dalam genggaman maka seluruh aksi pemimpin akan memberikan tindak balas terhadap sebarang keputusannya.

Pemimpin yang berwibawa tidak seharusnya melakukan kesilapan yang boleh membawa bencana kerana mereka wajib membuat penelitian terperinci ke atas setiap idea dan keputusannya agar mencapai objektif untuk meninggikan syiar Islam.

Selain itu bakal pemimpin yang berkarisma juga perlu dipilih berdasarkan pengalaman yang luas, tahap kematangan yang tinggi berbanding orang awam dan telah terbukti menunjukkan pencapaian prestasi yang cemerlang sepanjang penglibatan mereka di gelanggang politik. Ini kerana pengalaman adalah umpama guru yang mengajar dan memberi panduan ke arah hala tuju mencapai matlamat kejayaan pergerakan parti.

Ketandusan pengalaman bukan sahaja boleh melemahkan aksi dan tindakan perjuangan tetapi boleh mencetuskan situasi resah dan panik kepada seluruh masyarakat akibat kegagalan memahami cabaran pada zaman globalisasi.

Kematangan pula boleh diukur melalui pelbagai medium seperti cara berkomunikasi, lontaran pelbagai idea yang bernas dengan disokong hujah-hujah yang kukuh. Begitu juga kematangan boleh dilihat daripada aspek pergaulan dalam semua peringkat mewakili pemimpin tempatan atau luar negara dan golongan dari pihak tertinggi mahupun daripada kumpulan bawahan.

Dalam sejarah Islam, era pemimpin-pemimpin yang berwawasan dan dinamik begitu rancak mewarnai zaman kegemilangannya sehingga berjaya melahirkan sebuah tamadun yang unggul dalam pelbagai bidang keilmuan. Sudah tentunya pemimpin yang perlu dinobatkan wajar dicalonkan kepada mereka yang mempunyai daya kesarjanaannya atau keintelektualan pendidikan sama ada bidang agama mahu pun ilmu-ilmu ekonomi dan politik.

Siapa yang tidak kenal tokoh-tokoh pada era kepimpinan Khulafa' al-Rasyidin, Bani Umayyah, Bani Abbasiyyah dan dinasti-dinasti lain yang mencatatkan rekod cemerlang mereka sepanjang zaman.

Antara rahsianya ialah pemimpin-pemimpin Islam sangat mendaulatkan dan memperkasakan ilmu pengetahuan selari dengan saranan wahyu pertama dari Allah SWT yang tercatat di dalam Surah al-'Alaq menjadi cogan kata utama perjuangan Rasulullah SAW mendaulatkan ajaran Islam.

Dengan ketinggian ilmu pengetahuan akan menjadikan seseorang pemimpin dapat membezakan antara dosa dan pahala agar segala tindakannya selari dengan akhlak terpuji Rasulullah SAW.

Ilmu juga dapat menjadi benteng paling kebal daripada perbuatan menerima atau memberi habuan rasuah dalam apa bentuk sekalipun. Justeru perlu ditegaskan bahawa menerima rasuah tidak sama dengan menerima barang pemberian ikhlas melalui amalan bersedekah.

Buktinya Rasulullah pernah ditawarkan (rasuah) dengan pelbagai tawaran oleh pihak kafir Quraisy agar Baginda SAW berhenti daripada meneruskan aktiviti gelanggang dakwah Islam yang semakin hangat penerimaannya daripada penduduk Mekah.

Dengan ilmu juga seseorang pemimpin akan sentiasa kekal dengan prinsip perjuangan asal walau sehebat mana cabaran yang melalui zamannya. Istiqomah atau konsisten adalah sebahagian daripada ciri-ciri pemimpin yang perlu ada agar tidak mudah dipengaruhi anasir-anasir yang sentiasa mencari peluang untuk melemahkan perjuangannya.

Menjauhkan diri daripada ilmu boleh memberi kesan kepada jiwa seseorang bertuankan nafsu semata-mata dan membelakangkan undang-undang Ilahi atau peraturan manusia sendiri.

Oleh sebab inilah para pemimpin perlu menjadi contoh agar segala pertuturannya, aksi dan perancangannya benar-benar dipandu melalui ilmu dan bukannya dikawal oleh nafsu yang sentiasa akan menjurus kepada mudarat.

Selain itu karisma pemimpin juga perlulah mengambil kira latar belakang yang jelas dan terbukti bersih dari sebarang bentuk kesalahan jenayah. Meskipun sebagai seorang manusia yang tidak bersifat maksum (bebas dari melakukan kesalahan) seperti nabi, sekurang-kurangnya calon ini mempamerkan sifat akauntabiliti dan integriti.

Bagaimana pemimpin hendak membawa penyokongnya jika dirinya juga masih memerlukan bimbingan akhlak daripada pihak lain? Bebas dan bersih daripada sebarang tohmahan yang tidak berasas semata-mata kerana menjadi mangsa politik.

Ini kerana pemimpinlah yang akan membawa kemajuan dan bukannya kepada suasana yang berorientasikan kemungkaran lebih-lebih lagi jenayah yang mengundang kehancuran Islam. Pemimpin seperti ini bukan sahaja merosakkan dirinya bahkan boleh mengundang kehancuran Islam seluruhnya dan mendedahkan kelemahan kepada musuh- musuh Islam kerana sanggup menggadaikan perjuangan semata-mata untuk memenuhi kepentingan nafsu.

Pemimpin yang wajar dilantik juga haruslah mempunyai kemahiran untuk menyatukan ummah, merapatkan hubungan setiap lapisan masyrakat melalui hubungan persaudaraan.

Apabila mereka mampu menyatukan ummah maka semakin teguhlah ajaran Islam diamalkan dalam negara. Ini disebabkan menjaga tali persaudaraan di kalangan lapisan masyarakat adalah salah satu daripada tuntutan syarak yang sangat utama.

Kita memerlukan tokoh pemimpin yang dihormati kerana idealisme perjuangannya, bukan pemimpin yang digeruni kerana kerakusan mengejar kuasa. Apabila pemimpin dihormati kerana prinsip perjuangan yang teguh ia dapat dirasai oleh semua bangsa meskipun berlainan fahaman agama.

PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka (KTIM)

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.