VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 April 2014 / 20 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 09/02/2009

Kebun sayur di tabika Kemas


Murshidi Katong (kanan) melhat hasil tanaman sayur-sayuran Tabika Kemas Mawar di Taman Taman Ilham, Kluang, Johor, baru-baru ini.


KETIKA Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau, Pulau Pinang kecoh dan menjadi kelam-kabut kerana isu pintu pagar dikunci yang menjejaskan pembelajaran kanak-kanak di situ, sebuah lagi tabika di Kluang, Johor tidak menoleh ke belakang dalam berusaha memajukan pusat pendidikan itu.

Bagi ahli jawatankuasa Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Mawar, Taman Ilham, Kluang, kesepakatan dalam membangunkan pendidikan rohani dan jasmani anak-anak lebih penting daripada berbalah kerana masalah perbezaan ideologi politik.

Sehubungan itu, mereka memegang kata-kata hikmat ''Muafakat membawa berkat" untuk sama-sama berganding bahu dan memerah keringat mengusahakan tanaman sayur di kawasan berhampiran tabika tersebut.

Selain mendapat faedah selepas berbakti kepada bumi seperti hasil tuaian yang boleh dijual, usaha dengan komitmen berterusan daripada ahli-ahli jawatankuasa itu juga telah dihargai apabila Tabika Mawar telah memenangi Anugerah Kebun Sayur Tabika Kemas Terbaik Negeri Johor, baru-baru ini.

Penghargaan itu sememangnya dianggap sebagai suatu yang membanggakan ahli jawatankuasa dan penduduk sekitar kerana projek kebun sayur di kawasan Tabika itu telah diusahakan sejak empat tahun lepas.

Penolong Pengarah Kemas Johor, Murshidi Katong yang menyampaikan anugerah itu kepada Pengerusi Tabika Mawar, Azhar Ariffin dalam satu majlis baru-baru ini, menyifatkan usaha seumpama itu perlu dihargai.

Kejayaan itu juga membolehkan Tabika Mawar mewakili Kemas Johor ke pertandingan Kebun Sayur Tabika Kemas peringkat kebangsaan yang akan diakan tidak lama lagi.

Projek kebun sayur diadakan bagi memastikan persekitaran tabika tidak terbiar dan dijadikan bahan pengajaran kepada kanak-kanak yang berusia lima dan enam tahun itu.

Azhar yang ditemui mengakui pihaknya sentiasa bersatu dan bermuafakat apabila melaksanakan projek kebun sayur itu untuk memastikannya kejayaannya.

Menurutnya, terdapat lebih 20 penduduk Taman Ilham termasuk guru tabika, Norainun Razali, 52, dan pembantunya, Salmah Mohd. Din Yati, 38, yang begitu aktif dan bersungguh-sungguh berkebun dengan menanam pelbagai sayur-sayuran dan herba sejak projek itu dimulakan.

"Kebun yang kami usahakan seluas kira-kira 15 meter persegi dan terdapat lebih 30 jenis tanaman seperti kacang panjang, sawi, kobis, terung panjang, kangkung, bendi dan lada merah," katanya.

Selain itu, katanya, mereka turut menanam beberapa jenis herba seperti mas cotek, lengkuas, kunyit dan serai.

Menurut Azhar, bagi memastikan kebun tersebut sentiasa berkeadaan subur, pihaknya menyediakan jadual tugas kepada ahli-ahlinya.

''Kami turut melantik ketua kebun iaitu Bakri Pilih yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penjagaan dan aktiviti berkebun," ujarnya.

Beliau berkata, kebiasaannya setiap peserta akan memperuntukkan masa satu atau jam sehari terutama waktu petang untuk membersih, menyiram dan membaja pokok-pokok tersebut.

Mengenai hasilnya, Azhar berkata, semua sayur-sayuran dijual kepada penduduk Taman Ilham dengan harga yang berpatutan dan hasilnya dimasukkan ke dalam Tabung TBK Mawar.

Mengganggu

''Wang itu digunakan untuk melaksanakan beberapa aktiviti pelajar," katanya.

Sementara itu, Nurainun menafikan kebun sayur itu mengganggu pembelajaran kanak-kanak kerana kawasan tadika menjadi sempit dan kurang selesa.

Sebaliknya, menurut beliau, kebun berkenaan mendatangkan banyak manfaat kepada ibu bapa, kanak-kanak dan TBK itu.

Beliau berkata, ini kerana kanak-kanak lebih mudah mempelajari dan mengenali jenis sayuran kerana ia terdapat di sekeliling mereka.

Selain itu, menurutnya, dengan adanya kebun itu kanak-kanak memahami khasiat sayuran-sayuran dan tidak pernah menolaknya apabila disajikan ketika makan di tabika tersebut.

''Oleh kerana kita juga menanam sedikit pokok padi maka kanak-kanak tabika ini tahu dari mana asal usul beras dan nasi yang mereka makan selama ini," katanya.

Bagi mencapai kejayaan peringkat kebangsaan, jawatankuasa TBK Murni kini melipatgandakan usaha untuk menyubur dan mengindahkan lagi kebun sayur tersebut dengan terus mengamalkan konsep perpaduan dan permuafakatan.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.