VERSI : Mobile | Akhbar Digital
1 September 2014 / 6 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 23/12/2008

Media, masyarakat dan alam sekitar

PEMAHAMAN tentang alam sekitar boleh dikatakan masih agak rendah di kalangan rakyat Malaysia. Kurangnya pendedahan kepada maklumat alam sekitar menyebabkan ramai antara kita tidak dapat memahami dan mengenalpasti punca sebenar isu persekitaran.

Kesedaran awam tentang alam sekitar bukanlah sesuatu yang perlu dipikul oleh masyarakat sahaja tetapi perlu dipupuk melalui kerjasama dari pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, pihak media massa, para akademik, sektor awam dan badan bukan kerajaan. Setiap agensi mempunyai peranan tersendiri bagi membantu orang ramai agar lebih peka terhadap persekitaran mereka.

Di dalam konteks ini, peranan media amat penting bagi menentukan bagaimana orang ramai mengkonstruksi alam sekitar sambil membantu mereka melibatkan diri dalam wacana alam sekitar.

Media juga berperanan sebagai penghubung maklumat dua hala di antara pihak-pihak bertanggungjawab dan masyarakat di samping bertindak sebagai suara rakyat. Laporan yang efektif dapat memberi maklumat yang benar dan tepat kepada masyarakat sambil meningkatkan kesedaran memelihara alam sekitar.

Namun, seringkali kita dapati pemaparan cerita alam sekitar diberi fokus negatif. Dalam erti kata lain, tiada kemusnahan, tiada berita. Meskipun ini merupakan praktis lazim dalam bidang kewartawanan, tetapi pihak media juga bertanggungjawab membantu masyarakat memahami erti sebenar alam sekitar dalam kehidupan mereka.

Alam sekitar bukan mengenai perkara negatif sahaja - tanah runtuh, tsunami atau banjir kilat - tetapi juga boleh dilaporkan sebagai berita positif. Kejadian tanah runtuh perlu diambil iktibar dari pelbagai pihak supaya ia tidak berulang lagi. Media boleh membantu dengan meningkatkan kesedaran pembangunan lestari kepada pihak-pihak yang berkenaan melalui pemaparan berita-berita Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) misalnya.

Bagi pengetahuan orang ramai pula, media boleh menyediakan lebih banyak berita berbentuk pemantauan alam sekitar secara berterusan. Pemaparan berita seperti ini penting bagi pengetahuan dan persediaan pihak terbabit dan masyarakat untuk menghadapi apa juga kemungkinan tragedi alam sekitar, di samping menjalani hidup dengan lebih lestari. Justeru pihak media mungkin boleh menstruktur kembali strategi laporan berita alam sekitar dalam mencapai matlamat ini.

Paparan

Laporan berita alam sekitar juga perlu seimbang dan mengambil kira pendapat pelbagai pihak. Paparan tentang kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa misalnya lebih tertumpu kepada kerja-kerja penyelamatan melalui satu sumber sahaja iaitu dari jabatan kerajaan.

Sungguhpun begitu, pendapat para akademik dan penyelidik sangat diperlukan dalam pemberitaan ini kerana mereka mempunyai kepakaran dan dapat mengenalpasti punca sebenar tanah runtuh tersebut. Begitu juga dengan badan bukan kerajaan (NGOs) yang berpengalaman luas dalam isu-isu seperti ini mungkin dapat membantu pihak kerajaan menangani masalah ini pada masa hadapan.

Oleh kerana isu alam sekitar itu sendiri kompleks dan melibatkan pelbagai pihak, penyampaian berita alam sekitar bukanlah mudah kerana ia meliputi skop yang luas.

Menyedari kepentingan komunikasi alam sekitar kepada masyarakat, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM) mengkhususkan cabang ini sebagai salah satu bidang kepakaran mereka untuk mencapai matlamat ini.

Sejajar dengan itu, pada 2000 kursus Kewartawanan Sains dan Alam Sekitar peringkat Sarjana telah diperkenalkan untuk memberi pemahaman asas tentang kepentingan alam sekitar serta melatih para pelajar agar mampu menyampaikan maklumat alam sekitar melalui pelbagai cara komunikasi dengan berkesan. Pelajar-pelajar juga diberi peluang untuk menjalani latihan praktikal di beberapa agensi media dan badan bukan kerajaan sebagai persediaan ke alam pekerjaan.

Seringkali persoalan tentang bentuk komunikasi alam sekitar yang paling berkesan menjadi perdebatan di kalangan pengamal dan penyelidik bidang komunikasi. Namun, kajian menyeluruh mengenai komunikasi alam sekitar sememangnya amat kurang kerana ia merupakan bidang baru bagi pengajian komunikasi di Malaysia.

Justeru Pusat Pengajian Komunikasi telah mengambil langkah awal dengan membuat penyelidikan komprehensif tentang komunikasi alam sekitar. Penyelidikan ini memberi penekanan kepada cara pelaporan alam sekitar di dalam media cetak dan elektronik, aktiviti gerakan sosial alam sekitar dan pandangan masyarakat Malaysia berhubung persekitaran mereka.

Pembentangan dapatan awal kajian ini akan dibuat di seminar Media, Masyarakat dan Alam Sekitar anjuran Pusat Pengajian Komunikasi, USM hari ini di Hotel Vistana, Pulau Pinang. Seminar sehari ini menyediakan ruang interaksi kepada para pengamal komunikasi, penyelidik, agensi kerajaan, pembuat dasar, badan bukan kerajaan dan individu yang berminat untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam mencapai komunikasi alam sekitar yang lebih efektif.

Tujuan utama persidangan ini adalah untuk memberikan asas pemahaman komunikasi alam sekitar dan mengenalpasti komunikasi paling berkesan bagi meningkatkan pengetahuan awam mengenai alam sekitar melalui media.

Terdapat lapan kertas kerja akan dibentangkan oleh para penyelidik dari Pusat Pengajian Komunikasi, USM. Antara kajian adalah berkenaan dengan pemaparan berita alam sekitar di media cetak; penelitian isu pencemaran alam sekitar melalui dokumentari filem; politik pemberitaan alam sekitar; perdebatan awam dan wacana alam sekitar; pengetahuan, sikap dan amalan masyarakat Malaysia terhadap isu alam sekitar; tinjauan makna audiens Malaysia terhadap isu alam sekitar; analisis kegiatan dan strategi badan bukan kerajaan dalam isu alam sekitar dan advokasi media oleh gerakan sosial alam sekitar.

Sementara dua orang pembentang lain yang dijemput khas adalah Norila Daud mewakili Utusan Malaysia dan Azmi Abdul Wahab dari sebuah badan bukan kerajaan. Mereka akan berkongsi pengalaman mengenai cabaran-cabaran laporan berita alam sekitar di media cetak serta peranan badan bukan kerajaan dalam isu alam sekitar.

Seminar komunikasi alam sekitar yang julung kali diadakan ini akan disertai oleh seramai lebih kurang 80 orang peserta yang terdiri dari para akademik, pegawai kerajaan, badan bukan kerajaan, pelajar-pelajar pusat pengajian tinggi, media massa dan sektor awam.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:24
Maghrib 7:21
Isyak 8:30


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.