Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 20/12/2008
Bukan mudah cari bukti

Bukan mudah cari bukti

TAN Sri Mohd. Zuki Kamaluddin kedengarannya berdehem dalam corong telefon apabila ditanya kritikan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) terhadap kewibawaan Lembaga Disiplin UMNO.

Mengetuai Panel Rayuan lembaga itu, Zuki mengakui kepada Utusan Malaysia semalam bahawa bukan satu tugas mudah - yang sebenarnya perit - bagi badan siasatan itu mengendalikan kes-kes politik wang yang diperkatakan pada pemilihan cawangan dan bahagian lepas dan menjelang Mac ini bagi peringkat tertinggi.

''Kita mesti ada saksi-saksi yang boleh dipercayai," ujar Zuki.

Namun, tegas timbalan pengerusi lembaga disiplin sehingga 17 Januari 2005 ini, seperti masa-masa lepas penyiasatan sesuatu kes akan mula menampakkan halangan besar dari awal lagi apabila si pengadu tiba-tiba pula takut untuk tampil memberi keterangan.

''Aku tengok dia bagi duit, tapi bila nak bagi bukti aku takut," ajuk Zuki merujuk satu kes yang pernah dikendalikannya. Realitinya, bukan mudah untuk mencari bukti terhadap dakwaan seseorang ke atas orang lain. Setiap dakwaan memerlukan sekurang-kurangnya empat orang saksi.

''Tapi sudah tentu sukar untuk dicari saksi seramai itu. Sebab itu diperlukan bahan-bahan bukti yang cukup antaranya resit, pita rakaman, penyata bank, surat tertentu atau apa sahaja yang kukuh, sebelum dapat menyabitkan seseorang itu dalam satu-satu kes," katanya.

Bagi Zuki, lembaga disiplin tidak boleh bertindak melulu dengan memasukkan seseorang itu ke dalam 'kandang' perbicaraan, asal sahaja ada aduan daripada pihak tertentu.

''Ada satu pepatah Inggeris menyebut, adalah lebih baik kita lepaskan dua tiga orang yang bersalah daripada meletakkan 10 orang yang tidak bersalah dalam jel.

''Dalam aspek ini, Lembaga Disiplin perlu mengikut prosedurnya. Pihak luar mungkin tidak tahu betapa sibuknya peguam-peguam kita pergi ke Kelantan, Perak dan negeri lain untuk mengumpul bukti dan keterangan. Kita perlu soal-siasat pengadu dan pihak yang didakwa, kalau tidak betul siasatan (menyebabkan orang tidak bersalah dihukum), kita akan disoal di akhirat kelak," kata Zuki.

Ironinya, banyak kritikan dan teguran diterima oleh lembaga disiplin kebelakangan ini yang memperkatakan soal kelewatan badan itu bertindak cepat menangani kes-kes politik wang. Kalau boleh, semua kes politik wang ini mahu diselesaikan sebelum Mac nanti.

Kes politik wang dalam parti disifatkan sendiri oleh pengerusi lembaga disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen bulan lalu sebagai serius dengan lebih 900 aduan diterima setakat ini. Kerana itu tanpa segan-silu beliau meminta pucuk pimpinan UMNO segera menyelamatkan parti itu daripada kehancuran dek berleluasanya gejala ini.

Barangkali kesediaan badan itu untuk mengkaji sistem pembiayaan awam calon Presiden Amerika Syarikat sebagai salah satu kaedah berkempen bagi menangani masalah politik wang yang kritikal dalam parti boleh diambil kira dalam usaha pembanterasannya sehingga ke akar umbi. Sistem itu diperkenalkan pada 1976 ekoran Skandal Watergate, untuk membiayai kempen setiap calon presiden daripada Parti Demokrat dan Republikan. Ia diperkenalkan bagi melindungi integriti calon dan rakyat di AS.

Namun, seperti mana kata Zuki, banyak laporan palsu diterimanya sewaktu membantu Rithauddeen mengendalikan siasatan politik wang.

Siasatan sesuatu kes bukan mudah.

Lembaga Disiplin sememangnya tidak akan melupakan secara perlahan-lahan beratus-ratus aduan mengenai politik wang dan rasuah dalam pemilihan UMNO seperti mana yang didakwa Mubarak, tegas Zuki.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN