|
KUALA TERENGGANU 16 Jan. - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kempen pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu sebagai berbeza kerana ia berlangsung dalam keadaan aman dan baik tanpa insiden yang tidak diingini.
"Kita lihat tempoh kempen ini berlangsung dalam suasana yang aman dan baik, ini berbeza dengan pengalaman kita pada masa lalu khususnya di Terengganu," katanya ketika mengadakan lintas langsung dengan sebuah televisyen swasta di sini, malam ini.
Temu bual ringkas itu diadakan selepas beliau menyertai 200 jemaah Masjid Raja, Bukit Besar di sini hari ini untuk solat hajat dan bacaan tahlil yang diimamkan Imam Besar negeri Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz, bagi memohon keselamatan rakyat Palestin serta cuaca yang baik dan keamanan pada hari pengundian esok.
Najib, yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) berkata, sambutan terhadap calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilihat memuaskan berdasarkan kempen yang dilakukan jentera parti itu.
Bagaimanapun beliau berkata, jentera BN perlu terus bekerja bukan hanya sehingga tempoh kempen berakhir malah perlu menemui pengundi untuk dibawa keluar mengundi pada esok.
"Jika peratusan keluar mengundi tinggi ini akan menguntungkan BN," katanya.
IKLAN@UTUSAN
|