VERSI : Mobile | Akhbar Digital
16 April 2014 / 16 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
UTARA

ARKIB : 03/02/2009

Tuah Khalijah pada mi kuning


KHALIJAH Abdullah Isa menunjukkan mi kuning yang dihasilkannya di Kampung Lubuk Batu, Kuala Pegang, Baling, Kedah, semalam.


BALING 2 Feb. - Sebut sahaja mi goreng atau mi rebus, juadah itu sudah pasti mendapat sambutan cukup menggalakkan di mana sahaja. Malah ia telah dikomersialkan sehingga berjaya menerokai pasaran lebih luas termasuk mendapat tempat di restoran-restoran terkemuka.

Bagaimanapun, ramai yang tidak begitu mengetahui betapa kesedapan juadah tradisi sejak turun-temurun itu sebenarnya bermula daripada bahan mentahnya atau lebih mudah disebut mi kuning di kalangan peniaga-peniaga makanan berasaskan mi.

Jadi tidak hairanlah pasaran mi kuning semakin luas dari semasa ke semasa, bukan sahaja di desa malah di kota-kota besar sebagai memenuhi permintaan yang tinggi daripada restoran atau kedai-kedai makanan.

Justeru, permintaan tinggi terhadap mi kuning telah membuka minat yang mendalam kepada seorang suri rumah untuk menceburi bidang pembuatan mi kuning secara komersial biarpun pada mulanya diusahakan kecil-kecilan.

Bermodalkan RM50, Khalijah Abdullah Isa, 42, mulanya cuma mampu mengeluarkan antara 20 hingga 30 kilogram mi kuning tetapi secara sedikit demi sedikit, dia mengorak langkah memperluaskan pasarannya sehingga menjadi antara pembekal mi kuning terkenal di daerah ini.

Proses menghasilkan mi kuning tersebut dijalankan di sebuah bengkel kecil di rumahnya di Kampung Lubuk Batu, Kuala Pegang dekat sini.

Khalijah kini setiap hari terpaksa menambah jumlah pengeluaran mi berikutan sambutan memberangsangkan daripada pelanggan tetapnya.

Menceritakan pahit getirnya menempuh perusahaan tersebut, kata Khalijah, sebelum ini, dia hanya menggunakan mesin getah yang diubahsuai untuk memproses tepung gandum sebelum mi kuning dapat dihasilkan.

Menurutnya, disebabkan proses secara manual itu, jumlah pengeluarannya sebelum ini agak terhad.

Bagaimanapun, kata Khalijah, setelah pelanggan merasai sendiri mi kuning keluarannya, membuatkan ramai daripada mereka menyedari tentang keistimewaan produknya itu lalu memaksa pengeluarannya ditambah.

''Dari situ, saya yakin dengan apa yang saya lakukan dan ia ternyata bermutu tinggi. Ini menambahkan semangat saya untuk terus berusaha memperbesarkan perusahaan," katanya.

Ditambah dengan isu asid borik di dalam mi kuning, Khalijah memberitahu, kebimbangan pelanggan berikutan isu berkenaan menyebabkan dia menerima tempahan yang semakin banyak khususnya daripada restoran dan kantin-kantin sekolah.

''Ini kerana mi kuning yang saya hasilkan tidak mengandungi bahan-bahan berbahaya seumpama itu," tambah beliau

Sehubungan itu, setiap hari Khalijah terpaksa menambah jumlah pengeluaran mi kuning berikutan sambutan memberangsangkan daripada pelanggan.

Kebersihan juga antara faktor Khalijah tidak 'menang tangan' untuk mengeluarkan mi kuning kerana permintaan yang terlalu banyak.

Khalijah berkata, walaupun sebelum ini dia hanya mampu mengeluarkan mi kuning dalam jumlah paling minimum, ibu kepada seorang anak itu telah membuka mata Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (risda) untuk menghulurkan bantuan mesin dan peralatan memproses mi.

"risda telah menyumbangkan peralatan dan mesin pemprosesan yang mampu meningkatkan jumlah pengeluaran pada satu-satu masa," ujarnya.

Lebih membanggakan, selain menceburi perniagaan, perusahaannya itu memberi peluang pekerjaan kepada tiga penduduk kampung yang setiap hari membantu Khalijah di bengkelnya dengan gaji antara RM10 hingga RM15 sehari.

Suami Khalijah, Mohd. Shahdan Yahya, 42, turut membantu khususnya dalam memasarkan mi kuning terus kepada pelanggan.

Mohd. Shahdan berkata, selain daerah ini, produk keluarannya memasuki pasaran Pulau Pinang dan Perak.

Katanya, dalam tempoh terdekat ini, dia yakin jumlah pengeluaran mi kuning akan mencecah sehingga melebihi 100 kilogram sehari.

Pasangan suami isteri tersebut bukan sahaja mengeluarkan produk mi kuning, malah menghasilkan produk makanan tradisional seperti cakar bihun, buah rotan, batang buruk dan putu kacang.

Ternyata usaha kecil-kecilan pasangan itu telah membawa berkat kepada mereka menambahkan pendapatan keluarga.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.