|
“MARILAH ke dunia kami,” kata Ronaldinho - bintang baharu kelab AC Milan – kepada Azharuddin ketika kanak-kanak lapan tahun itu baru beberapa saat membelek buku skrap di tepi pintu depan tingkat atas rumah sewanya di pinggir pekan Kuala Berang, Hulu Terengganu.
Azharuddin diam seperti selalunya setiap kali mereka berada pada permulaan diskusi. Di sanubarinya kembang kuntum harapan yang mewangi. Beransur-ansur terpadam kekecewaan yang bersarang di dada.
Ronaldinho mengulang ajakannya; “Datanglah ke sini membina bakat. Di sini, kami menghargai kanak-kanak seperti anda.”
Azharuddin senyum. Di juring kelopak matanya masih tersisa cecair jernih yang hampir kering. Sambil mengiring di lantai rumah yang dihampari tikar getah, Azharuddin mengusap-usap gambar bola yang berada di kaki Ronaldinho.
Berada dalam situasi itu, Azharuddin berasa tenang dan bermotivasi. Seketika dia seakan-akan terlupa akan keperitan di bahagian belakang betisnya akibat disinggahi beberapa hayunan rotan sebesar jari kelengkeng. Juga tidak dirasainya lagi pedih di bahagian tepi punggungnya kesan rotan yang sama.
Azharuddin seronok melihat gambar Ronaldinho dalam buku skrapnya. Tiba-tiba buku skrapnya itu membesar seperti kaca televisyen model terkini. Di situ Ronaldinho lincah beraksi. Pada masa yang sama, di sebalik pintu di ruang tamu, kedengaran sorakan penonton di kaca televisyen. Teruja dengan apa yang masuk ke cuping telinganya, Azharuddin bangkit dan menjenguk. Aneh, apa yang terpapar di kaca televisyen sama sajaha dengan apa yang terpapar di permukaan buku skrapnya.
Kekaguman
Dia kembali mengadap buku skrapnya dan memerhatikan objek yang bergerak-gerak itu dengan penuh minat. Kekaguman kian membesar di dadanya apabila dia menyaksikan cara Ronaldinho melenturkan tubuhnya dalam usaha mengawal bola. Pemain handalan dan bintang pujaannya itu pintar memperdayakan empat pemain Arsenal termasuklah Theo Walcott, Bacary Sagna, dan Emmanual Adebayor di gelanggang keramat skuad The Gunners. Dia benar-benar kagum. Keseronokan dan kekaguman itu mengeringkan limpahan air matanya dan kini esakannya berkurangan.
Kanak-kanak Tahun Dua sebuah sekolah rendah yang terletak tidak jauh dari simpang ke lokasi perkelahan Taman Pertanian Sekayu yang terkenal itu seronok melihat Ronaldinho memandangnya. Keseronokan itu kembali menggamit minatnya yang tadinya bercempera buat seketika setelah dipaksa melupakan impiannya bergelar pemain bola sepak. Dia kian melupakan bagaimana kerasnya tegahan orang sekelilingnya apabila dia asyik membaca majalah bola sepak antarabangsa dan menulis ayat-ayat ringkas berkenaan permainan tersebut.
Dia menyentuh tangan penyerang lincah berkulit hitam dan berambut panjang yang menjadi kebanggaan negara pengeluar kopi utama dunia itu. Setiap kali dilanda kesedihan, Azharuddin akan membuka buku skrapnya dan berkomunikasi dengan bintang tersebut yang pernah dua kali memenangi anugerah Pemain Bola Sepak terbaik dunia tidak lama dulu.
“Bolehkah saya ke sana, bersama-sama saudara menawan dunia?” Tiba-tiba Azharuddin bertanya setelah kekuatan meresapi tubuhnya yang kukuh dan pejal. Seolah-olah ketika itu Ronaldinho yang sedang beraksi di permukaan buku skrapnya tiba-tiba keluar dan berada di lantai di hadapan pintu rumahnya sebelum kembali ke padang.
“Mampukah saya mencipta nama di sana?” Dia meminta kepastian setelah pertanyaan awalnya kedengaran agak perlahan dan dia tidak pasti sampai atau tidak ke pendengaran bintang bola sepak itu.
Ronaldinho yang ketika itu nampak seperti sedang mahu merembat bola ke gawang skuad kendalian Arsene Wenger dan meranapkan keegoan salah sebuah kelab ternama England itu tiba-tiba berhenti berlari. Penonton yang terbang beribu-ribu kilometer dari Itali semata-mata mahu memastikan AC Milan gah di bumi lawan dalam kejohanan Piala Kelab Eropah menarik nafas kecewa.
Pelik. Mereka melihat ada sesuatu perkara yang tidak kena sedang berlaku namun tidak pasti apa perkara itu. Mereka hanya nampak Ronaldinho berhenti beraksi sebaliknya meletakkan hujung but di atas bola, kemudian mengorek-ngorek telinga sambil berkata sesuatu kepada seseorang.
