|
TRONOH 16 Jan. - Kira-kira 1,500 pelajar dan kakitangan Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini mengadakan perhimpunan dan perarakan aman bagi mengutuk kekejaman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin di Gaza.
Sambil menyifatkan perbuatan Israel itu sebagai kezaliman yang amat dahsyat, mereka turut mendesak agar dunia menghentikan segera peperangan dan pembunuhan yang berlarutan sejak 27 Disember lalu.
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UTP, Ahmad Farouqi Hassan berkata, apa yang berlaku sama sekali tidak boleh diterima kerana pencerobohan Israel itu telah menyebabkan banyak nyawa wanita, kanak-kanak dan orang tua di Gaza terkorban.
''Kami juga mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaksa Israel menghentikan serangan ketenteraan serta merta dan sekali gus menghantar pasukan pengaman bagi melaksanakan gencatan senjata," katanya kepada pemberita selepas majlis perarakan mengutuk Israel itu.
Sementara itu, Pengarah Perkhidmatan Pelajar UTP, Mohamed Noor Rosli Baharom berkata, pihaknya juga menganjurkan kempen derma dan sumbangan dikalangan pelajar dan kakitangan universiti bagi membantu mangsa keganasan Israel.
Katanya, sumbangan tersebut bukan sahaja melibatkan wang ringgit tetapi juga pakaian untuk kegunaan saudara Islam mereka yang menderita di Palestin.
''Kempen sumbangan dan derma ini akan kita teruskan dari semasa ke semasa bagi meringankan beban penduduk Palestin," katanya.
Dalam pada itu, seramai 5,000 kakitangan dan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar dekat sini turut mengadakan sembahyang hajat memohon keselamatan penduduk Gaza daripada ancaman ganas Israel.
Pengerusi Persatuan Kebajikan dan Sukan Kakitangan UiTM Seri Iskandar, Prof. Madya Halmi Zainol berkata, solat hajat berkenaan ditunaikan sebaik sahaja mereka selesai mengerjakan solat Jumaat di masjid di kampus tersebut.
''Pada masa sama, kami telah melancarkan tabung kutipan derma kalangan pelajar dan kakitangan sebagai usaha membantu penduduk Gaza yang sedang menderita sekarang.
''Hasil daripada kutipan ini akan disalurkan kepada Aman Palestin dan kita jangka akan menyumbang sekurang-kurangnya RM5,000," katanya sambil melahirkan rasa dukacita kerana pencerobohan yang dilakukan Israel telah membunuh lebih 1,000 penduduk Palestin.
IKLAN@UTUSAN
|