|
![]() |
|
LANCAR BUKU POLITIK NAJIB Tun Razak melihat buku Politik Baru Mematangkan Demokrasi Malaysia sambil diperhatikan oleh penulisnya, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah (tengah) dan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Terjemahan Negara, Mohd. Khair Ngadiron pada majlis pelancaran buku itu di Hotel Shangri-La, Putrajaya, semalam. |
PUTRAJAYA 20 Jan. - Imej positif dan mesra rakyat merupakan pendekatan baru UMNO bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu khususnya bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO menjelaskan, imej negatif dan sikap pemimpin parti yang kurang mesra dengan pengundi terutama di peringkat akar umbi antara faktor kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu, Sabtu lalu.
"Kita mesti tampil dengan imej bersama nilai-nilai baik dan positif. Saya selalu tekankan bahawa kita kena mesra rakyat di semua peringkat, bukan atasan saja.
"Dari kaca mata rakyat di peringkat akar umbi, mereka menilai UMNO berdasarkan interaksi dengan pemimpin," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan dokumen perjanjian bagi penstrukturan semula perkhidmatan pembekalan air Negeri Sembilan di sini hari ini.
Semalam, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu perlu segera melakukan perubahan radikal bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu yang hilang daya tarikan dan bagi membolehkannya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Menurut Muhyiddin, langkah tersebut perlu kerana UMNO kini dibelenggu pelbagai persepsi negatif yang dilontarkan kepada parti itu.
Najib memberitahu, kekalahan BN pada Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu baru-baru ini seharusnya diinsafi semua pemimpin serta ahli UMNO dan mereka perlu bermuhasabah.
Mengulas mengenai tiga ahli UMNO yang akan didakwa di mahkamah Khamis ini kerana kes rasuah ketika pemilihan parti bahagian tahun lalu, beliau menjelaskan, ia tindakan tepat kerana undang-undang seharusnya dihormati oleh semua pihak.
IKLAN@UTUSAN
|