“Kenapa tidak? Kenapa anda bertanya begitu? Tidak bagus berkata sedemikian. Kata-katan itu menggambarkan ketidakyakinan anda kepada diri sendiri. Anda perlu yakin dan anda sememangnya berbakat. Kanak-kanak Malaysia hebat, cuma tidak ada usaha keras untuk menggilap bakat dengan berkesan. Anda perlu memecahkan tembok tradisi yang tidak bagus itu. Datanglah ke sini. Saya sedia membantu.”
Ronaldinho termengah-mengah kecil.. Kepenatan mengawal bola tidaklah seberapa berbanding kepenatan mengukuhkan keyakinan dalam diri kanak-kanak itu. Azharuddin bangkit dari lantai dan bersila dengan sedikit tubuhnya bersandar ke dinding papan rumahnya.
“Itu soalan yang selalu masuk ke telinga saya setiap kali saya berkata kepada orang sekeliling bahawa saya mahu menjadi pemain bola sepak yang handal. Kata mereka, orang Melaysia tidak akan ke mana dalam bidang ini.”
“Tak usah layan cakap mereka. Mereka hanya bercakap dari perspektif mereka tanpa mempedulikan keperluan anda. Tak usah fikirkan mereka.”
“Mereka dominan! Mereka amat berkuasa ke atas saya. Sekarang saya tak ubah patung bernyawa yang hanya perlu mengikut kehendak mereka. Hanya itu.”
“Anda ada hak. Anda boleh maju dan menjadi pemain terbilang. Satu hari, anda mungkin jauh lebih hebat daripada saya atau rakan senegara saya - Robinho dan Kaka.”
“Saya orang Asia Tenggara. Saya orang Malaysia. Orang Malaysia siapalah sangat dalam sukan bola sepak?”
“Orang Malaysia pun boleh maju dalam bidang bola sepak. Rakyat negara anda ada bakat, contohnya anda sendiri.”
“Tidak, mereka kata tidak!” Azharuddin separuh menjerit, entah kerana bosan, entah kerana geram.
Jangkauan
“Siapa mereka?” Ronaldinho berang lalu merembat bola ke gawang lawan. Bola meledak bak peluru, namun sedikit melencong melepasi jangkauan penjaga gawang. Jaring bergegar. Stadium di negara kelahiran David Beckham itu bergema oleh keriangan penyokong pasukan pelawat.
“Mereka seperti yang pernah saya cakap sebelum ini. Saudara kan tahu bahawa mereka orang yang sepatutnya memberi motivasi kepada saya.” Di ruang fikiran Azharuddin ada wajah guru besar, guru kelas, guru mata pelajaran, kawan-kawan, abang, kakak, ibu, dan abahnya. Semua wajah itu seperti harimau lapar yang siap membahamnya ketika sesat di belantara. Dia gerun semua wajah itu tidak mahu membiarkan minatnya terhadap bola sepak tumbuh subur.
“Kasihan!” balas Ronaldinho. Dengan kata sepatah itu dia memungut bola lalu membawanya ke tengah padang untuk membolehkan sepak mula disegerakan pihak lawan selain satu cara beliau meraikan kejayaan melakukan jaringan.
“Itulah kata yang mereka sumbat ke telinga saya. Hampir setiap mereka berkata bahawa yang mampu maju dalam bola sepak di Asia Tenggara hanya rakyat Thailand. Di kalangan negara Asia pula, hanya rakyat Jepun dan Korea Selatan mampu memecah dominasi negara Eropah dan Amerika Selatan. Kalau pun ada rakyat negara lain, mereka hanyalah rakyat beberapa negara Asia Barat.”
“Itu kata-kata lapuk yang sedikit pun tidak perlu anda layan. Itu hanya persepsi negatif yang sepatutnya ditukar sejak lama dahulu.”
“Orang Malaysia tidak akan ke mana dalam sukan bola sepak. Sukan ini hanya untuk warga Brazil, Jerman, Perancis, Itali, Argentina. Orang Malaysia macam saya hanya layak menjadi tukang sorak atau pengutip bola di stadium.”
“Kalau tak boleh maju dalam bola sepak, apa mereka mahu kanak-kanak seperti anda buat?”
“Mereka hanya mahu kami belajar pagi, belajar tengah hari, belajar petang, dan belajar malam. Kami mesti belajar ilmu akademik. Kami hanya perlu belajar untuk lulus periksa. Mereka paksa kami belajar, belajar, belajar...”
“Hanya itu?” Ronaldinho kesal.
“Ya, hanya itu! Mereka tak kisah kami hilang zaman kanak-kanak. Mereka tak kisah kami jadi gemuk gedempol akibat makan, tidur, belajar; makan, tidur, belajar; dan makan, tidur, belajar. Mereka tak kisah kami tak bersukan, apatah lagi tak bermain bola sepak. Sudah ramai kanak-kanak berbakat seperti saya menjadi mangsa. Mereka terpaksa menguburkan bakat sukan masing-masing semata-mata mahu memenuhi harapan semua pihak yang saya katakan pada awal pertemuan kita tadi. Mereka tidak berani menentang arus; tidak berani menyuarakan kemahuan. Mereka tidak seperti saya yang sanggup menerima lidah kesat rotan di belakang, betis, dan punggung.”
