|
MELAKA 28 Jan. – Majlis Tertinggi (MT) UMNO perlu mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan cadangan Pengerusi Lembaga Disiplin supaya sayap-sayap parti itu termasuk Putera dibubarkan bagi menangani gejala politik wang.
Naib Presidennya, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, cadangan Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail itu tidak perlu dilihat sebagai sesuatu yang negatif.
‘‘Bagi saya, ini pandangan peribadi beliau. Ia bukan mewakili semua ahli UMNO dan sememangnya kita memerlukan banyak cadangan yang bernas untuk membanteras gejala politik wang.
‘‘MT perlu segera mengadakan mesyuarat dan membincangkan apa yang disuarakan oleh Tengku Ahmad Rithauddeen,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Tengku Ahmad Rithauddeen yang mahu organisasi UMNO disusun semula iaitu dengan membubarkan kesemua sayap parti termasuk Putera UMNO.
Beliau yakin langkah pembubaran itu adalah terbaik bagi membanteras gejala politik wang yang kini berleluasa terutama menjelang pemilihan parti Mac ini.
Mohd. Ali menasihati semua pemimpin dan ahli sayap iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri jangan cepat melatah dengan membuat kenyataan yang akan mengeruhkan keadaan.
‘‘Ini bukan satu keputusan muktamad, tetapi hanyalah satu bentuk pandangan dan MT akan bersidang untuk membincangkan mengenai perkara ini,” katanya.
Bagi menangani gejala politik wang, kata beliau, lebih baik jika dapat diwujudkan Suruhanjaya Pemilihan UMNO (SPU) dengan melibatkan 3.4 juta ahli di seluruh negara.
IKLAN@UTUSAN
|