Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 08/02/2009
Pas diperkuda DAP dan PKR

Pas diperkuda DAP dan PKR

PULAU PINANG 7 Feb. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hairan mengapa hanya kaum Melayu sibuk berdemonstrasi di Perak sedangkan kerajaan campuran di situ terdiri daripada Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Keadaan itu (termasuk tindakan berbaring di atas jalan raya), menurut beliau, jelas menunjukkan Pas telah diperkudakan oleh DAP dan PKR .

‘‘Apa maknanya kerajaan campuran kalau orang Melayu diperkudakan kaum lain.

‘‘Saya bukan hendak main isu perkauman dalam hal ini, tetapi hakikatnya itulah yang dilihat berlaku semalam, Pas diperkudakan DAP dan PKR,’’ katanya.

Menurut Ahmad Zahid, jika benar pakatan pembangkang ingin menunjukkan kesepakatan, mengapa mereka tidak menyertai demonstrasi itu sebaliknya membiarkan satu kaum berbuat demikian.

‘Tindakan mereka memang jelas tidak menghormati raja dan saya dimaklumkan hanya satu kaum yang ada di situ, jadi mana perginya kaum lain yang selama ini mendakwa sebagai sebuah kerajaan campuran di Perak,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP) dan UDA Land (North) Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Ahmad Zahid diminta mengulas tindakan segelintir rakyat Perak berdemonstrasi bagi menghalang kelancaran majlis mengangkat sumpah Menteri Besar Perak baru, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir di Balai Istiadat Istana Iskandariah, Perak semalam.

Mengulas lanjut, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak itu yakin perkara itu terjadi kerana mereka hanya mengikut pemimpinnya yang berkata ‘patik mohon menderhaka’.

‘‘Jadi, tidak hairanlah pengikut mereka pun sama menderhaka, saya fikir jika begitu sikap yang ditunjukkan, maka mereka sebenarnya tidak layak menjadi rakyat negeri Perak,’’ katanya.

Sehubungan itu katanya, mana-mana ‘penderhaka’ yang menerima anugerah daripada sultan, adalah lebih manis memulangkan semula gelaran tersebut biar pun baginda tidak meminta berbuat demikian.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, bukan Dewan Undangan Negeri yang menentukan jawatan Menteri Besar sebaliknya kuasa itu terletak di tangan sultan.

Katanya, sultan telah menggunakan budi bicara yang terbaik iaitu tidak memecat Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebaliknya meminta beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

‘‘Pada 8 Mac lalu, sepatutnya kami juga boleh bertindak kurang ajar kerana kerajaan kami dirampas, mereka bertanding atas tiga parti berbeza kami pula bertanding atas satu lambang.

‘‘Jadi, sepatutnya kami yang mengangkat sumpah bukan mereka. Tetapi kerana Sultan Perak bersikap adil lalu membenarkan ketiga-tiga parti itu membentuk kerajaan negeri walaupun gabungan tersebut tidak didaftarkan hingga sekarang,” katanya.

Beliau berkata, walaupun Mohammad Nizar masih enggan meletakkan jawatan, bagi BN hanya ada satu Menteri Besar iaitu Zambry seperti yang telah dititahkan Sultan.

‘‘Saya hanya mahu memberikan pandangan, kalau dulu kami boleh terima hakikat bahawa kerajaan BN telah diambil alih oleh kerajaan negeri yang dipimpin Pas dan diperkudakan DAP dan PKR, jadi kali ini semua rakyat termasuk pembangkang perlu menerima hakikat.

‘‘Kita bukan hendak riak atau takbur dalam hal ini, kuasa tuanku perlu dihormati kerana sudah termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan jika mereka hendak saman, samanlah tuanku ada imuniti, kekebalan,” tegasnya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN