|
PUTRAJAYA 11 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan pelantikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK).
Pengumuman itu dibuat menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri di sini.
Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff; Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya, Datuk Arifin Zakaria; Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum pula dilantik sebagai anggota SPK.
Pelantikan tersebut dibuat berdasarkan jawatan yang dipegang oleh mereka dalam badan kehakiman.
Kesemua pelantikan berkenaan diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.
Seksyen 5(1)(e) akta itu turut mengkehendaki seorang Hakim Mahkamah Persekutuan dilantik sebagai anggota suruhanjaya tersebut.
Sehubungan itu, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin telah dipilih untuk memenuhi keperluan berkenaan.
Empat anggota lain yang dilantik ke SPK di bawah Seksyen 5(1)(f) akta sama ialah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad; bekas Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong; bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Tan Sri L.C. Vohrah dan bekas Peguam Negara, Datuk Seri Ainum Mohd. Saaid.
Kesemua anggota yang dilantik di bawah Seksyen 5(1)(e) dan 5(1)(f) akta sama itu adalah untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 10 Februari lalu hingga 9 Februari 2011.
Abdullah yakin anggota-anggota SPK berkenaan akan dapat menjalankan tugas mereka dengan sempurna.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|