VERSI : Mobile | Akhbar Digital
19 September 2014 / 24 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 11/02/2009

Konsert Atas Nama Kemanusiaan undang keinsafan


SITI Nurhaliza ketika menyampaikan lagu tema Malam Amal Atas Nama Kemanusiaan, Suara Sepi.


BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebannya. Penderitaan yang ditanggung oleh mangsa kekejaman Rejim Zionis yang melancarkan serangan ke atas Wilayah Gaza, Palestin sejak 27 Disember lalu begitu meruntun hati penduduk dunia.

Satu persatu siri kekejaman tentera Israel terpampang di dada-dada akhbar termasuk pelbagai rangkaian televisyen yang turut memaparkan keperitan yang ditanggung oleh penduduk negara itu.

Ratapan dan tangisan mereka yang tertindas, hanya dipandang sepi malah, kekejaman tersebut merobek rasa bukan sahaja masyarakat Islam dunia, malah turut membangkitkan kemarahan di kalangan masyarakat berbilang kaum sejagat.

Tambah menyedihkan, mereka yang lemah terutamanya kanak-kanak, wanita dan warga emas menjadi mangsa buas Rejim Zionis yang semakin alpa dan terhakis dengan sifat perikemanusiaan.

Sebagai lambang keprihatinan rakyat di negara ini terhadap kekejaman yang berlaku di Palestin, Malam Amal Atas Nama Kemanusiaan yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini mengundang rasa simpati dan keinsafan pelbagai pihak.

Mengumpul dana RM10.7juta daripada tabung rayuan dana Malam Amal Atas Nama Kemanusiaan, yang dipengerusikan oleh Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, turut mencemar duli pada majlis tersebut ialah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Kedah, Sultanah Haminah Hamidun.

Hadir sama memberikan sokongan ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Menteri Perpaduan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Duta Besar Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Abu Ghoush.

Rasa keinsafan dibangkitkan pada persembahan pembukaan oleh penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza menerusi lagu tema malam amal tersebut, Suara Sepi nukilan Johari Teh manakala lirik ditulis oleh Habsah Hassan.

Bait-bait lirik lagu tersebut bagaikan menterjemah penderitaan masyarakat Palestin yang merintih, menangis dan memohon belas ihsan namun, suara mereka hanya dipandang sepi sementelah kebuasan Zionis semakin marak tanpa sekelumit pun terbit rasa belas dan ihsan.

Lebih mengharukan, persembahan koir kumpulan Dithyrambic menerusi lagu Tanah Air Yang Jauh yang dinyanyikan dalam bahasa Mandarin, menggambarkan kesengsaraan dan kesan emosi mangsa peperangan akibat kerakusan Israel mencengkam kuasa dunia.

Ironinya, masyarakat negara ini dirasakan begitu bertuah berada di bumi merdeka. Biarpun pernah dijajah suatu ketika dahulu, namun, kerukunan rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum tetap terbela sehingga ke hari ini.

Artis lain yang turut membuat persembahan pada malam tersebut ialah Ramli Sarip, Raihan, Misha Omar, Jaclyn Victor, Aiman, Mawi dan Artistana.

Kemuncaknya, malam amal tersebut menyaksikan persembahan monodrama menarik arahan pengarah yang tidak asing lagi, Erma Fatima dan diterajui oleh dua pelakon hebat, Umie Aida dan Sahronizam Noor.

Persembahan tersebut menceritakan bagaimana bumi Palestin yang merupakan negara yang diuliti keamanan pada awalnya, 'berpesta' bedilan dan bermandikan darah setelah diserang tanpa belas oleh tentera Israel.

Bergelimpangan mayat saudara Islam yang terbunuh. Isteri dan anak-anak meratapi nasib kehilangan sang suami dan ayah. Sedangkan mereka yang dahulunya gagah melakukan pelbagai pekerjaan, hilang upaya dalam sekelip mata.

Lebih memilukan, ramai di antara mereka yang terpaksa mengemis kepada puak bernafsu syaitan demi mencari sesuap nasi.

Penyanyi Misha Omar yang ditemui sejurus tamat konsert tersebut menyatakan peranan dan pengaruh artis begitu kuat dalam menarik ramai masyarakat untuk sama-sama membantu meringankan beban yang ditanggung penduduk Palestin.

"Setiap tindak tanduk seseorang artis memberi kesan yang besar kepada masyarakat. Sebagai artis, saya rasa saya ada kelebihan itu dan apa salahnya saya turut sama menyertai aktiviti-aktiviti amal yang dianjurkan," kata Misha yang menyampaikan lagu Hitam Putih Kehidupan pada malam tersebut.

Setiap kali penganjuran majlis amal, boleh dikatakan kebanyakan artis yang terlibat membuat persembahan hanyalah muka-muka yang sama.

Kalau tidak Misha, pasti nama-nama seperti Siti Nurhaliza, Anita Sarawak, Aznil Nawawi, Raihan, Mawi dan Jaclyn Victor yang kedengaran.

Menjawab persoalan tersebut kata Misha: "Ini bukanlah majlis amal yang pertama melibatkan golongan artis. Sebelum ini ada aktiviti amal yang dibuat untuk mangsa tsunami dan ketika itu memang ramai artis yang terlibat.

"Bagaimanapun, untuk kali ini (Malam Amal Atas Nama Kemanusiaan) tidak ramai yang terlibat. Tidak ramai bukan bermaksud golongan artis tidak peka tetapi peluang untuk mereka belum tiba.

"Saya percaya ramai artis yang mahu turut serta tetapi mereka perlu menanti peluang," kata Misha lagi.

Bercerita tentang isu memboikot barangan Israel, menurut Misha ia merupakan perkara yang begitu subjektif untuk diperkatakan.

"Bagi saya apa yang penting ialah seberapa banyak yang kita boleh sumbangkan, tepuk dada tanya selera. Kita hanya boleh berserah tetapi keajaibannya di tangan Tuhan," kata Misha yang kini popular dengan single Cinta Adam Dan Hawa.

Sementara itu, Jaclyn Victor ketika ditemui pada majlis yang sama meluahkan rasa kesalnya terhadap sikap tentera Israel yang kejam dan sanggup membunuh.

"Apa yang saya nampak, usaha pelbagai pihak terutamanya media dalam menyedarkan orang ramai terhadap kekejaman Israel memang bagus buktinya, malam ini menerusi tabung rayuan dana Malam Amal Atas Nama Kemanusiaan, negara berjaya mengumpul sebanyak RM10.7 juta untuk disumbangkan kepada Palestin," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:10
Asar 4:13
Maghrib 7:13
Isyak 8:21



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.