Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
KAMPUS

ARKIB : 28/01/2009
Pelajar komunikasi USIM aktif berkarya

Pelajar komunikasi USIM aktif berkarya


Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin (tiga dari kiri) berada di konti Radio USIM yang boleh dilayari secara online.
Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin (tiga dari kiri) berada di konti Radio USIM yang boleh dilayari secara online.


DALAM usaha memartabatkan program komunikasi di peringkat tempatan dan antarabangsa, satu filem pendek telah dihasilkan oleh pelajar komunikasi USIM jurusan penyiaran. Filem pendek berdurasi kira-kira 15 minit ini diberi nama Permata Bonda yang melibatkan tenaga kerja profesional termasuk pelakon terkenal industri perfileman tanah air seperti Wan Maimunah dan Wan Nor Azlin. Pembikinan filem pendek ini turut mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada Dr. Mahadi J. Murad, pengarah filem terkenal negara.

Filem pendek ini merupakan kesinambungan daripada Bengkel Pengarahan dan Penulisan Skrip yang diadakan pada akhir November lalu yang dihadiri seramai 25 pelajar Tahun Akhir Program Komunikasi. Hasil daripada bengkel tersebut empat buah filem pendek berjaya dihasilkan hanya dalam masa satu hari. Selain daripada Permata Bonda, filem-filem pendek yang lain dihasilkan adalah seperti Nafsu, Sesat, dan Nasi Lemak. Pengarah dan pelakonnya terdiri daripada pelajar-pelajar komunikasi USIM sendiri.

Menurut Ketua Program Komunikasi USIM, Mazni Buyong penghasilan filem berteraskan Islam serta penuh dengan nilai-nilai murni merupakan satu langkah yang diambil oleh Program Komunikasi bagi membawa nama USIM di arena perfileman tempatan dan antarabangsa.

Pada masa yang sama juga pelajar komunikasi jurusan kewartawanan telah berjaya menerbitkan edisi pertama majalah CETUS. Majalah yang menampilkan isu-isu berlatar senario media dan komunikasi di negara ini, memberi peluang kepada pelajar dan warga USIM untuk menyumbangkan idea dan pendapat masing-masing.

Pengisian majalah ini juga bertujuan menganjur mahasiswa USIM berfikiran lebih kritis dan kreatif terhadap isu yang dibincangkan media masa kini. Majalah CETUS ini telah dilancarkan oleh Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin. Pelancaran majalah ini adalah sebagai satu usaha menggalakkan para pelajar USIM meneruskan kesinambungan dalam menghasilkan produk-produk yang boleh menaikkan nama universiti.

USIM juga berbangga kerana dalam masa yang sama program Komunikasi USIM sedang menjalankan sesi ujian Radio USIM. Radio ini boleh dilayari secara online melalui laman web http://radio.usim.edu.my. Sepanjang tempoh pengujian, semua kakitangan dan pelajar USIM boleh mendengar tanpa perlu mendaftar.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN