VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 Oktober 2014 / 7 Zulhijjah 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 07/01/2009

Memperkasa institusi Baitulmal

Kisah kegemilangan Baitulmal semasa zaman Rasulullah SAW dan khulafah ar-Rasyidin sememangnya sentiasa disebut-sebut dan dijadikan contoh dalam apa jua forum apabila isu berkaitan Baitulmal dibangkitkan. Penubuhan Perbendaharaan Negara oleh Baginda SAW setelah berhijrah ke Madinah merupakan titik tolak ke arah kemunculan sebuah institusi kewangan dan sosio-ekonomi yang bersistem.

Bagaimanapun, umat Islam pada hari ini perlu sedar bahawa falsafah penubuhan institusi Baitulmal dalam sejarah Islam bukanlah hanya pada nama atau istilah institusi itu semata-mata.

Institusi Baitulmal yang dibangunkan oleh Rasulullah SAW dan para khulafah ar-Rasyidin pada masa itu berperanan mengurus hasil pendapatan negara. Seterusnya membiayai perbelanjaan negara mengikut sumber pendapatan hasil yang pada akhirnya mengarah ke arah kestabilan dan pembangunan ekonomi masyarakat dalam negara.

Pada zaman tersebut, sumber harta Baitulmal boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian merangkumi harta khas (harta zakat fitrah dan zakat harta), harta am (meliputi harta am kerajaan seperti harta fai', ghanimah, ma'adin, dan rikaz), harta percukaian, dan harta kebajikan. Harta percukaian merupakan sumber utama Baitulmal.

Sistem percukaian yang pernah dilaksanakan termasuklah kharaj, jizyah dan usyur. Harta kebajikan pula adalah harta selain yang telah disebutkan termasuklah harta wakaf, harta warisan (pusaka), harta wasiat, sedekah dan sebagainya.

Sumber-sumber ini disatukan di Baitulmal dan dibelanjakan bagi tujuan kebajikan umat Islam. Kekayaan dalam simpanan Baitulmal juga digunakan bagi tujuan pembangunan seperti pembinaan jalan raya, jambatan seluruh negara, pembinaan terusan, pembinaan masjid sehinggalah kepada pembesaran Masjidil Haram dan Masjid an-Nabawi.

Namun begitu, kedudukan dan peranan Baitulmal hari ini dilihat telah sedikit berubah akibat peredaran masa dan pengaruh Barat. Institusi Baitulmal pada masa sekarang mempunyai bidang kuasa yang lebih sempit iaitu untuk menguruskan harta berbentuk harta khas dan harta kebajikan sahaja.

Di Malaysia, hal ehwal Baitulmal ini terletak di bawah pengurusan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) sebagaimana termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Ruang lingkupnya pula merangkumi pengurusan wakaf, zakat, dan harta sumber am.

Harta sumber am bolehlah dipecahkan kepada beberapa skop seperti pengurusan pusaka, wasiat, hibah, sedekah, derma perseorangan, luqatah, wang faedah, wang fidyah, wang insurans, hutang lapuk yang tidak dituntut, hasil sewaan, hasil pelaburan, nazar dan kaffarah.

Pengurusan Baitulmal di peringkat negeri ini pada asasnya berjalan dengan baik. Namun begitu, langkah-langkah pro-aktif perlu diteruskan bagi meningkatkan kecekapan tadbir urus dalam sistem pengurusan di Baitulmal, khususnya dari aspek penyelarasan dan keseragaman perkhidmatan yang ditawarkan.

Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada tahun 2004 bagi membantu pihak MAIN melaksanakan tugas dan tanggungjawab secara lebih kemas serta teratur. Usaha-usaha ke arah menyelaras dan memperkasakan Baitulmal dibuat secara bersepadu di peringkat Persekutuan.

Sebagai sebuah jabatan yang bertanggungjawab menyelaras bidang-bidang syarie khususnya berkaitan wakaf, zakat dan mal, Jawhar berperanan sebagai fasilitator yang bertanggungjawab memberikan nilai tambah kepada pihak MAIN.

Antara wadah terpenting dalam usaha ini ialah penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Baitulmal Kebangsaan (JPBK). Jawhar mengurusetiakan JPBK yang dianggotai oleh semua MAIN dan dipengerusikan oleh Menteri di JPM.

Premis asas JPBK ialah semangat untuk sama-sama memikul tanggungjawab meninggikan kalimah Allah dan meningkatkan sosio-ekonomi umat Islam di Malaysia.

Melalui JPBK ini, segala cadangan bagi meningkatkan dan memantapkan fungsi Baitulmal dalam memperkasakan sosio-ekonomi masyarakat Islam boleh diutarakan. Perkongsian pengalaman dan pandangan antara MAIN terhadap sesuatu isu atau bidang juga dilakukan.

Beberapa prosedur diselaras dan diperkemaskan hasil kerjasama dan usaha bersepadu dari pihak MAIN sendiri. Permasalahan yang timbul dibincangkan dan sama-sama dicari penyelesaiannya.

Melalui JPBK ini, Kerajaan Persekutuan dan Baitulmal negeri dapat bekerjasama lebih erat ke arah memperkasa dan memartabatkan lagi peranan dan sumbangan Baitulmal kepada seluruh ummah.

Akhirnya, dengan menggabungjalinkan idea dan pandangan kesemua pihak yang terlibat, Jawhar berjaya membangunkan sistem e-Bayanat dan e-Wakaf, menerbitkan beberapa siri manual pengurusan, menyelaras beberapa peraturan dan perundangan berkaitan wakaf, zakat dan mal.

Kesemua usaha itu bertujuan membantu pihak MAIN melaksanakan pengurusan yang lebih sistematik, berdaya maju dan memenuhi keperluan perundangan semasa. Melalui tadbir urus yang baik, sistem pengurusan dapat diselaraskan dan membantu para pihak MAIN menyampaikan perkhidmatan yang lebih cekap kepada para pelanggannya.

Semoga usaha bersepadu ini akan terus berkekalan dalam usaha meningkatkan sosio-ekonomi umat Islam ke arah merealisasikan pemerkasaan institusi Baitulmal di Malaysia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:45
Zohor 1:05
Asar 4:16
Maghrib 7:07
Isyak 8:16


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.