Ronaldinho diam seketika. Dia membisikkan sesuatu kepada Kaka sebelum pemain tinggi lampai dan berkulit cerah itu kembali ke posisinya di bahagian midfield.
Di tengah bulatan tempat sepak mula, Emmanuel Adebayor dan Robin Van Persie siap memulakan permainan selepas satu gol ditinggalkan skuad dari Itali.. Di tempat duduk penonton, Felipe Scolari serius mencatat perkara penting. Pemenang perlawanan itu akan menjadi lawan pasukannya - Chelsea - pada peringkat seterusnya dua minggu lagi.
Di suatu sudut yang lain, jurulatih skuad kebangsaan Brazil - Dunga - turut membuat pelbagai catatan untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan beberapa pemain negara itu sebelum membuat keputusan mengekalkan mereka atau tidak dalam skuad negara itu pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2010 menentang Paraguay tidak lama lagi.
“Baik, hari ini saya bawa anda ke tengah padang. Anda beraksilah bersama sama-sama saya. Telah saya beritahu Kaka bahawa anda akan menggantikannya.”
“Saya bermain bersama-sama saudara untuk pasukan AC Milan?” Azharuddin seperti tidak percaya.
“Ya, anda bermain bersama-sama saya!” balas Ronaldinho..
“Hari ini?”
“Ya, hari ini; sekarang juga!”
“Baik, saya sedia menyahut cabaran ini.”
“Ini satu penghormatan kami selaku pemain ternama dunia terhadap bakat muda seperti anda. Buktikan kepada dunia bahawa kanak-kanak Malaysia mampu menjadi bintang terkenal,” kata Ronaldinho sambil menarik tangan Azharuddin.
Sekelip mata Azharuddin berada di garisan tepi padang. Pengadil pembantu menayangkan kepingan papan elektronik yang memaparkan nombor 10 sebagai pemain yang dibawa keluar dan nombor 21 sebagai pemain yang dibawa masuk.
Bersorak
Azharuddin berdiri dengan pakaian lengkap sebagai pemain bola sepak yang mewakili AC Milan. Kaka berlari ke tepi padang, kemudian menghulurkan tangannya kepada Azharuddin sambil membongkok tanda hormat kepada pemain cilik itu. Azharuddin menyambut tangan kaka dan memeluknya seketika. Penonton kedua-dua pasukan bersorak melihat keajaiban itu.. Mereka bangun dan bertepuk tangan. Siaran itu dipancarkan secara langsung ke seluruh dunia melalui saluran ESPN Astro. Nama Azharuddin meniti di setiap bibir penonton.
Suasana hingar bingar di kaca televisyen di ruang tamu menyebabkan seluruh ahli keluarga Azharuddin berkejar ke situ. Mereka terkejut melihat seorang kanak-kanak beraksi di padang seperti yang terpapar di kaca televisyen.
Kanak-kanak yang hebat itu seperti Azharuddin yang tadinya dirotan kerana terlalu asyik memotong akhbar yang mempunyai gambar pemain bola sepak untuk ditampal dalam sebuah buku skrap. Bintang kecil itu seperti ahli keluarga mereka yang tadinya dimarahi kerana belum sepenuhnya menyiapkan kerja rumah yang diberikan guru Bahasa Melayu yang sebenarnya hanya perlu dihantar tiga minggu lagi.
Mereka tidak mampu berkata apa-apa. Yang mampu dilakukan ialah menonton aksi kanak-kanak itu yang kian bergerak lincah di samping bintang handalan dunia. Lidah masing-masing keras umpama serbuk simen masuk angin.
Kanak-kanak seperti terasuh oleh kemahiran yang tinggi dan kian lincah di tengah padang. Tumbuh rasa sebak di dada mereka. Timbul tanda tanya, adakah itu Azharuddin atau kanak-kanak negara lain yang rupa dan bentuk tubuhnya seratus peratus miliknya?
Di ruang tamu tiada Azharuddin. Di hadapan pintu pun tiada. Yang ada hanya buku skrapnya di situ. Di mana Azharuddin? Di celah-celah tanda tanya itu, Azharuddin melakukan gerakan mengelirukan dan mengumpan bola kepada Alexander Pato yang kemudiannya melepasi dua pertahanan The Gunners dan menolak bola ke sudut gawang.
Gol kedua AC Milan terhasil. Azharuddin dijulang 10 pemain pasukannya kerana melakukan gerakan cantik. Bakat muda dari Malaysia diraikan. Kamera televisyen kini memfokuskan wajah Azharuddin yang kemudiannya berkata; “Jangan bimbang, saya akan pulang selepas perlawanan ini dan menyiapkan kerja sekolah. Izinkan saya mempamerkan bakat di sini dulu, kemudian saya penuhi kewajipan saya sebagai pelajar. Saya pulang sebagai duta kecil dan pasti akan saya ubah wajah bola sepak negara. ”
Abah, ibu, abang, dan kakak Azharuddin menitiskan air mata. Mereka terduduk di sofa dan tidak tahu apakah selama ini mereka mengalami delusi atau sebaliknya!
IKLAN@UTUSAN
|