VERSI : Mobile | Akhbar Digital
18 April 2014 / 18 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KOTA

ARKIB : 25/12/2008

Stesen bas terbiar


BAngunan di Jalan Pasar, Sabak Bernam yang dirancang sebagai hentian bas dan teksi ini terbiar selepas pengusaha bas dan teksi enggan memindahkan operasi mereka ke situ.
- Gambar MOHD. SHAHARANI SAIBI


SABAK BERNAM 24 Dis. - Bagi sebuah bandar sama ada kecil mahupun besar, stesen bas dan teksi merupakan antara kemudahan yang utama kerana ia biasanya menjadi nadi kepada bandar tersebut.

Bagi yang tidak mempunyai kemudahan tersebut, penduduk merayu supaya kerajaan membinanya dan bagi yang sudah uzur atau terpecah kepada beberapa tempat, pihak berkuasa tempatan akan membina yang baru dan menyatukannya di bawah satu bumbung.

Antara contohnya ialah KL Sentral dan Klang Sentral yang kini menjadi hab kepada pengangkutan awam di ibu negara dan Klang.

Namun, di Sabak Bernam, lain pula ceritanya. Dibina sebagai stesen bas dan teksi tetapi bangunan itu kini menjadi kedai makan.

Kedai makannya pula hanya dua buah. Itu pun menggunakan dua bilik kecil yang sepatutnya menjadi pejabat operasi bas dan teksi.

Bangunan berusia hampir 10 tahun dan dibina di tepi Sungai Sabak Bernam itu lengkap dengan pelbagai kemudahan asas termasuk surau dan tandas.

Tetapi oleh kerana tidak dijaga dengan baik, banyak kemudahan tandas yang rosak dan surau perempuan pula dijadikan setor oleh pihak tertentu.

Ketika ditanya mengapa bangunan yang dibina dengan peruntukan yang besar itu tidak berfungsi seperti sepatutnya, seorang penduduk, Mohamad Idris mendakwa, bangunan itu dibina tanpa perancangan yang betul dan tanpa meminta pandangan penduduk tempatan.

"Kalau dirancang betul-betul takkan jadi begini. Bayangkan stesen bas di sini tetapi nak beli tiket di tempat lain. Siapa mahu jalan jauh-jauh.

"Selain itu, ruang untuk bas menunggu pula terlalu kecil, sempit dan tak cukup. Bila bas tak mahu pindah ke sini, teksi pun tak pindahlah kerana pelanggan teksi bergantung kepada pelanggan bas," katanya.

Menurut Mohamad, selepas bangunan ini tidak berfungsi seperti yang sepatutnya, ia terus terbiar sehinggalah dua bilik kecil yang dibina di penghujung kanan dan kiri bangunan dibenarkan untuk disewa sebagai gerai oleh pihak Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

Bagaimanapun, katanya, ruangan lain tidak dimanfaatkan sementara tandas yang disediakan tidak berjaga hingga banyak yang rosak dan tidak boleh digunakan lagi.

"Alangkah baiknya jika ruang kosong di stesen ini dapat dimanfaatkan supaya tidak membazir begitu sahaja," luahnya lagi.

Luahan Mohamad itu dipersetujui, Zaitun Abdullah, 56, seorang peniaga di Jalan Pasar di sini yang mencadangkan agar MDSB dan kerajaan negeri menjadikan ruangan kosong di bangunan stesen bas dan teksi itu sebagai pusat menjual pelbagai barangan kraf dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) selain gerai makanan.

Katanya, sebelum bangunan stesen bas dan teksi serta bangunan Waterfront dibina di situ, kawasan Jalan Pasar itu begitu meriah dengan aktiviti gerai yang menjual pelbagai barangan dan menjadi tempat tumpuan pelancong.

Namun, tambahnya, selepas bangunan itu dibina dan tidak berfungsi, kawasan Jalan Pasar menjadi sunyi sepi dan hanya pasangan remaja dan 'budak motor' yang sering datang ke situ pada waktu petang hingga menjelang Maghrib.

"Kawasan stesen bas dan teksi itu memang sesuai jika dijadikan gerai kerana semuanya sudah ada, hanya perlu diubah suai sedikit sahaja.

"Taklah kawasan ini sunyi sangat. Lagipun bangunan ini bersebelahan dengan muzium dan perpustakaan daerah. Jika banyak aktiviti di kawasan ini, pasti pelancong kembali penuh," ujarnya lagi.

Bagi Mohd. Ali Baksan, 64, pula, bangunan stesen bas dan teksi itu serta Sungai Sabak Bernam itu sendiri perlu dibersih dan diperindahkan sebelum dijadikan gerai makanan serta jualan barangan tempatan dan IKS.

"Tidaklah Jalan Pasar ini jadi seperti jalan mati selepas ini kerana kawasan ini juga kawasan bersejarah kerana dekat dengan jeti Sungai Sabak Bernam.

"Lagipun bangunan ini terletak berhadapan Kolej Komuniti dan di dalam kawasan pekan Sabak Bernam. Pasti tidak ada masalah, cuma perlukan lebih promosi dan saya yakin kawasan ini akan jadi tumpuan," katanya.

Sementara, Lee Yang Aik, 63, pula memberitahu, sebenarnya pembinaan stesen bas dan teksi serta bangunan Waterfront menghalang pemandangan Sungai Sabak Bernam apabila ia tidak berfungsi seperti yang dirancang.

"Dulu masa saya kecil-kecil, saya main di sungai itu bila air surut. Sekarang dah tak boleh lagi.

"Saya juga perasan di tepi sungai itu sekarang berlaku hakisan dan perlu diambil tindakan segera," katanya yang juga berharap pihak berkuasa tempatan mengambil kira pendapat orang tempatan dan peniaga di situ yang mahu stesen bas dan teksi itu dijadikan pusat jualan barangan tempatan dan IKS.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:15
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.