|
SIPITANG 24 Jan. - Amerika Syarikat (AS) dan Eropah kini mencontohi Malaysia dalam menghadapi kegawatan ekonomi dengan tidak lagi mengamalkan sistem pasaran bebas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad berkata, mereka terpaksa berbuat demikian bagi menyelamatkan ekonomi masing-masing selain meringankan beban rakyat.
"Sebelum ini AS dan Eropah marah dan tidak setuju dengan cara kita, mereka kata kerajaan tidak boleh campur tangan dalam hal ekonomi dan perlu amalkan pasaran bebas.
"Tidak cukup dengan itu, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) turut mengutuk tindakan kita, sekarang mereka akui langkah kita dan ikut apa yang kerajaan telah lakukan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pelancaran Projek Perintis Pengedaran Barang Perlu Bersubsidi Untuk Luar Bandar di Dewan Serbaguna di sini hari ini.
Shahrir berkata, jika Malaysia mengikut telunjuk kuasa-kuasa besar ekonomi itu sebelum ini, rakyat yang berpendapatan rendah akan menerima kesannya.
Katanya, ini kerana asas sistem pasaran bebas itu hanya mengutamakan pembeli atau pemborong kaya yang kemudian bekalan barang hanya dijual kepada golongan kaya.
"Jika diamalkan sistem ini, rakyat miskin akan merana, sebab itu kerajaan menyediakan berbilion ringgit setahun, subsidi untuk beberapa barangan keperluan harian," katanya.
Pada sidang akhbar selepas itu, Shahrir berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa semua barangan keperluan sebelum atau selepas Tahun Baru Cina adalah mencukupi.
Mengenai program itu yang sebelum ini dilancarkan di Pulau Pinang, Pahang dan Sarawak, beliau meminta semua pemimpin masyarakat supaya memantau perkembangan projek itu.
Tegasnya, jika mana-mana pemborong atau peruncit yang mengambil kesempatan iaitu dengan menaikkan harga barangan, tindakan akan diambil.
Kata beliau, program tersebut akan diperluaskan ke kawasan pedalaman di seluruh negara dan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.
Bagaimanapun, jelasnya, keutamaan akan diberi kepada Sabah dan Sarawak berikutan bentuk muka buminya berbukit bukau, kemudahan jalan kurang baik dan ada yang hanya boleh dihubungkan melalui jalan air.
"Sebelum ini di Pulau Pinang dan Pahang, kerajaan membelanjakan kira-kira RM30,000 sebulan dan bagi Saratok, Sarawak dan Sipitang, kosnya adalah lebih," ujarnya.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|